Kejutan untuk peminat - 
`Ia akan terjadi pada pertengahan atau penghujung 2005'
Oleh WANDA IDRIS
Petikan : Utusan Malaysia 31/3/2005
 
 


APABILA Ziana Zain kembali ke layar perak, tindakannya itu dilihat seakan-akan memungkiri janjinya sendiri. Masakan tidak, apabila dia mengambil keputusan untuk menikahi pramugara kanan Penerbangan Malaysia (MAS), Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin pada 9 Mei 1998, dia sudah menanam tekad, tidak mahu berlakon lagi.

Alasannya, untuk menjaga hati suami dan tidak mahu anak-anaknya melihat lakonannya kelak. Namun itu janjinya tujuh tahun lalu. Hari ini, sudah tiga buah filem dilakonkan. Pertama; Sembilu 2005 yang sedang hangat sambutannya di pawagam dan kedua Pontianak Menjerit yang menanti giliran untuk ditayangkan.

Terbaru, dia sibuk menjalani penggambaran filem Qabil Khushri Qabil Igam, terbitan Sonata Filem yang membabitkan kos pembikinan mencecah RM2 juta. Ketika mengadakan fotografi dengan Ziana baru-baru ini, Utusan Malaysia bertanyakan soalan yang sama. Namun ibu kepada Muhammad Aiman dan Muhamad Amar itu punya alasan tersendiri. Kata Ziana, selain permintaan peminat, dorongan daripada rakan artis sendiri membuatkan dirinya teruja untuk melayari kembali dunia yang satu itu. 

Lebih penting, suaminya merestui penglibatannya. Ziana sendiri dalam nada guraunya memberitahu, ``Sudah tiba masa saya kena keluar dari sangkar. ``Peminat setia selalu bertanya bila lagi nak berlakon. Jumpa pula rakan-rakan, juga bertanya soalan yang sama. Mereka selalu kata, jangan sia-siakan bakat yang ada. Armin pula tidak membantah, cuma katanya, pandai-pandai bawa diri. Iyalah kita ni kan isteri orang.

``Dalam masa yang sama, tawaran yang datang juga tidak mampu ditolak. Datuk Yusof Haslam misalnya, selalu bertanya bila nak berlakon dengan dia.  ``Kemudian pula dapat tawaran Qabil Khushri Qabil Igam. Bukan sahaja ceritanya mengagumkan malah bayarannya juga `lebat'. ``Mungkin tidak sampai ratusan ribu, tapi cukuplah untuk cover tahun-tahun saya tidak bekerja,'' kata Ziana sambil ketawa nakal.

Seketika kemudian dia kembali serius dan menjelaskan pendiriannya. Kata Ziana, dia perlu `melupakan bidang seni lakon' saat mengambil keputusan untuk berumah tangga untuk mengenali suaminya lebih rapat.

``Tahu sajalah, walaupun saya kenal Armin tapi hanya sebagai kawan dan kemudiannya bertunang dan baru nak bercinta. ``Itupun bukan dapat bebas dating. Tapi sempat jugalah tonton filem Titanic bersama waktu zaman bercinta tu. ``Jadi apabila kahwin, saya rasa itulah waktu terbaik untuk proses mengenali suami dan hati budi masing-masing. 

``Kemudian dapat pula anak. Dah berkeluarga, tahu sajalah sibuknya. Lagipun, tak sanggup rasanya meninggalkan mereka yang masih kecil. ``Sekarang mereka dah besar, Aiman pun dah bersekolah tadika dan Amar pula sudah semakin cerdik.  Tinggal ``Jadi taklah terasa sangat tinggalkan mereka. Pembantu rumah pun dah ada. Lagipun ini rezeki anak-anak juga...'' jelasnya.

Ziana yang mula diperkenalkan menerusi filem Sembilu juga tidak menolak tanggapan bahawa dia kembali ke dunia lakonan kerana merindui bidang tersebut. Tambahan pula, katanya, watak-watak yang ditawarkan memberi impak berlainan dalam kerjaya seni lakonnya. Jika dalam Sembilu 2005 dia terus dipertanggungjawabkan menjadi kakak yang garang, Pontianak Menjerit pula bakal menyaksikan Ziana sebagai seorang wanita glamor yang queen control.

Sebagai Rani dalam filem Qabil Khushri Qabil Igam, Ziana buat pertama kali diberi peranan sebagai seorang gadis yang lemah lembut. ``Saya bukan cerewet, tapi saya percaya, jika mahu buat come back, biarlah ia mampu memberi impak,'' tegasnya.

Sekalipun teruja dengan dunia lakonan, kata Ziana, dia tetap merindui bidang nyanyian lebih-lebih lagi telah lama tidak menghasilkan album baru. Kali terakhir Ziana muncul dengan album penuh ialah pada 2001 berjudul Aku Cintakan Mu, edaran BMG. Selepas berhijrah ke syarikat rakaman EMI, dia hanya sempat muncul dengan sebuah album kompilasi Ziana Zain No. 1 Live, rakaman konsert yang turut menampilkan dua lagu baru iaitu Lembah Asmara dan Bukan.

``Perancangan untuk menghasilkan album baru ketika itu tergendala apabila saya mengandung anak kedua.
``Kini saya sudah bersedia dan tidak sabar-sabar untuk menjalani rakaman di studio. Saya sekarang sedang mengumpul lagu-lagu. ``Tapi ada sesuatu yang ingin saya kejutkan kepada para peminat. Apa dia, tak bolehlah cakap sekarang. Ia akan terjadi pada pertengahan atau penghujung tahun ini,'' katanya tanpa mahu mengulas panjang dan memberitahu bahawa perkara yang dirahsiakannya itu masih dalam perbincangan.