Keindahan Berlian Brilliant Rose
Petikan : BERITA HARIAN  3/2/2003
 

KEINDAHAN kilauan berlian lazimnya kerap menambat setiap mata yang memandang terutama wanita, sehingga lahir ungkapan ia sebagai teman setia kaum hawa itu. Bagi wanita, berlian akan kekal menjadi antara koleksi perhiasan diri menyerlahkan lagi daya tarikan dan penampilan.Seiring peredaran, pilihan terhadap barangan kemas berlian kini semakin pelbagai sama ada dari segi jenama, corak dan rekaannya, namun mutunya tidak pernah berubah.Terbaru kemunculan Butik Berlian Brilliant Rose yang dirasmikan pembukaannya baru-baru ini dan dijangka mampu menawan wanita dengan rekaan-rekaan yang terkini. 

Perasmian pembukaan butik yang terletak di pusat membeli-belah Lot 10 itu telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Soo Kee Asia Sdn Bhd, syarikat yang menjadi pengedar tunggal Brilliant Rose, Peter Lim dan penyanyi Ziana Zain, yang dipilih sebagai duta bagi produk tersebut. Ia berlangsung serentak dengan pelancaran Pameran Berlian yang menampilkan beberapa permata berlian paling hebat di rantau ini.Pengurus Besarnya, Wong Jak berkata, berlian Brilliant Rose merupakan berlian paling berkilau dengan potongan 66 segi serta tambahan 8 segi berbanding berlian potongan lain. Katanya, potongan inovatif tersebut mencerminkan kejayaan dalam teknologi pemotongan berlian bagi menghasilkan berlian yang lebih bersinar dan mencapai imbangan sempurna.

Menurut beliau, perbezaan berlian Brilliant Rose boleh dilihat dengan membuat perbandingan secara visual dengan mana-mana berlian potongan bulat.``Kami berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan yang mahu memiliki berlian yang sempurna,'' ujarnya. mengenai pelantikan Ziana sebagai duta produk tersebut, Wong Jak berkata, pemilihan tersebut dibuat memandangkan penyanyi berkenaan mencermin kecantikan, keanggunan dan keperibadian wanita moden hari ini seiring dengan ciri-ciri Brilliant Rose. Turut hadir di majlis pelancaran tersebut dua selebriti TV3, iaitu pembaca berita Triana Yuliawiratman dan pengacara Majalah 3, Nor Azlina Redzuan.

| back |