APEC - KEMUNCAK PEMBOHONGAN MEDIA

Kuala Lumpur - 18 Nov, Rakyat Malaysia dikejutkan dengan pembohongan dalam media tempatan yang telah mencapai kemuncaknya. Banyak fakta yang telah dipalsukan dan tidak boleh diterima langsung. Kenyataan-kenyataan akhbar juga
terus diputarbelitkan. Dalam pada itu media-media tempatan ini telah berjaya menimbulkan perasaan marah yang teramat di kalangan rakyat dengan menghasut rakyat dengan berita yang tidak betul.

Kita hanya mendengar bahawa Al Gore telah mencampuri urusan dalaman Malaysia dan menggalakkan rusuhan dengan menyokong perusuh reformasi. Sehinggakan TV3 dalam beritanya menyatakan hanya pengganas sahaja yang mengenali pengganas. Adakah media melabelkan penyokong reformasi sebagai perusuh dan pengganas? Menurut media juga kesemua ahli APEC menyuarakan rasa tidak puashati dengan ucapan Al Gore. Semua ini adalah pembohongan. Kami sebenarnya tidak membela Amerika tetapi kecewa dan marah dengan berita media tempatan yang memalsukan kenyataan. Lagipun Al Gore hanya menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokongnya. Adakah ianya satu kesalahan besar, seperti yang dimomok-momokkan oleh media dan pemimpin tempatan. Sekarang sudah ada pula teori dari media bahawa Amerika sebenarnya ingin menjajah semula Malaysia.

FAKTA-FAKTA YANG SEBENAR
------------------------
1) Al Gore dalam ucapannya telah mengumumkan tambahan sebanyak AS$ 10 billion oleh Amerika dan Jepun untuk membantu dalam meningkatkan ekonomi Asia. Ucapannya adalah lebih kepada memuji usaha-usaha Asia dalam menangani krisis tersebut. Pakej yang disarankan ini mengandungi AS$ 5 billion oleh Amerika sendiri dan AS$ 5 Billion lagi dari Amerika, Jepun, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia. Menurul Gore antara yang akan menerima yang tersebut adalah Indonesia, Thailand, Korea Selatan dan tiga buah negara lagi yang paling teruk dilanda krisis ekonomi yang masing-masing akan menerima AS$ 1 billion. Jumlah yang selebihnya akan digunakan sebagai jaminan untuk mendapatkan pinjaman melalui Overseas Private Investment Corp., untuk membantu perniagaan sektor swasta. Fakta ini tidak pula di kemukakan.

2) Al Gore hanya memuji sedikit pejuang -pejuang reformasi sebagai berani menyuarakan ketidakadilan. Menurut beliau lagi kebebasan bersuara adalah sangat penting lebih-lebih lagi kita akan melangkah ke alaf baru. Rakyat Malaysia memang tidak meminta campur tangan Amerika, tetapi rasanya tidak salah bagi menyatakan sokongan mereka.

3) Tajuk utama Utusan Malaysia, 18 Nov - "Al Gore pemimpin biadab - Menghina Malaysia dengan ucapan menyokong perusuh reformasi". Tajuk utama ini terang-terang menyatakan penyokong reformasi sebagai perusuh. Kalau ucapan Al
Gore menyokong reformasi, maka dengan itu beliau telah menghina Malaysia.Adakah kenyataan ini dianggap sebagai menghina Malaysia ? Apakah ertinya perkataan hina ini ?

Menurut lapuran tersebut Al Gore dinyatakan sebagai biadap, angkuh, lidah bercabang, kurang sopan, kurang ajar dan banyak lagi kerana menyokong rusuhan. Kami tidak kisah kalau media mengecam Al Gore tapi jangan sekali-kali memutarbelitkan cerita dengan menyatakan Al Gore menyokong rusuhan oleh para penyokong reformasi.

4) Kenyataan Lim Kit Siang yang di tayangkan di TV3 adalah satu pembohongan besar. Kami menyarankan Lim Kit Siang supaya menyaman TV3 kerana memalsukan kenyataan beliau. Menurut Lim Kit Siang, adalah tidak wajar untuk pemimpin
Amerika itu mencampuri urusan dalaman tetapi menurutnya lagi jangan sampai pemimpin negara lain yang menegur kita. Pemimpin kita harus bertindak sewajarnya dengan mengambil kira pandangan rakyat.

5) Kenyataan media bahawa kesemua anggota APEC menyurakan rasa kesal adalah tidak betul. Hanya presiden Singapura dan New Zealand yang menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai ucapan Al Gore. APEC terdiri dari Australia, Brunei,
Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam. Ini bermakna hanya 2 negara dari  21 negara yang menyuarakan rasa tidak puas hati. Presiden Filipina, Joseph Estrada menyatakan bahawa beliau sebagai presiden negara yang mengamalkan demokrasi menyokongan penuh kenyataan Gore.

Akhir sekali kepada media-media tempatan dan pemimpin-pemimpin kita tolonglah hentikan perbuatan anda mengelirukan rakyat. Tolong jangan putar belitkan cerita dan menghasut rakyat. Reformasi yang dibawa oleh Anwar dan penyokongnya dilakukan dengan aman, sehinggalah pihak polis bertindak ganas terhadap mereka. Penyokong Anwar telah lama bersabar dengan keganasan polis terhadap mereka. Keganasan polis ini tidak pernah disiarkan dalam media tempatan tetapi
apabila penyokong ini bertindak sedikit ganas maka itulah cerita yang paling sensasi dan ditunggu-tunggu oleh media kita. Bukan semua boleh bersabar dan berdiam diri dengan keganasan polis.