Menanti cahaya mata kedua
Oleh ROSLI MANAH
Petikan : BERITA HARIAN 7/4/03

 
ZIANA ZAIN di samping poster persembahan Minggu Setiausaha 15 April ini.
 

PENYANYI bersuara lantang, Ziana Zain mengumumkan bahawa dia akan mengurangkan aktivitinya terutama persembahan pentas mulai bulan depan. Keputusan tersebut dibuat oleh penyanyi Madah Berhelah itu bagi menjaga kandungannya yang kini berusia tiga bulan. Persembahan makan tengahari anjuran Hotel Quality Shah Alam sempena Minggu Setiausaha pada 15 April ini adalah persembahan terbukanya yang terakhir sebelum bersalin. ``Justeru, saya berharap peminat saya tidak melepaskan peluang untuk melihat persembahan tersebut sebelum saya bercuti panjang,'' katanya yang mengandung kali kedua. Bagaimanapun, Ziana tetap akan muncul dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 26 April depan sebelum berehat panjang.

Menariknya, rehatnya bukan rehat kosong sebaliknya akan berisi dengan kelahiran album terbaru yang dijangka dipasarkan Mei atau Jun depan. ``Kini saya sedang giat menjalani rakaman album baru,'' kata Ziana semasa ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. Lagu ciptaan Ajai berjudul Ke Lembah Asmara dipilih sebagai judul album terbarunya. Lagu itu dijangka akan berkumandang di corong radio dalam waktu yang terdekat. ``Saya harus menunggu giliran untuk mempromosikan album tersebut kerana ada beberapa artis lain yang bernaung di bawah syarikat yang sama sedang mengadakan promosi. ``Ini termasuklah album Sharifah Aini, Thoo Phat dan Ella yang masih dalam tempoh promosi,'' kata penyanyi yang bernaung di bawah bumbung syarikat EMI itu.

Berbangga Menyentuh persembahan sempena minggu setiausaha itu, Ziana nyata berbangga kerana berpeluang menyanyi dalam majlis anjuran tempat kerja lamanya. Tidak ramai yang tahu bahawa Ziana pernah bekerja sebagai juru wang di coffee house hotel itu sebelum menjadi penyanyi. ``Saya seronok dapat bekerjasama dengan kawan-kawan lama dalam menjayakan persembahan ini. Sekurang-kurangnya program ini dapat mengembalikan kenangan ketika saya bekerja di sana,'' kata Ziana lagi. Penyanyi dan pelakon yang peramah ini tidak akan menjadikan keadaan dirinya yang sedang hamil untuk membataskan pergerakan semasa menyanyi. ``Saya berjanji membuat persembahan terbaik dan menari sebagaimana biasa,'' ujarnya lagi. Persembahan sejam yang akan diadakan di Dewan Banquet, Majlis Bandaraya Shah Alam itu akan diselitkan lagu-lagu popular petikan albumnya dan juga lagu-lagu popular semasa. ``Saya juga akan adakan segmen berceloteh bersama setiausaha dan ketua mereka,'' ujar Ziana lagi. Bayaran dari RM130 dikenakan untuk setiap orang dengan kapasiti 700 tetamu. Tempahan boleh dibuat di talian 03-55103696 sambungan 8328 dan 8814.Pengurus Besar hotel, Johan Thomas berkata, mereka akan menyediakan tabung untuk kutipan derma bagi disalurkan kepada rakyat Iraq sempena majlis makan tengahari itu.