TERIMA KASIH MAHATHIR                                                                                                    

Terima Kasih Mahathir
Kerana kau mengepalai rakyat menentang Raja Melayu
Dan kami pun sedar yang berkuasa sebenarnya ialah rakyat
Kami bersuara, berhimpun dan melaung
Tanpa takut kepada ISA, Akta Hasutan
Dan undang-undang lain ciptaan manusia di Parlimen itu.

Terima Kasih Mahathir
Kau memperkenalkan orang Melayu tentang saham
Dan ramailah di kalangan kami yang menjadi usahawan kertas
Kaya, sesetengahnya teramat kaya
Tak sedikit lupa daratan
Tetapi ramai yang sedar bahawa kekayaan bukan abadi

Terima Kasih Mahathir
Kau memperkenalkan kami tentang Wawasan
Tentang MSC dan Internet
Dan berfikirlah kami tentang masa depan yang gemilang
Negara maju, negara adil, negara demokratik yang matang
Tetapi tak sedikit yang kebengongan
Menilai antara Wawasan dengan Kenyataan:
Mengapa ISA masih bermaharajalela?
Mengapa media massa masih membodohkan rakyat?
Mengapa polis masih berterusan "melanun"?
Mengapa instrumen kerajaan menjadi kuda tunggangan UMNO?
Mengapa pemimpin UMNO kau sangkarkan?
Mengapa kuasa terus kau puja sedang umurmu tinggal sisa?
Mengapa nepotisme dan kronisme terus kau perjuangkan?
Mengapa Anwar kau fitnah dan penjarakan?
Mengapa mengapa mengapa dan mengapa?

Terima Kasih Mahathir
Kerana kau sendiri menyedarkan kami
Bahawa kau adalah manusia double standard, hipokrit!
Tamak kuasa, hantu konspirasi dan gila harta
Terima kasih sekali lagi ...

PENYAIR REFORMASI