YAB Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamed,
Presiden UMNO Malaysia,
d/a Jabatan Perdana Menteri,
Jalan Dato’ Onn,
50520 Kuala Lumpur.

Saperti Saudara YAB sedia termaklum, saya telah menyatakan hasrat saya meletak jawatan di dalam percakapan kita pada 27hb. Januari, 1986, iaitu sebelum saya bertolak ke Davoz, Switzerland.

Sekarang, setelah menggunakan waktu cuti saya dengan fikiran yang  tenang, waras serta penuh keinsafan, saya dengan ini mengambil  keputusan muktamad meletakkan jawatan saya sebagai Timbalan Perdana  Menteri dan semua jawatan berkaitan dengannya iaitu termasuk Menteri  Dalam Negeri, berkuatkuasa daripada 16hb. Mac, 1986. Surat resmi saya  sampaikan berasingan.

Saya menulis surat ini kepada Saudara selaku Presiden UMNO berkaitan  dengan jawatan saya selaku Timbalan Presiden.

Berlanjutan daripada perletakan jawatan saya selaku Timbalan Perdana  Menteri, saya dengan ini juga meletak jawatan saya selaku Timbalan  Presiden UMNO dan semua jawatan berkaitan dengannya, iaitu berkuatkuasa  daripada 16hb. Mac, 1986.

Sungguhpun saya tidak menghuraikan sebab-sebab saya meletak  jawatan-jawatan berkenaan dalam surat resmi saya kepada Saudara selaku  Perdana Menteri, saya fikir perlu saya jelaskannya dalam surat saya ini  kepada Saudara selaku Presiden UMNO.

Saudara tentu ingat bahawa pada malam sebelum Perhimpunan Agong UMNO  tahun lalu, Saudara telah membangkitkan soal bagaimana ada di kalangan  ahli-ahli Majlis Tertinggi yang kesetiaannya kepada Saudara  dipersoalkan. Bukan itu sahaja, berbagai-bagai cakap negatif dan tohmah  telah, dikatakan oleh Saudara, dilemparkan ke atas Saudara sendiri. Ini  semua, dikatakan oleh Saudara, menimbulkan keadaan tidak sihat dan  berpotensi perpecahan di kalangan Parti kita UMNO sendiri.

Kata-kata Saudara begitu serius dan tegas, lebih-lebih lagi apabila  Saudara meminta ahli-ahli Majlis membuat kenyataan taat setia,  hinggakan suasana begitu tegang dan resah di kalangan para anggota  Majlis. Boleh dikatakan semua ahli tertanya-tanya siapakah yang  dimaksudkan oleh Saudara. Saya sendiri begitu juga dan cuba meramalkan  siapakah yang dimaksudkan oleh Saudara, dengan tidak terlintas langsung  di hati saya penglibatan saya sendiri, berasas kepada perhubungan kita  berdua yang saya percaya waktu itu begitu baik dan rapi. Maka berasas  kepada keadaan sedemikianlah, apabila saya diberi peluang bercakap di  Perhimpunan Agong yang berkenaan, saya memutuskan behawa perlu saya  bantu Saudara dengan kenyataan sokongan penuh saya sendiri, Majlis  Tertinggi dan para perwakilan ke atas kepimpinan Saudara selaku  Presiden dan Perdana Menteri. Kenyataan ini saya buat dengan spontan,  ikhlas dan penuh kepercayaan diri saya sendiri atas sokongan saya  kepada Saudara.

Pada 15hb. Januari, 1986, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, sungguhpun  sudah begitu larut malam, Saudara telah sekali lagi menimbulkan keadaan  dan suasana resah dan tanda tanya di kalangan ahli-ahli Majlis apabila  Saudara membangkitkan soal berbagai-bagai tohmah ke atas diri Saudara  selaku Perdana Menteri. Saudara telah lebih serius, tegas dan khusus  lagi kali ini dibandingkan dengan kali dahulu. Dalam  kenyataan-kenyataan Saudara serta setelah ditanya oleh beberapa orang  ahli, Saudara menjelaskan bahawa, di antaranya:-

1.  Tohmah-tohmah ini menyatakan kononnya Saudara adalah seorang PM  yang ‘diktator’, ‘korup’, dan ‘terkaya sekali di dunia’.
2.  Tohmah-tohmah ini merupakan tekanan yang begitu berat ke atasSaudara hingga ianya menjejaskan kemampuan Saudara dalam menjalankan  tugas-tugas resmi Saudara yang lebih besar dan penting lagi memerlukan  perhatian. (Begitu serius hingga pada esok harinya Saudara memberitahu  saya bahawa pada malam itu juga ‘I was determined to resign’).
3.  Tohmah-tohmah ini kuat berbau politik dan bertujuan menjatuhkan  Saudara; dan
4.  Tohmah-tohmah ini datang dari kalangan orang-orang kanan dalam  Parti dan Kerajaan yang tidak sabar hendak mengambil alih tempat Saudara.

Selama ini saya penuh kepercayaan bahawa hubungan kita berdua begitu  relax, rapat dan mesra seolah-olah adik-beradik. Sesungguhnya pada  awal-awal waktu kita berdua bertanggungjawab selaku PM dan TPM  hinggalah akhir-akhir ini, saya berasa begitu mesra tiap-tiap kali  selepas Saudara menunjuk-ajar atau menegur saya dalam berbagai-bagai  hal baik resmi mahupun peribadi.

Apabila saya mendengar semua kenyataan-kenyataan Saudara di malam  15hb. Januari itu dengan begitu teliti, saya lebih lagi tertanya-tanya  malam itu juga atas siapakah yang dimaksudkan. Pada keesokan harinya  bertanyalah saya pada Saudara samada saya sendiri terlibat.

Kesimpulan jawab Saudara ialah ‘Ya’.

Saya pada mulanya berasa sangat-sangat tersinggung, kecewa dan  terperanjat serta tidak percaya mendengarnya. Dalam percakapan kita  pada pagi itu yang agak hangat, saya telah menafikan sekeras-kerasnya  tohmah-tohmah Saudara ke atas diri saya itu.

Malangnya, tiap-tiap kali saya membuat penafian dalam percakapan kita  itu, Saudara berkali-kali juga menyatakan bahawa ‘begitu banyak  Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan dan Wartawan-wartawan’ telah  melaporkannya. (‘Too many Senior Government Officials and  Journalists...’). Implikasinya ialah bahawa saya terlibat dalam satu  pergerakan bertujuan menjatuhkan Saudara seperti dihuraikan oleh  Saudara dalam mesyuarat MT itu.

Memandangkan kenyataan di atas, tentulah Saudara sendiri dan, saya  percaya, ahli-ahli MT bersependapat dengan saya bahawa saya tidak ada  pilihan lain melainkan mengundur diri supaya meringankan bebanan  tekanan-tekanan yang begitu serius ke atas diri Saudara. Ini juga akan  membolehkan Saudara mentadbirkan Parti dan Negara kita atas nama  seluruh anggota Parti dan Rakyat Jelata dengan lebih berkesan lagi  dalam keadaan pemikiran Saudara yang tenang dan tidak diganggu-gugat  oleh sesiapa juga, khususnya orang nombor dua Saudara sendiri.

Soal pokok di sini ialah soal kesetiaan dan kepercayaan. Pastilah  bahawa Saudara mempersoalkan kesetiaan saya dan kepercayaan Saudara  atas diri saya menimbulkan tandatanya pula. Sepertimana Saudara  mementingkan kesetiaan dan kepercayaan ini, saya juga sependapat dengan  Saudara. Perlu juga saya sebutkan di sini - sungguhpun sekarang  merupakan sejarah - bahawa saya berasa sangat-sangat megah di atas apa  yang saya sangka sebagai hubungan rapi kita berdua sebelum timbul  tohmah-mentohmah ini. Tiap-tiap kali disebut atau dipersoalkan oleh  sesiapapun hubungan kita - lebih-lebih lagi bila khabar-khabar angin  begitu kencang  menyatakan kita sudah renggang dan berbalah - saya  sentiasa menafikannya serta menyatakan ‘Alhamdulillah, PM dan saya  begitu rapi hubungan’ (‘Thank God PM and I are very close in our relationship)

Percakapan kita pada pagi sebelum saya bertolak ke Davos, iaitu pada  27hb. Januari, 1986 lebih tegang dan merenggangkan serta menekan kepada  saya. Saudara telah membangkitkan begitu banyak lagi perkara-perkara  yang Saudara mengkritik saya. Khususnya, di antara lain, beberapa orang  yang saya rekomen begitu buruk performancenya. ‘Budak-budak’ saya  (‘your boys’) begitu banyak mencemarkan nama Saudara, dan lain-lain  lagi. Saya sengaja tidak menjawab oleh sebab ini akan cuma lebih
memburukkan suasana dan perasaan negatif Saudara atas diri saya. Cuma  saya mengambil kesempatan di sini mengingat kembali bahawa waktu kita  berdua terkeluar daripada Kerajaan/Parti selepas 13hb. Mei, 1969  dahulu, di antara faktor-faktor penting menyebabkannya ialah  ‘budak-budak Dia’!, walaupun sekarang kita pasti bahawa PM waktu itu  tidak tahu-menahu mengenainya.

Sepanjang masa saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya  mengaku memanglah ada beberapa dasar serta cara-cara perlaksanaan dasar  atas nama Kerajaan pimpinan Saudara yang saya sendiri persoalkan.  Tetapi, banyak daripadanya saya beritahu kepada Saudara sendiri dalam  pertemuan-pertemuan yang begitu kerap kita adakan. Pada dasarnya, saya  menerima hakikat bahawa Saudaralah PM dan lagi, prinsip tanggungjawab  bersama atau ‘collective responsibility’ saya terima.

Saudara juga telah saya maklumkan beberapa kali bagaimana saya ingin  bersara oleh kerana saya bosan dengan ‘politik wang’ (di mana saya  menyatakan saya tidak mampu bertanding lagi) dan penyalahgunaan kuasa  bagi kepentingan politik dan sebagainya. Permintaan saya bersara  Saudara minta saya tangguhkan dan saya menghormatinya.

Walaubagaimanapun, nampaknya Saudara lebih menjangka saya ‘bermain  politik’ bertujuan menjatuhkan Saudara daripada benar-benar mahu  bersara. Tohmah Saudara ke atas diri saya merupakan tamparan yang  begitu hebat kepada maruah dan kredibiliti saya, lebih-lebih lagi  selama ini saya sangka Saudara sendiri menerima penanan saya sebagai  orang sokongan kedua kepada Saudara.

Adakah perletakan jawatan saya ini merupakan ‘sabotage’ kepada Saudara  atau Parti? Adakah ianya merupakan ‘excuse’ saya berhenti? Terpulanglah  kepada kematangan sesiapa yang memikir atau membincangnya.

Tetapi, walau apapun dikatakan nanti, saya fikir perlu saya huraikan  sebab-sebab saya memutuskan meletak jawatan sekarang juga. Antara yang  penting ialah:-

1.  Prinsip saya berkhidmat dan menjalankan tugas berasas kepada  kepercayaan penuh (faith), commitment dan dengan sukacita saya sendiri.  Commitment sudah merosot kerana tidak dipercayai dan sukacita hati  sudah menjadi duka.
2.  Walaupun saya buat sesuatu dengan cara apapun, saya akan berbuatnya  dengan takut-takut ditohmah atas motif kepentingan politik saya sendiri.
3.  Kenyataan-kenyataan umum beberapa orang Menteri, (saya percaya  kebanyakan mereka cuba membantu Saudara) dan Saudara sendiri atas  ‘pihak-pihak tertentu’ yang cuba ‘memecahbelah’, ‘menjatuhkan Kerajaan’  dan ‘kita tahu siapa dia di dalam dan di luar Parti’ yang mencemarkan  nama baik Saudara sebagai PM dan kata-kata khusus bahawa ‘Doc cannot  work together with Musa anymore but cannot do anything because Musa is  too powerful now..’ semua ini menekan fikiran saya. Tambah lagi
aktiviti-aktiviti ‘comando-comando’ dengan rancangan-rancangan khusus  mereka merisau fikiran saya atas potensi dan bahaya kita berpecah-belah  dan saya dilibatkan.
4.  Selagi lama saya terus memegang jawatan, selagi hebat  tohmah-mentohmah berterusan. Kalau saya terus bekerja kuat, ini akan  disalah tafsir, kalau sebaliknya, lebihlah lagi. Sebenarnya, saya  bercadang meletak jawatan sebaik sahaja pulang daripada Davos. Tetapi  saya telahpun meminta supaya lawatan Saudara ke Johor pada 20hb, dan  21hb. Februari disambut secara besar-besaran dan dijayakan.
5.  Dengan saya meletakkan jawatan sekarang, ini akan membolehkan  Saudara memilih orang yang Saudara percaya penuh bagi membantu Saudara  berhadapan dengan rakyat nanti. Ini akan mengekalkan juga perpaduan  Parti dengan saya sendiri tidak menentang Saudara atau mengecam Saudara.

Dalam keadaan sebegini, saya ada dua pilihan, iaitu:-

i.  Berdiam diri dan ‘bersabar’ (Ini sudah dijawab di(4) di atas); atau
ii.  Beralah

Saya memilih (ii) sebab ianya sebaik-baik bagi Parti kita.

Saya sedar dan insaf ahli-ahli Parti, lebih-lebih lagi yang memang  menentang saya, akan mengecam saya menyatakan saya sabotage, tak sayang  Parti dan sebagainya. Tetapi, pada hemat saya, kalaulah saya hendak  disalahkan, kesalahan saya hanyalah bahawa saya sedia mengorbankan diri  saya bagi membuktikan bahawa saya beralah dan tidak mahu difitnah  mengancam kedudukan Saudara.

Untuk membukti saya tidak ada tujuan ‘bermain politik’ atau terus  membebankan Saudara, saya akan berada di luar negeri sebaik sahaja saya  serahkan surat ini. Ini ialah bagi mengelakkan diri saya daripada  ditanya atau dipujuk rayu oleh ‘orang-orang’ atau ‘budak-budak’ saya.  ‘Orang-orang’ atau ‘budak-budak’ saya ini semua pula tentulah akan  kecewa kepada saya. Tetapi, inilah nasib politik saya yang saya  terpaksa hadapi sendiri. Ketiadaan saya dalam negeri juga akan  mengurangkan perlunya saya sendiri terlibat dalam perbincangan umum  atas soal perletakan jawatan saya ini dan dengan itu mengelakkan  kekeruhan suasana.

Saya serahkan baik buruk nama saya kepada kebijaksanaan Saudara  sendiri dan rakan-rakan lain. Cuma saya berdoa ke hadrat Ilahi  janganlah hendaknya saya difitnah atau dicari-cari salah pula nanti.  Saya, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,  mengundur diri dengan rela hati.

Moga-moga Allah tenangkan hati Saudara, kukuhkan iman Saudara supaya  dapat Saudara terus memimpin Parti dan Negara kita yang kita cintai  ini. Saya akan sentiasa berdoa supaya niat baik Saudara hendak memimpin  Negara kita ke arah satu Negara yang maju, bermaruah dan megah akan tercapai.

Akhir sekali, mengikut adat Melayu dan ajaran Agama suci kita, saya  menuntut maaf di atas apa-apa jua yang tersalah silap saya lakukan  kepada Saudara sendiri, semua ahli-ahli Majlis Tertinggi dan seluruh  anggota Parti sepanjang masa saya berkhidmat.

 Selamat Berkhidmat dan Selamat Majujaya.
 

 BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT.

HIDUP MELAYU   DAN   MERDEKA
 

 t.t.
( DATO’ MUSA HITAM )

s.k : Ahli-Ahli Majlis Tertinggi  UMNO Malaysia