Anuar, Ziana dari kaca mata seorang adik
Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN
Petikan : Utusan Malaysia 30/9/2005
 

Sebelum ini kita selalu sangat mendengar cerita mengenai seseorang artis daripada mulutnya sendiri. Apa kata kali ini kita meminta pendapat mengenai dua orang artis popular tanah air dari kaca mata adik mereka.

MEGA telah menemu bual adik kepada dua orang penyanyi popular, siapa lagi kalau bukan Anuar Zain dan Ziana Zain. Saiful Faizal adalah adik kepada penyanyi Anuar dan Ziana Zain. Berusia 33 tahun dan merupakan anak ketiga daripada lima beradik. Bekerja sebagai Eksekutif Merchandiser di Bangsar. Menetap bersama Anuar dan orang tua mereka, Saiful atau lebih mesra dengan panggilan Apol menceritakan mengenai diri dua bintang popular itu.

``Anuar ini anak yang mendengar kata. Senang nak jaga berbanding saya ini. Seorang yang tak degil tapi tak tahan dengan mulut dia kalau dia membebel. Tak lokek dengan adik-adik. Dia sentiasa bersedia membantu kami bukan sahaja dari segi kewangan malah apa sahaja. 

``Tapi dia suka tidur lewat dan bangun lambat. Sebab kalau tak ada show, dia gemar keluar lepak-lepak dengan kawan-kawan waktu malam.  ``Orang selalu sangka dia lembut. Tapi sebenarnya dia tegas. Dia tak sensitif tapi kalau dia tak suka seseorang tu dia diam saja dan dia tak suka orang yang suka mengutuk belakang-belakang ini. Lagi satu, dia pantang orang guna barang dia. ``Kalau dari segi penampilan diri memang dia terlalu menjaganya. Mungkin terikut daripada abah, sebab abah memang smart dari dulu,'' katanya ketika ditemui di Genting Highlands baru-baru ini.

Ditanya mengenai Ziana pula, Apol berkata, ``Ziana ni anak sulung. Jadi apa-apa hal, mak dan abah akan refer padanya. ``Kepala kak Ziana memang gila-gila. Dia ni tak ada masalah, semua benda dia suka,'' kata Apol. 
Biarpun kakaknya Ziana sudah tidak menetap bersama keluarganya, menurut Apol, mereka sekeluarga selalu berkumpul pada hujung minggu.

Ditanya kepadanya apakah daya tarikan abangnya sehinggakan ramai wanita jatuh hati kepadanya, menurut Apol, ``Mungkin kerana muka dan penampilan dia.'' Mengenai jodoh Anuar, komen Apol, ``Dia terlalu sibuk. Naluri untuk mempunyai teman wanita itu ada, tapi dia tak ada masa. Sampai jodoh nanti, kahwinlah dia. Tapi buat masa ini dia tak ada girlfriend sebab terlalu sibuk dengan show.''

Apa pun kata Apol, dia tidak minat menyanyi. 

``Setakat karaoke bolehlah. Susah jadi public figure. Tengok mereka, saya pun jadi serik. Habis show kena tarik sana, sini. Tak ada waktu rehat. Pagi keluar, malam baru balik. Biar macam ni orang tak kenal lagi senang,'' kata Apol mengakhiri perbualan.