BELANJAWAN MAHATHIR 99:
HIKAYAT KENDURI BESAR, PAKAI BAJU TAK PAKAI SELUAR

Belanjawan 1999 menyaksikan satu lagi drama hebat Dr. Mahathir  yang memperjudikan nasib dan masa depan rakyat. Seperti biasa Mahathir mempesonakan mereka yang tidak faham hakikat ekonomi negara dengan suara lantang menyerang orang lain. Dia mengelirukan orang dengan memperalatkan istilah mesra rakyat.. Orang kampung yang tak pernah mengaji ekonomi memang tak faham keadaan sebenar. Yang mereka faham cuma cukai naik atau turun. Yang mereka faham hanyalah harga barang akan naik atau turun. Yang mereka ingin tahu hanyalah berapa banyak wang akan diberikan melalui projek di kampung mereka.

Semuanya ini telah berjaya Mahathir persembahkan kepada rakyat dengan baik. Tetapi sebahagian rakyat yang tak faham perjalanan ekonomi negara tak akan nampak apa-apa yang merbahaya dalam belanjawan yang dibentangkan kali ini. Rakyat di kampung ramai yang tak faham dan Mahathir menggunakan ketidakfahaman ini untuk memperhebat gelembongnya dan mengaburi mata rakyat. Rakyat di kampung harus fikir dalam-dalam. Jangan sampai ke hujung jalan baru perasan telah tersasar dan tersesat. Oleh itu sebelum puji dan terima kasih dan sokong belanjawan Mahathir ini cuba fikir dan tenung dalam-dalam. Paling tidak cuba tanya diri kita sendiri. Apa yang kita faham dengan belanjawan defisit yang dibawa oleh Mahathir itu.

Makna Belanjawan Defisit ialah belanja lebih, pendapatan kurang. Duit yang tak cukup minta hutang.  Rakyat kena tahu, negara kita sekarang tak cukup duit untuk berbelanja besar. Negara kita tak cukup duit nak sambung dan tambah projek-projek besar. Duit yang ada cukup untuk makan dan belanja secara sederhana. Yang nak hutang berbilion semata-mata nak teruskan projek besar kononnya nak pulih ekonomi tu buat apa?  Nak pulih ekonomi ada banyak lagi cara lain, bukan semata-mata buat projek besar dan harap rakyat dapat kerja.

Galaklah  rakyat ramai-ramai berniaga. Janganlah  asyik sibuk sediakan duit dan tambah peluang berniaga kepada beberapa kerat kroni yang besar sahaja. Yang tauke besar-besar tu sekali dia belanja makan boleh buka 2-3 buah bengkel jahitan atau 4-5 buah warung kopi. Cukuplah bagi hutang pada yang kaya tu !! Rakyat miskin yang ramai pun tahu buat kerja untuk pulihkan ekonomi. Kalau rakyat semua kurangkan berbelanja, kalau boleh berpuasa dan tambah produktiviti kerja serta elakkan bergantung kepada sesiapa, kita tidak akan susah apa-apa. Kalau banyak orang ceburi sektor niaga dan jujur pula, hidup kita akan bahagia. Tuhan dah jamin bahawa 90% punca rezeki adalah dari berniaga. Berilah sebanyak-banyak peluang dan peruntukan untuk rakyat terbanyak berniaga, bukan dua tiga kerat korporat yang tidak pernah ingat nak bantu orang kecil berniaga. Tapi nampaknya Mahathir lebih suka menjayakan yang kaya raya dari memajukan rakyat  miskin dan sederhana.

Rakyat juga kena tahu bahawa  yang akan mengatur segala urusan perbelanjaan negara adalah Mahathir. Yang akan tanggung hutang adalah kita rakyat jelata yang sokong kerajaan Mahathir. Akhir tahun 1999 kita akan berhutang lebih 16 billion ringgit . Yang kena tanggung dan bayar hutang adalah kita rakyat jelata. Yang akan banyak guna duit  yang rakyat  hutang adalah beberapa kerat orang kaya yang sudah ada rumah besar luar negara. Kalau apa-apa yang buruk jadi pada negara,  mereka boleh lari bila-bila masa. Jet peribadi pun sudah ada.  Apa yang susah bagi mereka.

Mahathir bercakap sedap pasal belanjawan, sebab dia buat andaian dapat pinjam wang dari luar negara. Soalnya bolehkah Malaysia sekarang ini dapatkan hutang dari luar. Bank Dunia dulu  yang janji nak bagi pinjam 1 billion  pun hanya serah 300 juta sahaja . Lagi 700 juta kena tahan, sebab tak puas hati cara Mahathir urus ekonomi dan politik negara. Nak pinjam dari Jepun pun belum tentu dapat. PM Jepun nak bagi signal. Kalau nak pinjam kenalah pastikan kestabilan politik di dalam negara. Jarang benar PM Jepun cakap macam tu sebelum ini pada tetamunya. Apa maknanya ? Maknanya tak mudahlah nak pinjam dari Jepun. Lagipun Jepun kena tanya Amerika dulu sebelum bagi pinjam.  Dari IMF memang pantang Mahathir. Amerika, lagilah tak ada. Pak-Pak Arab tak mungkin bagi pinjam dengan mudah sebab mereka semua subuh-subuh lagi sokong Anwar.

Jadi Mahathir nak pinjam dari mana? Kalau tak dapat pinjam dalam tempoh 4-5 bulan ini apa akan jadi dengan belanjawan 99. Yang akan terjadi hanyalah hikayat  janji-janji  kosong. Hikayat Kenduri Besar. Duit tak ada, cerita berdegar. Hikayat pengantin berbaju, tak pakai seluar. Atas nampak cantik, tengok bawah, susah nak khabar.  Hikayat ini memang sesuai sekali diperdengarkan kepada orang kampung menjelang pilihanraya umum akan datang. Orang Melayu memang selalu terpegun dengan hikayat-hikayat. Orang Melayu boleh terlena kalau dengar hikayat. Kini  Mahathir  sedang dalam proses menceriterakan sebuah hikayat yang boleh melenakan orang  Melayu yang kurang sedar.

Inilah antara modal akhir Mahathir untuk memenangi hati rakyat dan seterusnya memenangi pilihanraya.  Mahathir akan terus mendendangkan hikayat belanjawan mesra rakyat ini sehingga rakyat  terlena dan dalam terlena inilah Mahathir akan kutip segala cap jari rakyat untuk tunjukkan pada dunia tentang sokongan rakyat yang terlena kepadanya.  Jadinya kalau rakyat  terpedaya dengan hikayat belanjawan Mahathir kali ini , bermakna sekali lagi kekayaan negara akan difaraid oleh Mahathir dan kerabat serta kroninya.

Tapi Mahathir silap kira-kira kali ini. Dia barangkali tidak tahu bahawa se tahun dua  ini Internet dah  masuk kampung. Kalaupun internet tak nampak dalam kampung tapi anak pinak dan kerabat yang kerja di pekan dan di bandar bawa pulang  berita dari internet hari-hari. Anak-anak dan adik beradik  di kota pun telepon dua tiga kali seminggu cerita dan yakinkan mak bapak mereka tentang usaha Mahathir memperbodohkan rakyat.

Sebab itu di warung kopi Pekan Kodiang (sempadan Arau), sudah terdengar bunyi tokoh UMNO tempatan yang dalam nada geram menyebut : Awat depa ingat oghang kampong  macam kita ni bodo ? Cukai naik ka,  turun ka , kali ini kami tak peduli . Belanjawan mesra ka, belanjawan meresah ka kami tak kira ! Yang penting  kali ini Mahathir mesti turun !  Ada ka patut, juai minyak petrol berbilion-bilion, ambil duit tu bayak hutang geng dia. Apa ceghita ni ! Dah  tu kompeni anak dia rugi bemelion-melion dia suruh kerajaan beli . Mana boleh jadi.  Kali ini dia tengok ! Bagi duit kami ambik, bagi peruntukan kami terima. Undi …Sori . Kita mesti sokong …. apa tu ? … REPOMASI ka..  apa ka !!  Yang Anwar punya tu la !!
 

Anak Pak Teh
Felda Guar Napai
Kubang Pasu, Kedah.