POLIS SEMAKIN TERDESAK

Kini PDRM semakin terdesak untuk membuktikan Dato' Seri Anwar Ibrahim bersalah. Selepas keterangan yang memberi pukulan hebat kepada kes pendakwa oleh bekas pengarah Cawangan Khas, mereka merasa semakin tertekan untuk bertindak.

Langkah terbaru yang mereka ambil ialah mengeledah pejabat salah seorang dari peguambela DSAI, iaitu Pawancheek. Peti besi dipejabatnya telah dipecahkan oleh SB. SB-SB ini melakukan apa saja meskipun di luar batasan undang-undang untuk menganggu peguambela-peguambela Anwar. SB-SB ini juga telah diasuh sehingga ke tahap melakukan kerja-kerja yang tidak bermoral semata-mata untuk menunjukkan kononnya mereka "setia" kepada Perdana Menteri.

Selain dari itu, peguam Christopher Fernando pula diganggu oleh kereta-kereta SB ketika dalam perjalanan ke rumahnya di Seremban. Kereta-kereta SB cuba membahayakannya dengan tiba-tiba melintas dan memintas keretanya di lebuhraya.

Christopher Fernando atau nama Islamnya, Aris Rizal merupakan seorang peguambela yang telah menarik perhatian orang ramai dengan beberapa soalan yang menyebabkan para saksi membuat beberapa pengakuan sewaktu soal-balas di mahkamah. Adalah difahamkan SB-SB sengaja melakukan tindakan demikian untuk menakut-nakutkan peguam tersebut dan kerana iri hati dengan kebolehan peguam tersebut menyoal para saksi yang terdiri dari anggota kanan polis.

Ini semua menunjukkan betapa terdesaknya pihak polis dan boss mereka, Mahathir. Maklumat terakhir yang diperolehi menunjukkan mereka akan menggeledah rumah DSAI sekali lagi. Ahli-ahli keluarga dan saudara-mara DSAI telah mula berkumpul di rumahnya menanti ketibaan SB. SB-SB ini juga telah dikatakan bertanggungjawab di dalam kejadian rusuhan di Kampung Baru beberapa minggu lalu. Mereka menyamar sebagai orang biasa dan kemudian membuat kacau di dalam  perhimpunan tersebut untuk menimbulkan provokas di kalangan mereka yang berhimpun.

Adalah dipercayai SB ini juga yang telah melontar batu kepada kenderaan-kenderaan para wartawan dan juga membakar dua buah motosikal polis di kawasan tersebut. Mereka cuba menunjukkan kononnya mereka yang menyertai penghimpunan itu terdiri dari mereka yang ganas.

Walau bagaimana pun kesemua usaha SB ini menempuh kegagalan demi kegagalan dan maruah polis kini telah cukup tercemar
dengan beberapa perbuatan ganas dan kejam yang dilakukan oleh anggota SB ini. Polis Malaysia hari ini sudah tidak lagi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat tetapi sebaliknya telah menjaga kepentingan dan keselamatan Mahathir.