BH Singapore:12/2/1999

KES ANWAR     Oleh JABBAR HANIEF  dari Kuala Lumpur

ISU KONSPIRASI TERUS DIBAHAS
Hakim beberapa kali tolak kenyataan 'tidak relevan' dari pembelaan.

ISU konspirasi polis yang menjadi teras pembelaan diri Datuk Seri Anwar Ibrahim hangat dibahaskan apabila perbicaraan kes rasuah mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu disambung pagi semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Augustine Pual, beberapa kali menegur dan menolak kenyataan serta pertanyaan yang beliau anggap tidak relevan dengan dakwaan yang sedang dibicarakan.

Dalam perbicaraan yang masuk hari ke-54 itu, kenyataan berkaitan salah laku seks dan konspirasi politik untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar tidak lagi dibenarkan untuk dikemukakan.

Raja Aziz Addruse, yang mengetuai kumpulan peguambela, terus memimpin Datuk Seri Anwar dalam membuat kenyataan untuk menunjukkan adanya konspirasi pihak polis. Antaranya:

Adanya percubaan untuk melaga-lagakan Datuk Seri Anwar dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, dan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, dengan mengatakan kononnya Datuk Seri Anwar mengarahkan Biro Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat Peguam Negara yang pergi bercuti bersama "hartawan besar' ke Italy.

Apa yang dinyatakan Tan Sri Rahim kepada Datuk Seri Anwar berbanding siasatan polis, kemudiannya bercanggah hinggakan Datuk Seri Anwar terpaksa bertanya kepada Perdana Menteri sama ada beliau ada memberi arahan tertentu untuk mereka-reka tuduhan terhadapnya.

Datuk Seri Anwar juga berkata, kandungan surat Ummi Hafilda Ali kepada Perdana Menteri berkaitan tohmahan salah laku seks yang menjadi bahan kes pendakwaan, tidak sama dengan yang beliau terima daripada Dr.
Mahathir Mohamad.