Ziana jaga badan jaga makan
Oleh Tajaiyah Ihsan Utusan Malaysia 6/2/2005 SESUATU yang menarik mengenai Ziana Zain ialah kepetahan bercakap dan apa yang dituturkan itu jelas lagi bernas.Barangkali ini boleh diteladani oleh pendatang baru yang ingin mencari nama dan menjadikan nyanyian sebagai kerjaya di dalam industri hiburan. Kala ditemui di sidang media Ziana dan pusat kecantikan Slimworld baru-baru ini, selain melayani pertanyaan wakil media dia juga terlebih dahulu berdialog dengan pelanggan Slimworld. Dia ditanya semuanya daripada soal kecantikan hinggalah kerjayanya sebagai penyanyi dan peranannya sebagai ibu kepada dua orang anak.Tegas dan yakin dengan apa yang diperkatakan Ziana memberikan pendapatnya satu per satu. Menariknya dalam tegas itu diselitkan unsur humor menjadikan temu bual tidak bosan. Menjaga kecantikan Dalam soal makanan ini, Ziana akui dia begitu berhati-hati. Malah dia mengamalkan diet yang seimbang. ``Saya kurangkan makanan berlemak, berkanji, kurangkan gula, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan tanpa melupakan makanan berserat dan protein. Ini juga bermakna Ziana cuba elakkan makan roti canai dan nasi lemak sebelah pagi. Seminggu sekali kalau teringin barulah makan. Selain itu Ziana juga mengelak makan malam lebih dari pukul 7 malam. Kalau lapar sekalipun Ziana tidak akan `cari nasi' cukup sekadar secawan Milo panas atau Quaker oat panas serta beberapa keping biskut sebagai alas perut.Kalau makannya bagaikan disukat, Ziana juga tidak melupakan senaman bagi memastikan dirinya segar dan cergas. Kata Ziana, dia cukup gembira apabila ditawarkan sekali lagi sebagai jurucakap salun kecantikan badan SlimWorld untuk tahun yang kedua.``Banyak manfaat yang Ziana dapat. Bukan sahaja makan yang Ziana perlu jaga tetapi untuk mengekalkan berat badan yang sepadan dengan ketinggian Ziana.Di pusat kecantikan ini Ziana mengikuti program kelangsingan dan kecergasan badan. Selepas bersalin dan berpantang 60 hari tidak berapa lama dulu Ziana ditawarkan menjalani program Slimworld.``Pihak pusat kecantikan ini menyediakan program diet khas seperti yang menyentuh pemakanan dan juga senaman.''Nampaknya hari ini Ziana sudah memperoleh berat badan yang diinginkan. Selain itu Ziana hanya makan nasi daripada jenis beras herbaponik. Tidak suka terlampau Ziana memberitahu dalam banyak
perkara dia tidak suka terlampau. Terlampau kurus misalnya menakutkannya.
Tidak sorok umur Bila menyentuh soal keluarga ibu kepada dua orang anak ini, Aiman dan Amar, terus terang memberitahu keluarganya adalah prioriti dalam hidupnya. ``Kerja tu kerja juga tapi anak-anak itulah yang utama. Sebab itu kalau saya ada kerja dan membolehkah saya membawa keluarga, saya akan bawa mereka. ``Sebenarnya saya bersyukur kerana keluarga dan suami memahami kerjaya saya dan mereka banyak membantu saya dalam kerjaya ini,'' ujar Ziana lagi. Wanita berusia 37 tahun ini, tidak menyorokkan usianya malah cukup selesa bila ditanya mengenai umurnya itu. Sesetengah artis sensitif fasal umur. Apabila tanya fasal umur mulalah berfalsafah padahal nak sembunyikan umur bimbang orang kata tua. Mujurlah Ziana tidak seperti itu. Cuma kata Ziana, dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk menambahkan bilangan anak kerana akan menjangkau usia 40 tahun tiga tahun lagi. ``Dengan dua orang anak ini, Ziana pun sudah rasa bahagia. Kalau datang seorang dua lagi baik juga. Tapi kalau sudah melebihi 40 tahun, takut pula nak bersalin,'' ujar Ziana lagi. Album dan filem baru Ziana masih lagi menerima banyak persembahan makan malam di sana sini selain masih kekal menjadi jurucakap jam tangan Omega dan tilam Vono. Katanya, sehingga ini jika dia ditawarkan untuk memperagakan beg tangan atau kasut dia tidak akan menolak. Andai itu yang berlaku kira lengkaplah penajaan yang diterimanya. Bagi Ziana ini merupakan satu
kepercayaan dan penghargaan orang lain untuknya. Atas sokongan peminat
dan banyak pihak Ziana sudah berjaya membina nama seperti hari ini.Barangkali
kerana itulah Ziana cukup mesra dengan sesiapa sahaja dan melayani pertanyaan
setiap yang hadir di majlis itu.Kini Ziana sudah membuat persediaan untuk
membuat album baru dan akan berlakon dalam dua buah filem lagi selain menanti
tayangan filem lakonannya Pontianak Menjerit dan Sembilu 2005, Apabila
ditanya apakah yang menyeronokkan? Ziana memberitahu, saat tengok anak
pandai mengaji dan mula celik komputer.``Katanya, zaman siber ini, semuanya
fasal teknologi dan komputer tetapi sebagai ibu bapa selain beri pengetahuan
kena juga fikirkan pembangunan rohani.``Itula sebabnya anak sulungnya dimasukkan
di kelas tadika yang bukan sahaja didedahkan dengan sukatan pelajaran akademik
tetapi yang menekankan fardu ain,'' ujar Ziana.
|