KENYATAAN AKHBAR GERAKAN REFORMASI

HAADYAI: 12 OKTOBER 98
 
Saya dan beberapa orang rakan telah selesai dalam misi kami ke negara-negara utama ASEAN untuk menjelaskan konspirasi politik Dr. Mahathir Mohamad terhadap Saudara Anwar Ibrahim.

Di Thailand, kami menemui pemimpin-pemimpin negara, pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan dan aktivis hak asasi manusia.  Kesemua mereka menyatakan simpati kepada Saudara Anwar dan yakin bahawa Saudara Anwar akan menang dan muncul sebagai pemimpin Malaysia yang akan membawa perubahan bukan sahaja kepada Malaysia bahkan kepada seluruh
ASEAN.

Pemimpin-pemimpin Kerajaan yang kami temui menjelaskan bahawa Perdana Menteri Chuan Leekpai secara peribadi sama sekali tidak percaya dengan segala tuduhan yang dilemparkan kepada Saudara Anwar. Sementara serangan terhadap Saudara Anwar sehingga beliau  pengsan merupakan satu perlakuan belum pernah berlaku dalam sejarah  ASEAN.

Pemimpin-pemimpin NGO dan aktivis hak asasi manusia melihat proses  mahkamah yang mendakwa Saudara Anwar sebagai tidak sah dan semata-mata  alat untuk menjayakan konspirasi politik rekaan Dr. Mahathir.  Bahkan perbicaraan tersebut sama dengan taktik kebanyakan  diktator untuk menghapuskan musuh-musuh politiknya.
 
Kami menjelaskan kepada mereka bahawa Dr. Mahathir kini benar-benar  terasing.  Beliau telah menjadi kera sumbang di kalangan pemimpin ASEAN, lebih-lebih lagi di kalangan pemimpin rumpun Melayu.  Kekuatan dan  kekebalan Dr Mahathir adalah satu metos.  Beliau kini amat lemah dan dalam ketakutan. Beliau kini semata-mata bergantung dengan sokongan UMNO dan beberapa kerat editor dan penasihat media yang rela menjadi pelacur kepada diktator tua yang nyanyok.

Hakikatnya ialah lebih dari 80 peratus ahli-ahli UMNO adalah bersama  Saudara Anwar.  Hanya yang bersama Dr. Mahathir ialah pemimpin-pemimpin UMNO yang pengecut dan berlumba-lumba untuk menjadi budak suruhan dan burung kakak tua. Sebenarnya  MKT itu merupakan  singkatan kepada Majlis Kakak Tua.  Itupun saya telah dimaklumkan bahawa "defection" di kalangan pemimpin UMNO telah bermula secara  senyap-senyap, sebagaimana yang berlaku di akhir pemerintahan Suharto.

Saya ingin menjelaskan kepada rakan-rakan perjuangan, ahli-ahli UMNO dan  rakyat Malaysia bahawa satu ASEAN baru sedang muncul, iaitu satu ASEAN,  seperti yang diungkapkan oleh Saudara Anwar, yang digerakkan oleh  prinsip karamah insaniah (kemuliaan insan) demokrasi dan pemerintahan manusiawi. Pemimpin-pemimpin baru ASEAN, khususnya Presiden Habibie dan Presiden Estrada, amat sedar dengan hakikatnya.  Dr.Mahathir telah ketinggalan zaman justeru itu tidak ada tempat dalam ASEAN baru ini.

Dalam ASEAN baru juga tidak ada tempat bagi Menteri Luar yang jumud, bebal dan ketinggalan zaman seperti Abdullah Ahmad Badawi.  Kenyataan beliau seperti kenyataan orang bahlul, meludah ke langit, langit tak  apa-apa, muka sendiri yang terhina.

Saya dan rakan-rakan saya adalah patriot.  Kami cintakan Malaysia.  Kami ingin menyelamatkan Malaysia dari kehancuran dan dirompak oleh Dr.  Mahathir dan kroni-kroninya.  Kami tidak memburukkan negara, tetapi nama Malaysia jadi buruk semata-mata kerana Dr. Mahathir.

Kami menentang Dr. Mahathir dan kami akan membuka segala pekung Dr. Mahathir.  Bau busuk pekung Dr. Mahathir mengotori udara ASEAN dan  terhidu ke seluruh dunia.  Pemimpin-pemimpin ASEAN tertanya- tanya apakah pekung yang ada pada Dr. Mahathir sehingga begitu busuk baunya.  Maka kami jelaskan satu persatu pekung yang ada pada Dr.Mahathir.

Dr. Mahathir adalah manusia "megalomaniac".  Dia menyamakan kepentingan peribadi dan keluarganya dengan kepentingan negara.  Sesiapa yang mengkritik beliau akan dikecam sebagai pembelot negara.  Abdullah Badawi jangan jadi bebal dan jangan tunjukkan kebebalan tersebut kerana kemaruk untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Rakyat akan terus berjuangan untuk menjayakan reformasi.  Rakyat telah bangun menyatakan tuntutan mereka.  Dr. Mahathir perlu akur dengan suara rakyat.  Dr. Mahathir perlu undur.
 
Mohamed Ezam Mohd Nor
Setiausaha Hubungan Luar Gerakan Reformasi
Merangkap Setiausaha Politik kepada Anwar Ibrahim