PENGIKUT UMNO EJEK PEMIMPIN TERTINGGI DI IBU PEJABATNYA..... Saya telah mengikuti
 perkembangan politik Umno sejak dari zaman Onn Jaafar hingga ke zaman Mahathir, tetapi saya tidak pernah alami
 seperti mana yang berlaku di bangunan Umno pada malam 3 September kelmarin. Sebelum ini, belum ada seorang
 wartawan dan pemerhati politik yang menyaksikan ahli sebuah parti politik memaki hamun dan mengejek serta melontar
 objek kepada para pemimpinnya di bangunan yang dimiliki oleh parti yang berkenaan. Tetapi perkara yang ganjil dan
 unik itu berlaku di bangunan Umno pada malam Khamis kelmarin sebelum dan selepas Majlis Tertinggi Umno
 mengadakan sidang khas kerana membincangkan kedudukan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden
 Umno. Para pengikut Anwar Ibrahim dari seluruh negara yang berada di bangunan Umno itu, terus mengejek dan
 menge`boo' Tun Daim sebaik-baik sahaja bekas Menteri Kewangan itu sampai di bangunan tersebut. Kira-kira 1,000
 orang lebih ahli-ahli Umno yang bersimpati dengan Anwar Ibrahim terus bertakbir, bersalawat dan kadang kala menyanyi
 lagu-lagu patriotik selama mereka berada di bangunan Umno itu. Risalah-risalah yang menolak tuduhan pimpinan Umno
 terhadap Anwar Ibrahim telah diedarkan kepada orang ramai yang berada di PWTC itu. Selain dari itu, poster dan
 sepanduk yang menuntut supaya pihak yang berkenaan berlaku adil kepada Anwar Ibrahim telah kelihatan di sana sini di
 bangunan Umno itu. Kehadiran pasukan polis dan pegawai-pegawai Cawangan Khas, tidak menghalang para pengikut
 Anwar melaungkan slogan "hidup Anwar, hidup Anwar, hidup Anwar" dalam suasana yang agak tegang itu. Walaupun,
 ramai di antara penyokong-penyokong Mahathir dan kaki tangan ibu pejabat Umno berada di situ, tetapi mereka tidak
 dapat menghalang para pengikut Anwar daripada mengeluarkan kata-kata kesat kepada para pemimpin Umno. Pendek
 kata, perhimpunan di PWTC pada malam itu, merupakan perhimpunan anti Mahathir dan perhimpunan yang bersimpati
 kepada bekas Timbalan Perdana Menteri. Sama ada pelajar ataupun para pemerhati yang berada di bangunan Umno
 pada malam itu, kelihatan semuanya bersimpati dengan nasib yang menimpa kepada Anwar Ibrahim. Akhirnya, bukan
 sahaja ahli-ahli Pergerakan Pemuda Umno dan pemimpin-pemimpin Umno peringkat bahagian yang berada di bangunan
 Umno itu yang bersimpati dengan Anwar, malah para pelajar dan para pemerhati juga menganggap tuduhan terhadap
 bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak munasabah dan keterlaluan. Dua puluh minit sebelum sidang khas Majlis
 Tertinggi Umno berakhir, Anwar Ibrahim turun dari bilik mesyurat untuk memberi laporan kepada para pengikutnya
 mengenai apa yang berlaku dalam sidang khas itu. Beliau telah disambut dengan takbir dan laungan "hidup Anwar, hidup
 Anwar" oleh pemuda-pemuda dan ahli-ahli Umno yang menunggu keputusan mesyuarat khas itu. Dalam ucapan
 ringkasnya di depan para pengikutnya itu, beliau menegaskan bahawa tindakan memecatnya sebagai ahli Umno, adalah
 tidak adil dan beliau akan terus mempertahan kedudukannya dalam Umno. Katanya, beliau tidak bersalah terhadap
 semua tuduhan, dan beliau tidak bersedia untuk melepaskan jawatan yang disandangnya dalam Umno. Ucapan ringkas
 beliau itu, disambut dengan laungan "hidup Anwar, hidup Anwar" oleh para pengikutnya. Dan demi untuk memberi
 penjelasan yang lebih jelas kepada wartawan asing, beliau terpaksa berucap dalam bahasa Inggeris. Suasana di tingkat
 pertama bangunan Umno itu, telah bertambah tegang bila orang ramai menyedari bahawa Majlis Tertinggi Umno telah
 mengambil keputusan sebulat suara memecat Anwar Ibrahim sebagai ahli Umno yang sah. Para pengikut Anwar yang
 setia dan para wartawan terus mendekati lorong tempat para pemimpin Umno keluar dari mesyuarat tersebut.
 Sebaik-baik sahaja beberapa orang pemimpin Umno termasuk Dr. Mahathir melalui lorong itu, orang ramai mengejek,
 memaki hamun dan membaling kotak minuman yang ada di tingkat pertama bangunan Umno itu. Pasukan keselamtan dan
 pegawai-pegawai Cawangan Khas, gagal untuk menghalang ahli-ahli Umno memaki hamun, mengejek dan membaling
 kotak minuman kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno. Ekoran dari peristiwa tersebut Khalil Yaakob, Abu Hassan
 Omar, Osu Sukam dan beberapa pemimpin Umno lain terpaksa mencari jalan keluar melalui pintu belakang kerana takut
 menghadapi para penyokong Anwar. Tidak perlu saya jelas di ruangan ini, apakah perkataan kesat yang digunakan oleh
 ahli-ahli Umno kepada pemimpin-pemimpinnya pada malam Khamis kelmarin. Inilah kali pertamanya, saya menyaksikan
 ahli-ahli Umno dan pemimpin-pemimpin kecilnya memaki hamun dan menghina pemimpin-pemimpin di khalayak ramai di
 bangunan Umno sendiri. Melihat kepada apa yang berlaku di tingkat pertama bangunan Umno pada 3 September lepas,
 maka jelaslah keputusan Majlis Tertinggi Umno memecat Anwar Ibrahim sebagai ahli Umno yang sah itu telah
 menimbulkan kemarahan sebahagian besar ahli-ahli parti itu. Selain dari itu, tuduhan yang begitu banyak dibuat terhadap
 Anwar Ibrahim oleh pihak yang tertentu juga telah menyebabkan orang ramai dan ahli-ahli Umno sendiri bersimpati
 kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Apa yang jelas sekarang, pengaruh peribadi Anwar Ibrahim lebih kuat
 daripada pengaruh peribadi Dato' Musa Hitam. Setakat ini, saya belum lagi dapat memastikan samada pengaruh peribadi
 Anwar Ibrahim boleh mengatasi pengaruh peribadi Dato' Haris dalam menghadapi tekanan dari pihak yang tertentu.