SAYA DIBERI SEDIKIT WANG UNTUK PERHATI AZIZAN, KATA BEKAS KOMANDO

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Seorang bekas komando memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau iberi sedikit wang setelah ditugaskan memerhati Azizan Abu Bakar, lelaki yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ma'amin Latip, 49, berkata wang itu diberikan kepadanya oleh Abdul Rahim Dahlan, yang juga pernah berkhidmat sebagai komando dengan Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), untuk berbuat demikian.

Katanya, itu merupakan kali pertama beliau disuruh membuat pemerhatian ke atas seseorang oleh Abdul Rahim yang juga dikenali sebagai "Rahim King", yang mengetuai pasukan Terjun Bebas keKutub Utara tahun lepas.

Ma'amin, dari Sungai Udang, Melaka adalah saksi pembela kesembilan yang memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah Anwar yang masuk hari ke-63 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk campurtangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seks terhadapnya bagi mengelakkan keaiban.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan No.22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang kini di peringkat Anwar membela diri dijalankan dihadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Ma'amin, bekas jurulatih di Biro Tata Negara (BTN) berkata demikian semasa disoal balas oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail mengenai sama ada beliau diberi ganjaran oleh Rahim King untuk tugasan itu.

Beliau yang menolak cadangan Gani bahawa beliau ditugaskan untuk mengekori atau memerhati dan mengawal Azizan berkata beliau hanya ditugaskan untuk memerhati sahaja dan hanya mengikut lelaki itu ke mana-mana setelah diajak.

Ma'amin yang pernah dipilih menjadi pengawal peribadi kepada Jeneral Tan Sri Mohd Sany Abdul Ghaffari, Ketua Turus ATM pada 1970an dan menjadi jurulatih pada pasukan Handalan Udara (Handau) Tentera Udara Diraja Malaysia berkata beliau mengenali Rahim King semasa mereka sama-sama berkhidmat sebagai komando pada tahun 1970an.

Beliau berkata selepas bersara daripada ATM pada 1983 dengan pangkat Staff Sarjan, beliau telah menjadi jurulatih di BTN selama empat tahun di mana Rahim King ialah ketua jurulatih di sana.

Semasa ditanya kenapa Rahim digelar sebagai Rahim King, Ma'amin berkata gelaran itu sekadar "glamour" dan antara sebab lain kerana beliau suka meletakkan dirinya sebagai "King".

Ma'amin bersetuju dengan cadangan Gani bahawa Rahim King memberi tugasan untuknya memerhati seorang lelaki pada awal Julai tahun lepas serta menyuruhnya datang ke sini untuk diperkenalkan dengan lelaki itu di sebuah restoran tomyam di Kampung Baru.

"Saya bukan diarah tetapi diminta tolong," katanya yang menjelaskan bahawa itu adalah kali pertama beliau berjumpa dengan Azizan.

Azizan ialah bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang membuat pengakuan bersumpah bahawa beliau telah diliwat Anwar dan pengakuan itu telah dihantar kepada Perdana Menteri bersama-sama surat "Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri" yang ditulis oleh Ummi Hafilda Ali.

Ma'amin berkata beliau pernah mengunjungi Rahim King dan lelaki itu juga pernah menghubunginya tetapi perkara itu bukan selalu.

Sebelum itu, semasa pemeriksaan utama oleh peguam Gurbachan Singh, Ma'amin menafikan bahawa beliau ialah "orang Datuk Seri Anwar" dan menafikan bekas timbalan perdana menteri itu telah mengarah atau meminta beliau untuk berjumpa atau mempengaruhi Azizan dengan apa-apa cara pun. Ma'amin juga menafikan bahawa beliau telah menakut-nakutkan Azizan atau mengancam lelaki itu untuk berbuat apa-apa dan beliau tidak membuat apa-apa arahan kepada peguam yang berbangsa Sikh
yang Azizan jumpa.

Katanya, beliau juga tidak tahu sama ada ada orang mengancam atau menakut-nakutkan Azizan untuk berjumpa dengan peguam berkenaan yang mempunyai pejabat di Jalan Masjid India.

Beliau berkata, dalam perjalanan pulang ke Melaka setelah berjumpa dengan peguam itu, Azizan telah memberitahunya bahawa beliau telah difitnah dan beliau tidak kenal penulis buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM," Khalid Jefri.

Ma'amin berkata, Azizan juga ada memintanya sembahyang hajat untuk melepaskan dirinya daripada fitnah itu dan telah mengajak beliau menemaninya pergi ke Bukit Aman.

"Saya kesiankan dia dan saya setuju," kata Ma'amin. Katanya, dalam perjalanan balik ke Melaka, Azizan sekali lagi memberitahunya bahawa beliau "fed-up" dengan Ummi yang disifatkannya sebagai "betina" dan "seorang perempuan jahat yang selalu mengganggunya".

Ummi ialah adik kepada bekas setiausaha sulit Anwar, Mohd Azmin Ali. Dalam pemeriksaan semula, Ma'amin berkata beliau telah dihubungi Rahim King untuk memberitahu Azizan supaya datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan peguam berkenaan.

Katanya, beliau menelefon Azizan lebih kurang tiga kali tetapi tidak dapat bercakap dengannya dan hanya dua hari selepas itu, beliau ke tempat kerja Azizan di daerah Alor Gajah, Melaka.

"Ketika itu baru saya dapat berjumpa dengannya dan bila saya masuk ke pejabatnya, dia seolah-olah sudah tahu mengapa saya berjumpa dengannya dan terus dia mengangkat fail dan dihempaskan kepada saya sambil berkata,"saya banyak kerja tau, bang,","katanya yang bersetuju dengan cadangan Gani bahawa kata-kata Azizan itu dengan nada yang tinggi.

Ma'amin berkata, beliau berdiam diri kerana "merasakan dirinya lebih tua" dan terus balik ke rumah dan sehingga sekarang tidak lagi menghubungi Azizan.

Katanya seminggu selepas itu Rahim King telah menghubunginya dan memaklumkan bahawa Azizan telah pergi ke Kuala Lumpur dan semasa beliau hendak bertanya mengenai Azizan, Rahim King terus menjawab,"Sudah, tak payah. Sudah habis," yang beliau fahami bermaksud dia (Azizan) telah pergi.

Ma'amin berkata apa yang difahamkan dengan jawapan Rahim itu juga ialah bahawa beliau tidak perlu lagi menelefon Azizan bagi menyampaikan pesanannya.

Katanya, semasa beliau menghubungi Azizan di pejabatnya di Alor Gajah, seorang kerani telah memaklumkan bahawa Azizan telah ke pejabatnya di Kepong.

Beliau bersetuju dengan cadangan Gani bahawa Rahim telah memberitahunya bahawa Azizan telah ke pejabat peguam itu dan Azizan telah memberitahu peguam berkenaan bahawa beliau telah dipaksa oleh Ma'amin.

Ma'amin berkata, beliau juga mengikut Azizan ke Kuala Lumpur untuk menemaninya ke Bukit Aman bersama-sama peguam berkenaan dan setibanya mereka di sana, mereka telah diminta pulang.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan Gani bahawa beliau telah berjumpa dengan seseorang sebelum berjumpa peguam itu di Wisma Shen, Jalan Masjid India.

Beliau bagaimanapun mengakui telah memberi pernyataan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah kepada ASP Mazlan Mansor dan mengakui bercakap benar ketika memberi kenyataan itu.

Sebelum itu, mahkamah membenarkan bantahan peguam Christopher Fernando berkaitan cadangan Gani untuk menunjukkan pernyataan itu kepada saksi bagi membolehkannya mengingati apa yang telah dinyatakan kepada polis.

Perbicaraan disambung pukul 9 pagi esok.

 -- BERNAMA