PENAHANAN AYAH TERSAYANG, PRESIDEN JIM

12 OKTOBER 1998

Hari itu, sudah menjadi rutin sejak dua minggu lepas, saya dan ayah berulang-alik ke Cheras, kerana melawat mama di Hospital UKM. Mama dirawat di situ kerana keadaan placenta previa (uri di bawah). Kira-kira pukul 2 petang, semua pelawat diminta beredar kerana masa melawat telah tamat. Saya dan ayah peluk dan cium mama. Ayah cuma pesan pada mama, "jaga diri baik-baik." Sambil bersembang-sembang, kami berjalan ke tempat ayah meletak kereta Proton Perdananya. Sebaik sahaja kami sampai di kereta, tiba-tiba seorang lelaki berkemeja putih dan vest kulit hitam mengangkat tangan sambil memanggil ayah. "Assalamualaikum Hj Saari," tegurnya. Ayah pun bersalaman dengan lelaki yang memperkenalkan dirinya, "saya ASP R (bukan nama sebenar) menahan Tuan Hj Saari Sungib di atas kesalahan... di bawah akta ..."

Ketika itu saya menggigil ketakutan dan "blurr" kesalahan dan akta apa yang dinyatakan. Ayah perkenalkan saya kepadanya, "ini anak saya." Terus ASP tersebut berkata, "Tak apa, adik... Pakcik akan jaga ayah baik-baik." Air mata saya mengalir tidak henti-henti. Ayah terus peluk saya. "Sabar... sabar," kata ayah. Ada 3 lagi lelaki lain. Semuanya berpakaian biasa. Kami diarahkan naik kereta Perdana ayah.

Seorang menjadi pemandu kereta kami. Saya duduk di sebelah pemandu. Ayah duduk di belakang diapit oleh 2 lelaki berpangkat Sarjan dan ASP.

Pelbagai perkara yang ditanyakan ASP tersebut. Dari hal keluarga, pekerjaan ayah, perjumpaan ayah dengan pemimpin ABIM serta Dato Zahid Hamidi sehinggalah kenyataan-kenyataan (statements) ayah.

Antara dialog pegawai polis berkenaan yang saya tidak dapat lupakan :

"Kami ini bukan suka sangat buat kerja-kerja macam ini,tapi dah tak henti-henti."

"Kami bukan tidak tahu JIM ni, dah lama dah... ,tapi... perubahan drastik sangat."

" Kami cuma menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan negara, tuan haji"

Kereta kami dibawa pulang ke rumah kami di Taman Sri Ukay. Di sepanjang perjalanan, handphone ayah dipegang oleh ASP R. Ayah serahkan dompetnya dan kunci rumah kepada saya. Tiba sahaja di rumah, saya yang mula-mula keluar untuk membuka pagar. Ayah terus angkat baju di ampaian. ASP tersebut mohon keizinan masuk ke rumah.

"Apa yang perlu saya bawa?" tanya ayah. "Bawa badan ajelah," jawab ASP tersebut.  Di rumah, ASP R mengarahkan polis yang memandu tadi mengekori ayah. Secara berlawak aYah berkata, "satu aje tempat tak boleh ikut tandas." Dua pegawai yang lain meneliti risalah-risalah,artikel-artikel di atas meja ayah. Ayah sempat mandi dan solat sunat (mungkin solat hajat) sebelum diberi penerangan oleh ASP di biliknya. Saya berada di tingkat bawah ketika itu. Panik dan lemah lutut saya. Terus saya duduk. ASP tersebut bercakap-cakap dengan saya tentang mengapa ayah perlu dijemput; sekejap. Jelasnya "hendak sembang-sembang aje. Kami nak beri penjelasan sikit. Nanti kami akan pulangkan ayah." Dengan suara menggeletar, saya bertanya, "Bila pulak pakcik nak pulangkan ayah tu ??" Polis berpangkat sarjan itu berjanji kepada saya, "Jangan risau. Uncle akan hubungi esok pagi untuk memberitahu keadaan. Macam mana uncle ambil ayah, macam itulah keadaannya bila ayah adik balik." Saya pegang janji ini. Kalau apa-apa terjadi pada ayah... dia orang pertama yang saya cari.

Ayah minta saya potongkan buah epal dan vitamin. Ayah minta dia dibenarkan bawa Al-Quran. Jawab ASP, "Kami pun ada al-Quran, kalau nak bawa, bawalah." ASP tersebut minta ayah bawa buku ucap utama ayah pada PPN 1997, Menempatkan Misi Pengislahan dalam Transformasi Arus Perdana. Saya rasa banyak perkara yang akan dibincangkan dari kandungan buku tersebut.

Kira-kira 2.50 petang, adik saya Marwah pulang dari sekolah. Wajahnya menampakkan kebingungan. Perlahan-lahan ayah terangkan padanya dalam bahasa yang paling mudah diterima oleh seorang budak berumur 11 tahun. Saya tidak pasti pada ketika itu sama ada Marwah faham atau tidak kerana keadaan terkawal. Mungkin dia tidak nampak apa-apa yang pelik. Ketika ayah makan, semua anggota polis telah berada di luar rumah. ASP R berkata, "Cakaplah dengan anak-anak. Amanat ke? Nasihat ke? Take your time." Saya dan Marwah duduk di depan ayah di ruang tamu. Ayah minta kami bertenang dan minta saya jaga adik-adik.

Ayah memberitahu dalam keadaan berbisik, "Indicate yang dia orang nak bawa ayah ke Balai Polis Cheras. Ayah pergi je, kakak terus telefon Kak Khadijah. Kalau boleh, minta dia teman kakak di rumah." Di pintu rumah, kami adik beradik cium pipi ayah. Dan ayah cium pipi kami. Kami hantar ayah ke pintu pagar. Perkataan terakhir dari ayah, "doakan ayah, ye!" Saya melihat ayah masuk ke dalam kereta Proton Wira putih milik polis tadi. Mengalir laju air mata saya. Terus saya berlari ke dalam rumah. Jam menunjukkan pukul 3.00 petang. Saya segera hubungi ibu pejabat dan memaklumkan kepada Kak Khadijah.

Sehingga pagi keesokan harinya, tiada satu pun panggilan telefon dari pihak berkuasa. Tahu-tahu berita ayah ditahan bawah ISA dipaparkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia. Hari ini, 14 Oktober 1998. Sudah lebih 48 jam ayah dibawa oleh pegawai-pegawai polis terbabit. Saya cuma terima berita dari peguam kami, Encik Azman Yaacob, yang mengatakan mereka telah menghantar surat memohon berjumpa dengan ayah. Polis benarkan cuma ketetapannya dalam beberapa hari lagi. Wallahu;alam. Kepada Allah sahaja kita berserah. Doa saya, "Bebaskan segera ayahku. Selamatkan ayah dari kezaliman ini. Mudahkan ayah menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya. Sesungguhnya ayah benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini keranaMu, Ya Allah." Amin.

Anak Perempuan Pejuang,
Anfaal Saari
14 Oktober 1998 4.45 petang