Puisi |
Air mata tiada ertinya,
sejarah silam tiada
maknanya,
sekiranya bangsa
tercinta terpinggir,
dipersenda dan dilupakan.
Bukan kecil langkah
wira bangsa,
para perjuang kemerdekaan,
bagi menegakkan kemulian,
dan darjat bangsa.
Selangkah beerti
mara,
mengharungi sejuta
dugaan.
Biarkan bertatih,
asalkan langkah itu
yakin dan cermat,
bagi memastikan negara,
merdeka dan terpelihara.
Air mata sengsara,
mengiringi setiap
langkah bapa-bapa kita.
Tugas kita bukan kecil,
kerana mengisi kemerdekaan,
rupanya lebih sukar,
dari bermandi keringat
dan darah menuntutnya.
lagi pula apalah ertinya
kemerdekaan,
kerana bangsaku asyik
mengiya dan menidakkan,
mengganguk dan membenarkan,
kerana sekalipun
bangganya negara,
kerana makmur dan
mewahnya,
bangsaku masih melata,
dan meminta-minta
di negaranya sendiri.
Bukan kecil tugas
kita,
meneruskan perjuangan
kemerdekaan kita,
kerana rupanya selain
memerdekakan,
mengisi kemerdekaan
itu jauh lebih sengsara.
Bangsaku bukan kecil
hati dan jiwanya,
bukankah sejak zaman
berzaman,
mereka menjadi pelaut,
pengembara,
malah penakluk terkemuka.
Bukankah mereka sudah
mengembangkan sayap,
menjadi pedangang
dan peniaga,
selain menjadi ulama
dan ilmuan terbilang.
Bukankah bangsaku
pernah mengharung samudera,
menjajah dunia yang
tak dikenali.
Bukankah mereka pernah
menjadi wira serantau,
yang tidak mengenal
erti takut dan kematian.
Di manakah silap hingga
bangsaku,
merasa begitu kecil
dan merendah diri.
Apakah angkara penjajah,
lalu bangsaku mulai
melupakan,
kegemilangan silam,
dan sejarah gemilang
membina empayar.
Tugas kita belum selesai
rupanya,
bagi memertabat dan
memuliakan bangsa,
kerana hanya bangsa
yang berjaya
akan sentiasa dihormati.
Rupanya masih jauh
dan berliku jalan kita,
bukan sekadar memerdeka
dan mengisinya,
tetapi mengangkat
darjat dan kemulian,
buat selama-lamanya.
Hari ini, jalan ini
pasti berliku,
kerana masa depan
belum menjanjikan surga,
bagi mereka yang
lemah dan mudah kecewa.
Perjuangan ini belum
selesai,
kerana hanya yang
cekal dan tabah,
dapat membina mercu
tanda,
bangsanya yang berjaya.
-
Dr. Mahathir bin Mohamad
Malam Puisi Utusan, 14 Mei, 1996.