Sembilu 2005 - 
Kisah remaja masa kini daripada kaca mata zaman dulu

Filem : Sembilu 2005
Arahan : Datuk Yusuf Haslam.
Lakon layar: Datuk Yusuf Haslam
Pelakon : Vince, Hetty Sarlene, Zed Zaidi, Erra Fazira, Ziana Zain, Khai, Juliana Banos, dll.
 

Datuk Yusof Haslam adalah seorang pengarah yang cukup prihatin dengan masalah-masalah sosial di kalangan remaja dan juga masyarakat kota. Dalam filem-filemnya sering digambarkan kemelut remaja kota, kehidupan remaja yang terbiar, keluarga yang bermasalah dan juga keluarga yang ketat memberikan perlindungan kepada anak-anak remaja. Pendek kata, dalam filem-filem Yusof kita akan didedahkan dengan segala permasalahan itu dan nasihat-nasihat serta cara-cara untuk mengatasinya.

Daripada strategi pasaran, remaja adalah golongan terbesar yang menonton filem di pawagam. Justeru itu tidak hairanlah kalau pemaparan persoalan atau kisah remaja adalah cara terbaik untuk menarik golongan remaja ini ke pawagam. Para pengarah dan penerbit menganggap, remaja hanya mahu menonton kisah yang dekat dengan kehidupan mereka sahaja. Memang pendapat ini tidak salah sepenuhnya. Malangnya, kisah remaja itu dilihat dari kacamata orang tua, sepertimana seorang datuk yang melihat kehidupan cucunya yang dikatakan bermasalah. Datuk itu datang dari zaman lalu yang cuba mengatasi masalah remaja di zaman global. Dia tidak dapat menangkap dan memahami realiti sebenar kehidupan remaja tersebut. Lalu dia menggunakan kayu ukur zamannya untuk menilai kehidupan dan menasihati remaja masa kini. Yang keliru bukan anak remaja tersebut tetapi orang tua yang tidak memahami perubahan zaman itu. Inilah agaknya sebuah filem remaja yang penuh mesej, nasihat orang tua untuk remaja.

Inilah keadaan yang berlaku dalam Sembilu 2005. Kejayaan filem Sembilu dan Sembilu II cuba diulang oleh Yusof Haslam. Mungkinkah formula yang membawa kejayaan pada Sembilu yang lalu masih dapat menarik perhatian remaja dan anak muda hari ini? Apatah lagi siri Sembilu yang disiarkan oleh televisyen mungkin dijangka dapat menjadi penarik perhatian remaja. Sedikit yang membezakan Sembilu 2005 dengan dua Sembilu yang lalu ialah pema-paran kisah hubungan cinta remaja antara dua kaum yang berlainan dan hubungan ini mendapat tentangan keras daripada kedua-dua keluarga remaja tersebut. Dua remaja tersebut, Salina (Hetty Sarlene) daripada keluarga Melayu dan Vince (Vince, pemenang Akademi Fantasia) daripada keluarga Pan-Asia (bapanya Inggeris dan Ibunya Cina) adalah pelajar tingkatan enam daripada sebuah sekolah berkawan rapat tetapi hubungan mereka bukan sahaja ditentang oleh kedua-dua keluarga atas alasan keturunan dan agama, tetapi juga ditentang oleh rakan sekolah atas alasan perbezaan kaum. 

Gelombang

Ketika dunia dalam gelombang komunikasi canggih dan menerima arus globalisasi sebagai realiti zaman, saya hairan sebuah filem yang begitu racist masih dihasilkan dan difahami secara yang begitu konvensional. Dialog-dialog yang begitu perkauman berleluasa dalam filem ini, sedangkan setiap hari kita bergaul mesra antara kaum dan perkahwinan antara kaum adalah sesuatu yang lumrah. 

Hampir tidak ada yang positif dalam hubungan antara kaum yang diutarakan dalam filem ini. Dua keluarga yang begitu taksub dengan bangsa sendiri dan benci dengan kaum lain dan yang lebih berbahaya elemen perkauman ini terbawa-bawa ke sekolah secara yang mengelirukan.

Tidakkah ini bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum? Inilah masalahnya apabila pengarah dan penulis yang berfahaman tahun 60-an dan 70-an cuba melihat masalah hubungan kaum tahun 2005. Kacau dan mengelirukan.

Penggunaan teknologi komunikasi yang canggih, rumah besar, kenderaan yang mahal dan kemewahan hidup adalah latar filem ini tetapi ia tidak difahami sepenuhnya oleh watak-watak remajanya (yang watak dewasa lagilah tak faham). Dalam zaman globalisasi dan ICT ini, mana ada jarak yang begitu jauh dan manusia dipisahkan oleh geografi yang memungkinkan mereka tidak dapat berhubung. 

Tetapi alasan yang mudah inilah yang digunakan oleh penulis untuk memisahkan hubungan antara Salina dengan Vince yang akan menetap di London. Macamlah adegan perpisahan dalam filem Antara Dua Darjat mampu menjarakkan hubungan dua remaja zaman moden.

Saya kira Yusof Haslam sebagai pengarah yang berpengalaman seharusnya lebih matang dalam Sembilu 2005 dan memahami realiti remaja hari ini. Tetapi, sayangnya Sembilu 2005 melihat rencam kehidupan remaja masa kini daripada kacamata orang tua dekad-dekad yang lalu, yang penuh dengan elemen kecemburuan kaum yang sudahpun dilupakan.