DEMONSTRASI BUKAN NAK JATUHKAN KERAJAAN
Siri-siri perhimpunan rakyat yang diadakan setiap minggu di ibukota dan di seluruh negara adalah salah satu usaha rakyat untuk menghantar mesej kepada Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad bahawa rakyat sedang menuntut sesuatu yang tidak dapat dituntut melalui cara lain melainkan berdemonstrasi.
Rakyat bukan hendak menumbangkan kerajaan walaupun sebenarnya rakyat boleh buat begitu kalau mahu. Tetapi yang rakyat tuntut adalah dilakukan reformasi menyeluruh dalam pelbagai aspek kenegaraan. Rakyat tidak berpuas dan rakyat mahu sampaikan khabar ini pada Perdana Menteri.
Walaupun rakyat sudah ada wakil yang dilakntik, tapi sejak akhir-akhir ini wakil-wakil rakyat tersebut sudah asyik sangat dengan kerusi dan takut hilang kedudukan kalau bercakap tidak senada dengan bosnya. Lagipun kebanyakan mereka sudah menjadi sangat takut kerana masing-masing ada "fail" yang bos mereka pegang. Lantang bicara, fail dibuka. Nak selamat, diamkan saja.
Jadi rakyat sudah ketiadaan wakil yang dapat mewakili mereka. Kalau pun ada hanyalah wakil yang bukan dari kerajaan. Mereka itu tidaklah banyak lebihnya dari rakyat. Apa yang mereka boleh buat pun samalah juga dengan rakyat sekadar bercakap diluar. Paling baik pun cakap dalam Parlimen. Jadi lebih baik rakyat ramai-ramai bercakap di atas jalanraya supaya satu dunia boleh dengar.
Yang rakyat buat sekarang bukan nak jatuhkan kerajan tetapi menuntut keadilan. Rakyat menuntut perubahan. Rakyat yang berhimpun bukannya bodoh dan tak faham undang-undang atau perlembagaan. Rakyat tahu bila masanya nak tukar atau jatuhkan kerajaan. Tunggulah masanya rakyat akan buat keputusan. Pilihanraya umum yang akan datang rakyat akan buat pilihan. Pilihannya ….. RRR…
Tapi sekarang ini rakyat sudah tak tahan. Mereka mahukan sesuatu perubahan yang mesti disegerakan. Kalau perubahan tersebut pun tidak boleh dibuat, Dr. Mahathir tidak harus segan-segan untuk undur dari jawatan.
Rakyat tidak minta banyak. Rakyat hanya mahukan keadilan. Rakyat tahu apa yang berlaku pada Anwar adalah jelmaan kezaliman orang yang gelabah kerana "zip seluarnya dah terbuka". Jadi yang Mahazalim ini sudah tersangat malu pada rakyat. Rakyat yang dulunya lihat Mahathir sebagai seorang negarawan bertaraf dunia, dengan tiba-tiba tersentak apabila sesuatu yang memalukan kelihatan. Semua kedajalan yang dilakukannya tiba-tiba Allah tunjukkan kepada dunia. Rakyat sangka Mahathir memang negarawan hebat, RRRupa-rupanya dia hanya seorang pemimpin biasa yang pakai "susuk" dan "air jampi bomoh luar negara" untuk dilihat hebat. Macamlah Ashaari suatu ketika dulu.
Rakyat mahu supaya Mahathir bertanggungjawab terhadap ketidakadilan dan kezaliman yang dilakukannya. Mahathir adalah kepala negara dan dia harus bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Mahathir tidak boleh lepas tangan terutama dalam kes Anwar kerana kes Anwar dicipta dan dikendalikan olehnya secara peribadi.
Mahathir yang bertanggungjawab membawa berpuluh cerita fitnah tentang Anwar yang tidak dipercayai oleh satu dunia. Mahathirlah yang bertanggungjawab menyuruh "bala tenteranya masuk kampung" untuk menyebarluaskan berita fitnah. Mahathirlah yang bertanggungjawab merekayasa pertuduhan, pendakwaan, persaksian, pengadilan dan penghakiman terhadap dua orang warga asing sehingga mereka terpaksa mengaku salah melakukan sesuatu yang tidak mereka lakukan.
Mahathirlah yang bertanggungjawab terhadap penahanan Anwar dan kawan-kawannya di bawah ISA. Mahathirlah yang bertanggungjawab terhadap kecederaan parah pada Anwar dan juga kepada lain-lain tahanan pendokong reformasi, yang akan dibukukan sedikit masa lagi. Mahathirlah yang bertanggungjawab mempastikan hakim Agustine yang pemabuk dan punya rekod yang meragukan menghakimi kes Anwar.
Mahathirlah yang bertanggungjawab mengarahkan polis menjadi agen provokasi untuk mencetuskan rusuhan dan kemudiannya menyalahkan rakyat yang berhimpun secara aman. Mahathirlah yang bertanggungjawab mengarahkan polis melakukan kekasaran dan kezaliman yang amat dahsyat terhadap wanita, orang tua dan kanak-kanak yang berhimpun secara aman di ibu kota dan di seluruh negara. Dan akhir sekali, Mahathirlah yang bertanggungjawab terhadap hukuman salah yang bakal dijatuhkan kepada Anwar di atas suatu tuduhan yang direka sebegitu rupa.
Mahathir jangan fikir rakyat akan menerima segala keputusan mahkamah yang kewibawaannya kini sudah dipertikaikan. Rakyat bukan semuanya peguam, tapi kalau Bar Council sudah menyatakan kebimbangan mereka terhadap sistem kehakiman negara pada hari ini, terutama dalam kes Munawar Anees dan Sukma Dermawan, maka rakyat tentunya akan lebih curiga terhadap kewibawaan sistem kehakiman negara.
Inilah sebahagian dari keresahan serta kebimbangan rakyat dan inilah sebahagian dari tuntutan rakyat. kepada Mahathir. Yang lain ada banyak lagi, tapi sebelum rakyat tuntut yang lain, selesaikan tuntutan yang ini dulu. Mahathir harus bertanggjawab terhadap semua itu dan dia harus lakukan sesuatu dengan segera untuk mengembalikan sebahagian dari ketidakyakinan rakyat kepadanya. Kalau Mahathir tidak mahu bertanggungjawab, Mahathir Mesti Turun dan Turun Segera!! sebelum rakyat naik menurunkan dia !!
Kalau Mahathir (Jika dia masih berpegang kepada Islam) bertanggungjawab, dia harus buktikan secara syar’ie tuduhan liwat atau zina oleh Anwar. Dia harus bawa kes ini ke Mahkamah Syar’iyyah bukan ke Mahkamah Sivil. Mahathir mesti mencari saksi yang adil bagi membuktikan tuduhannya dan kalau gagal Mahathir harus sedia dihukum. Ini baru satu kes yang Mahathir harus pertanggungjawabkan. Habis satu kes ini rakyat untuk terus menuntut Mahathir bertanggungjawab terhadap semua tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu.
Warga Veteran Chow Kit
Kuala Lumpr