MENTERI BESAR SELANGOR UGUT KAKITANGAN YAYASAN SELANGOR

Menteri Besar Selangor, YAB Dato' (Dr.) Haji Abu Hassan Omar telah memberi amaran keras kepada para pegawai dan kakitangan Yayasan Selangor supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyebelahi parti pembangkang. Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor turut mengugut akan menganbil tindakan "buang kerja" kepada mana-mana pegawai dan kakitangan yang tidak menyokong kerajaan.

"Yayasan Selangor adalah milik kerajaan negeri Selangor dan kerajaan negeri Selangor diperintah oleh UMNO. Sesiapa yang tidak suka bekerja dengan Yayasan Selangor, dia kena berhenti", ujar beliau dengan serius. Kata-kata tersebut diucapkan di Majlis Jamuan Hari raya Aidil Fitri Yayasan Selangor baru-baru ini.

Kata-kata tersebut dipercayai ditujukan kepada beberapa pegawai dan kakitangan Yayasan Selangor yang dilaporkan terlibat dengan reformasi, aktiviti ADIL atau bersimpati dengan nasib  yang menimpa bekas TPM.

Bagaimanapun, kata-kata tersebut juga dipercayai ditujukan kepada seluruh kakitangan Negeri Selangor. Ini kerana, menurut satu kajian, lebih daripada 90 peratus kakitangan kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri Selangor bersimpati dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Seorang kakitangan kerajaan negeri Selangor memberitahu bahawa ugutan-ugutan seumpama ini hanya bertujuan menakut-nakutkan mereka dan tindakan itu tidak sah dari segi undang-undang."Adalah hak individu untuk menyatakan pendiriannya, sama ada hendak menyokong kerajaan yang ada sekarang atau tidak", tegas beliau.

Tindakan Menteri Besar tersebut hanya akan menyebabkan rakyat semakin marah kerana para pemimpin sekarang seolah-olah menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk berbuat sesuka hati kepada rakyat.

Seorang ahli politik veteran yang sudah meninggalkan UMNO memaklumkan bahawa tindakan Dato' Abu Hassan itu menunjukkan UMNO sudah semakin kehilangan pengaruh. Yang tinggal hanyalah kuasa yang digunakan untuk mengugut dan mengancam kakitangan kerajaan. Ini ktanya, kerana UMNO Selangor sekarang sedang dihimpit masalah memandangkan pengaruh mereka di peringkat akar umbi sudah tiada.

Pilihanraya umum akan datang sudah pasti menjanjikan pertarungan sengit antara Barisan Nasional dengan Barisan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP, PRM dan NGO. Kalau baru-baru ini, beberapa negeri di utara seperti Kedah, Perlis dan Terengganu akan dikuasai pembangkang, kali ini negeri Selangor dan Perak pun belum tentu selamat untuk BN.