PENGAKUAN BEKAS KPN

Bekas KPN Tan Seri Rahim Noor akhirnya mengaku melalui peguamnya bahawa dialah yang memukul Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sepanjang masa ini ramai orang mengesyaki beliaulah yang melakukan perbuatan keji menyebabkan mata lebam Anwar yang sudah masyhur itu. Sekarang sangkaan mereka terbukti benar.

Melalui peguamnya, Rahim mendakwa beliau bertindak sebab "provokasi berat" Anwar. Bagaimanakah kita hendak mempercayai orang ini walhal, semasa menjadi KPN dan tidak lama selepas memukul Anwar, beliau mengumumkan Anwar"selamat dan sihat". Aneh sekali PM Datuk Seri Dr Mahathir pula dilapurkan sebagai berkata kecederaan Anwar "disebabkan diri sendiri" atau akibat daripada provokasi. Adakah Rahim kini cuba hendak mengulangi alasan kedua
yang diberi oleh Mahathir itu?

Saya harap tidak akan ada percubaan untuk menyalahkan hanya bekas KPN dengan tujuan hendak  menepis  serangan ke atas PM. Kita tidakkan lupa bahawa beberapa bulan lalu di Jepun, sewaktu menjawab soalan, PM mengatakan bahawa di Malaysia polis tidak melakukan "perkara seperti itu". Lagi pula tidak payahlah dingatkan bahawa sebagai Menteri Dalam Negeri semasa Rahim memukul Anwar, Mahathir mesti juga mengambil tanggungjawab.

PRM menggesa Kerajaan supaya memastikan tindakan keadilan sewajarnya diambil ke atas bekas KPN itu. Tentang PM pula, beliau perlu meminta maaf kepada Anwar dan rakyat ramai Malaysia kerana mengeluarkan beberapa kenyataan memesongkan tentang kes Anwar ini.
 

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
1 Mac 1999