ANWAR BERBALAH DENGAN  PENDAKWAAN

  KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini membela diri   terhadap empat tuduhan rasuah hari ini bertikam lidah dengan pihak pendakwaan termasuk   Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah selepas mereka mendakwa beliau mengelak daripada   menjawab soalan dan terus membangkitkan isu konspirasi. Anwar, yang memberi keterangan   bagi hari kelima, berkata pembelaannya mengenai wujudnya konspirasi dan mala fide (niat jahat)   yang beliau percaya melibatkan kepimpinan tertinggi kerajaan dan polis adalah berdasarkan   alasan dan bukti yang kukuh serta urutan peristiwa yang berlaku.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail menegur beliau atas jawapannya itu   yang tidak mengikut soalan yang dikemukakan dan masih membangkitkan isu konpsirasi yang  telah dilarang oleh mahkamah daripada dibangkitkan.

Sebelum itu Gani menyoal bekas timbalan perdana menteri itu mengenai pembelaannya tentang   wujudnya kospirasi dan mala fide pada pihak polis yang dianggap sebagai tidak benar dan   sesuatu yang diada-adakan bagi melepaskan diri daripada pertuduhan yang dikenakan   terhadapnya.

 Anwar tidak menghiraukan teguran Gani malah meneruskan jawapannya dengan berkata:  "Banyak kepentingan yang terlibat, projek berbilion ringgit, rasuah dan konspirasi politik, ugut dan  saksi yang dipaksa membuat pengakuan. Okay. That's all (Itu sahaja)," katanya, disambut dengan   ketawa orang awam dalam mahkamah.

Anwar berkata demikian semasa disoal balas dalam pembelaan diri terhadap empat tuduhan  rasuah dengan menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam siasatan polis   mengenai dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Anwar, 51, dituduh mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1970   yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau   kedua-duanya.

Perbicaraan masuk hari ke-55 dan hari kelima bagi Anwar memberi keterangan sebagai saksi  pembelaan pertama di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul. Hakim kemudian  menasihatkannya supaya menjawab dengan tepat. Peguam utama Anwar Raja Aziz Addruse  berkata soalan oleh pendakwaan memerlukan penjelasan untuk dijawab dan terdapat fakta-fakta  untuk menyokong dakwaan pembelaan tentang wujudnya konspirasi.

Beliau meminta pendakwaan supaya tidak mengehadkan jawapan tertuduh kepada apa yang   mereka mahu, Hakim kemudian meminta Anwar memberikan jawapan yang relevan.

Mahkamah sebelum ini telah memutuskan bahawa konspirasi politik yang cuba ditimbulkan oleh  pembelaan adalah tidak relevan dan keterangan hanya boleh diberikan untuk menunjukkan jika  terdapat sebarang konspirasi oleh polis.

Pertikaman lidah antara Anwar dan Mohtar bermula apabila bekas menteri kabinet itu  memberitahu mahkamah bahawa beliau bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa beliau ada  membaca buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" dan membuat laporan polis  selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara.

Gani: Saya rasa Datuk Seri tidak menjawab soalan. Datuk Seri sudah melencong. Yang Arif,  tolong kawal saksi. Tolong minta saksi jawab soalan secara tepat.

Paul kemudian menasihatkan Anwar untuk memberikan jawapan yang lebih pendek dan spesifik.

Gani: Beliau akan menggantung dirinya kerana ini.

Anwar: Alangkah angkuhnya, memang inilah sikap Gani Patail. Beliau fikir beliau boleh gantung  sesiapa sahaja. Saya fikir orang-orang ini berpakat seperti diarahkan untuk menggantung   orang-orang yang tidak bersalah.

Mohtar: Bolehkah pertengkaran ini dikawal dan sikap tertuduh direkodkan.

Anwar: Siapa yang mulakannya dulu. Sikap Peguam Negara juga boleh dipersoalkan.

"Harap semuanya jelas. Benarkan saya mengendalikan perbicaraan ini secara aman," kata Paul  yang kemudiannya memberitahu Anwar bahawa mereka tidak boleh menggantung orang.

Anwar: "Terima kasih, Yang Arif."

Satu lagi pertengkaran berlaku selepas Mohtar memberitahu mahkamah bahawa beliau akan  menyambung pemeriksaan balas dan bahagiannya hanya meliputi dua isu dan sekejap sahaja "jika  saksi berkelakuan baik".

Anwar yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu berkata bahawa Peguam Negara tidak  sepatutnya berkata begitu kepada beliau.

"Hanya kerana saya telah dipecat, beliau tidak berhak berkata begitu," katanya dan Mohtar  kemudiannya meminta mahkamah merekodkan sikap tertuduh untuk penghujahan mereka kelak.

Terdahulu, semasa mahkamah disambung pada 9.15 pagi ini, Paul menasihatkan pihak pembelaan  bahawa pengemukaan sebarang fakta daripada sumber yang sama untuk menentukan konspirasi  polis mestilah relevan dan mematuhi Akta Keterangan dan meminta mereka bersiap sedia untuk  sebarang penghujahan mengenai perkara itu.

Terdahulu semasa Gani bertanya Anwar sama ada beliau pernah kehilangan dua jumlah wang  yang besar di kediaman rasminya, timbul juga perbalahan apabila Anwar tidak menjawab soalan  itu.

Soalan itu yang dibenarkan oleh mahkamah setelah mempersoalkan kaitannya dalam kes itu,  bagaiamanapun dijawab oleh Anwar dengan berkata, "bila saya menjawat jawatan Timbalan  Perdana Menteri, pihak cawangan khas berpendapat kawalan keselamatan kawasan rumah  haruslah lebih ketat lagi dan tidak terdedah kepada orang ramai yang memasuki rumah dan
kawasan rumah."

Gani yang tidak berpuas hati dengan jawapannya mengulangi soalan dan Anwar menjawab; "Itu  yang saya jawab. Belum sempat habis. Dia kurang sabar,".

"Betul bukan kehilangan wang tetapi keselamatan," katanya setelah Paul bertanyanya sama ada ia  betul atau tidak.

Beliau berkata adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal bagi beliau mengarahkan polis  merakamkan telefon rumahnya,: "Bahkan saya diberitahu telefon rumah saya dirakam bebarapa  tahun sebelumnya sejak di rumah peribadi saya di Damansara sebelum berpindah ke kediaman  rasmi lagi."

Semasa ditanya mengenai pertemuannya dengan Peguam Negara, bekas pengarah Jabatan  Siasatan Jenayah Datuk Ismail Che Ros yang turut dihadiri oleh pegawai penyiasat kes itu SAC  Musa Hassan pada 30 Ogos 1997, Anwar berkata daripada catatan diari dan kenyataan bekas  setiausaha sulitnya Mohd Azmin Ali, kehadiran Musa tiada pada tarikh itu.

"Nama-nama Peguam Negara dan Datuk Ismail Che Ros ada tercatat," katanya dan menolak  cadangan Gani bahawa pegawai yang mengiringi pegawai kanan tidak dicatatkan dalam buku  diari itu kerana pertemuan itu dihadiri dalam kumpulan yang kecil.

Beliau juga menolak cadangan Gani bahawa beliau mengarahkan Musa untuk menutup kes  berhubung siasatan terhadapnya mengenai "Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim" dan supaya  tidak menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara pada pertemuan 2 Sept 1997.

"Ini tidak benar, direka kemudian sebagai bukti konspirasi polis," katanya.

Anwar mengakui bahawa beliau membuat laporan polis pada 23 Jun 1998 selepas membaca  buku 50 Dalil itu dan: "tohmahan yang dibuat oleh pengarang buku yang jijik dan kotor itu sebagai  satu pakatan,".

Jawapannya ditegur oleh Gani dan semasa timbalan kanan pendakwa raya itu bercakap dengan  Hakim, Anwar sekali lagi ditegur kerana mengganggu perbincangan pihak pendakwa itu dengan  hakim.

"Buku kotor yang diupah ada memuatkan tohmahan itu (menggunakan polis untuk menipu  Perdana Menteri dan seluruh rakyat) ada dimuatkan sebagai pakatan konspirasi politik," katanya.

Beliau bersetuju dengan cadangan Gani bahawa beliau perlu bekerjasama dengan polis bagi  membuktikan dakwaan terhadapnya tidak benar tetapi berkata sepanjang siasatan kesnya, beliau  tidak pernah ditanya sehingga dipecat dan berada di lokap.

Semasa ditanya mengenai pemeriksaan perubatan bagi siasatan kes itu, beliau berkata ia diminta  dilakukan oleh Musa yang "memang saya tahu terlibat dalam konspirasi polis,".

Beliau berkata beliau tidak pernah menolak untuk menjalani pemeriksaan itu tetapi meminta polis  merujuk perkara itu kepada para peguamnya.