Ziana Zain melepasi getir 2002
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
(saharudin@utusan.com.my)
Petikan : BERITA HARIAN 5/1/2003
Stail berambut pendek kelihatan benar-benar menceriakan artis wanita popular
Ziana Zain. Status isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata sebenarnya
bukan halangan untuk Ziana terus bergaya. Impian untuk berambut pendek
dan bergaya seperti seorang remaja sudah lama berputik. Cuma kata Ziana,
masa dan keadaan tidak berpihak kepadanya waktu itu. Sebelum membuat keputusan,
Ziana meluahkan hasratnya kepada suami, Armin Zaharin. Tanpa bantahan,
Armin memberi keizinan dan keputusan itu sudah cukup melegakan hati wanita
yang sudah mencecah usia 30-an ini. ``Armin tidak menghalang. Sebaliknya,
dia memberi restu terhadap apa yang saya fikirkan baik untuk diri saya.
``Satu perkara yang menarik
mengenai suami saya, setiap cadangan dan idea akan kami kongsi bersama.
Jika ada yang tidak kena, kami berdebat dengan cara baik untuk mendapatkan
penyelesaian,'' cerita Ziana dengan ramah.
Bagi Ziana, imej baru ini sekadar
mahu berubah selera. ``Sudah lama saya tidak mengejutkan peminat dengan
imej baru, sesekali apabila ada peluang apa salahnya,'' katanya seraya
ketawa dan membetulkan rambut yang baru didandan Nurul.Seperti juga fesyen
yang sering membaluti tubuhnya yang tinggi melampai, potongan terkini rambutnya
itu khabarnya turut menjadi pilihan sebilangan besar peminatnya.Calitan
pahit tahun 2002
Tahun 2002 sudah lima hari
ditinggalkan dan Ziana mengakui, tahun lalu beliau melalui sebuah episod
kehidupan yang banyak meninggalkan kenangan dalam hidupnya.
``Kehidupan perlu diteruskan.
Biar dihimpit dengan apa masalah sekalipun, saya sedar itu ujian dan dugaan
daripada Yang Maha Esa,'' kata ibu kepada Muhammad Aiman, permata hatinya
yang semakin keletah.Tahun lalu menyaksikan kekecohan dalam dunia hiburan
apabila kisah rumah tangga Ziana dan suaminya menjadi bahan perbualan masyarakat.Itulah
satu-satunya cerita yang benar-benar menghiris hati Ziana yang tidak pernah
menyangka sehingga ke tahap itu cerita peribadinya diintai oleh pihak yang
tidak bertanggungjawab.
Kehidupan Ziana ketika itu cukup
tertekan. Seperti wanita lain, beliau sendiri tidak gemar cerita rumah
tangganya menjadi bahan bualan masyarakat.Pada awalnya, Ziana sekadar berdiam
diri dan enggan memberi sebarang ulasan kerana bimbang gosip-gosip liar
itu akan membuatkan orang lebih percaya kepada situasi yang tidak wujud.Sehinggalah
pada suatu ketika keadaan mendesaknya memberikan kenyataan kepada media.
Ziana sudah tidak tahan lagi dengan andaian yang seolah-olah benar berlaku
dibuat oleh orang sekeliling. Malah mereka juga seakan-akan lebih tahu
kehidupan peribadinya berbanding dirinya sendiri.``Semua itu memberi pengajaran
kepada saya. Ketika berhadapan dengan masalah ini, saya menjadi lebih tabah
dan semakin kuat untuk melalui kehidupan rumah tangga,'' kata Ziana penuh
tenang.Kini, beliau boleh menarik nafas lega kerana rumah tangganya berjalan
lancar.
Harapan 2003...
JIKA tahun 2002 dilalui dengan
penuh kesulitan, Ziana optimis tahun ini akan menjadi jauh lebih mencabar
daripada tahun-tahun yang dilaluinya sebelum ini.Tumpuan kariernya sudah
mula bercabang dan tidak lagi hanya terbatas kepada bidang seni suara.
Ziana semakin menyedari beliau memerlukan karier alternatif andai kata
suatu hari nanti, beliau membuat keputusan untuk tidak menyanyi lagi.Biarpun
begitu, Ziana belum bersedia menghebahkan apakah cabang perniagaan yang
akan diusahakannya.``Semuanya akan saya umumkan tidak lama lagi. Biarlah
pada masa ini semuanya menjadi rahsia terlebih dahulu.``Tetapi, jangan
bimbang ia bukanlah perniagaan yang melibatkan modal berjuta-juta ringgit.
Saya belum mampu untuk capai kedudukan itu. Perniagaan saya ini bermula
dengan modal yang kecil,'' kata Ziana enggan mengulas lanjut.Sesudah lebih
10 tahun mengukuhkan kedudukan sebagai artis popular, Ziana merasakan sudah
tiba masanya untuk beliau menggunakan namanya sebagai `label' untuk menjalankan
perniagaan. Bukan mahu mendabik dada, sebaliknya, jauh di sudut hati Ziana
percaya, beliau dapat menzahirkan impiannya untuk memiliki empayar perniagaannya
sendiri dengan menggunakan namanya sebagai label.``Baru kini saya mempunyai
keyakinan diri yang teguh untuk berniaga. Perniagaan ini lebih kepada jaminan
kehidupan saya untuk masa depan,'' ujar Ziana, 34.
Album baru Ziana...
TAHUN ini juga, Ziana akan
kembali ke studio untuk merakamkan album sulungnya bersama syarikat rakaman
yang baru dinaunginya iaitu EMI Music (Malaysia) Sdn. Bhd.Ziana berikrar
memberikan persembahan yang terbaik untuk album ini dalam usaha untuk memberi
kepuasan kepada semua pihak yang meletakkan harapan yang cukup tinggi.``Saya
dan syarikat rakaman berhati-hati sekali untuk album ini kerana kami mahu
memberikan hasil yang terbaik,'' kata kakak kepada penyanyi lelaki terkenal,
Anuar Zain ini lagi.Ziana mengakui, beliau sudah tidak sabar-sabar lagi
untuk ke studio dan bekerjasama dengan penerbit dan komposer hebat seperti
Ajai, Azmeer, Ross Ariffin, Wahab, Greg Henderson, Johari Teh dan Ahmad
Izham Omar.Mengikut perancangannya, sebelum pertengahan tahun ini, album
berkenaan akan dilancarkan.
Yang harus diingati mengenai
Ziana
- PERNAH bekerja di salah sebuah
hotel di Shah Alam, Selangor sebagai juruwang sebaik tamat pengajian sekolah
menengah.
- Mungkin juga ramai yang terlupa
Ziana pernah bekerja sebagai operator pengeluaran wanita di kilang JVC
di Shah Alam, Selangor.
- Ziana juga pernah bertugas
di awan biru sebagai pramugari dengan Penerbangan Malaysia (MAS).
- Mula menimba pengalaman sebagai
penyanyi dengan kombo Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum merakamkan album
dengan syarikat rakaman BMG Music.
- Lagu Madah Berhelah ciptaan
Saari Amri merupakan lagu yang mula-mula memperkenalkan Ziana kepada dunia
seni.
- Kerjaya seni Ziana pernah
diuruskan oleh bapanya, Zain Abdullah.
- Ziana jarang mencetus kontroversi
khususnya berhubung hal-hal peribadinya.
- Semasa belum berumah tangga,
Ziana juga jarang dikaitkan mempunyai hubungan intim dengan mana-mana artis
lelaki.
- Majlis persandingan Ziana
dengan Armin Zaharin di kediaman ibu bapanya di Shah Alam, Selangor pada
10 Mei 1998 dihadiri oleh 10,000 peminat.
- Pernah berlakon beberapa
buah filem antaranya, Sembilu, Sembilu II dan Merah. Selepas berkahwin,
Ziana membuat keputusan enggan berlakon lagi.
- Ziana pernah dilantik sebagai
salah seorang jurucakap jam tangan mewah, Omega.
- Bersama anaknya, Muhammad
Aiman, Ziana ditawarkan menjadi model bagi tilam Vono.
| back
| |