Berita Dari Rumah Kak Wan

 

TIADA SEBAB SAYA HENDAK DITAHAN ISA – DR. WAN AZIZAH

Bukit Damansara - 21 Oktober 1998 :

Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan) hari ini menjelaskan bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh mewajarkan sebarang tindakan menahan beliau di bawah ISA. Kehadiran beliau ke Jalan Tuanku Abdul Rahman pada hari Sabtu yang lalu adalah suatu aktiviti biasa yang berlaku secara kebetulan. Sebagai seorang suri rumah tangga yang kini tidak dapat bersama suaminya yang ditahan polis, beliau merasakan suatu keperluan biasa baginya untuk pergi membeli belah di kawasan pusat membeli belah yang popular itu. Kehadirannya adalah secara kebetulan dan dia tidak menyertai perhimpunan penyokong-penyokong reformasi yang berhimpun di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman Sabtu lalu.

Kak Wan membuat kenyataan berkenaan dalam satu sidang media di kediamannya pada hari ini jam 1.15 tengahari. Beliau juga memetik kenyataan Dr. Mahathir di Jepun yang menyatakan bahawa tindakan beliau sebagai wajar bagi membela suaminya walaupun kehadiran beliau ke sana bukan atas sebab sedemikian. Beliau setuju dengan kenyataan Dr. Mahathir yang tidak nampak sebarang justifikasi atau sebab bagi pihak polis menahan beliau dibawah Akta Keselamatan dalam negeri. Dengan demikian tidak wajar bagi sesiapa untuk menimbulkan isu atau khabar angin mengenai penahanan beliau di bawah ISA.

Di akhir sidang media tersebut salah seorang pembantu Kak Wan dengan nada berseloroh menyebut "Tak kanlah nak lambai tangan kepada orang ramai yang sokong suami dia pun tak boleh. Tak kanlah melambaikan tangan pun boleh mengancam keselamatan negara. Lagi pun tangan yang melambai tu tangan seorang perempuan, seorang ibu. Apalah sangat bahayanya".

 

-Wartawan RU