Pengakuan Tan Sri Rahim Noor bahawa beliaulah
yang memukul saya tatkala dalam tahanan polis sekurang-kurangnya telah
mengesahkan tuduhan saya selama ini. Ia juga telah menolak pandangan Dato
Seri Dr. Mahathir Mohamad yang cuba
menimbulkan kemungkinan saya sendiri yang
menyebabkan kecederaan ke atas diri saya. Ia juga telah mengenepikan pernyataan
asal Tan Sri Mokhtar Abdullah, Peguam Negara, yang amat longgar, tidak
profesional dengan mengandaikan bahawa sebahagian dari kecederaan yang
saya laporkan adalah tidak tepat. Saya kurang yakin dengan kewibawaan Peguam
Negara mengambil tindakan terhadap Tan Sri Rahim kerana nyata prasangka
dan penglibatannya dalam konspirasi yang sama untuk sengaja mengaibkan
dan menjatuhkan saya.
Soalnya sekarang ialah apakah tindakan Tan Sri Rahim memukul atas arahan Perdana Menteri? Atau apakah kemarahan Tan Sri Rahim akibat pertelingkahan saya dengan Perdana Menteri? Mengapa Peguam Negara dan pasukannya terdiri dari Abdul Ghani Patail dan Azhar sengaja melambatkan keputusan dan cuba mempertikaikan kenyataan saya tentang kecederaan.
Isnin, 1hb Mac 1999