KENYATAAN AKHBAR

Kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah bahawa saudara Anwar Ibrahim dipukul mengesahkan kekejaman dan kebiadaban pihak polis. Selepas menunggu selama 3 bulan 16 hari, kenyataan Peguam Negara itu tidak sedikitpun mengalihkan tuntutan kita supaya laporan penuh 'jawatankuasa penyiasat bebas polis' dan laporan oleh pakar perubatan segera di dedahkan kepada umum.

Tindakan Peguam Negara memerap laporan tersebut selama lebih sebulan di atas mejanya tidak dapat diterima samasekali. Langkah beliau melantik seorang pakar perunding forensik untuk kononnya membantu beliau meneliti laporan tersebut dilihat sebagai 'ikhtiar terakhir' untuk menutup sesuatu. Sekarang bukan masanya Peguam Negara memberikan jaminan bahawa pihak yang bersalah akan diambil tindakan. Hakikatnya terang lagi nyata. Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Dalam Negeri dan Rahim Nor sebagai Ketua Polis Negara adalah dua manusia bacul yang wajib dipertanggungjawabkan di atas insiden tersebut.

Dengan terbuktinya saudara Anwar dipukul dan disiksa sehingga pengsan dan lebam matanya, jelas mendedahkan kenyataan Dr Mahathir bahawa Anwar sengaja mencederakan dirinya sendiri untuk mendapat perhatian, sesungguhnya satu pembohongan nyata yang terbit dari mulut seorang diktator tua. Dr Mahathir benar-benar terhimpit sekarang. Rakyat semakin sedar peranannya sebagai ketua konspirator menjatuh dan mengaibkan Anwar. Kini hayat politiknya cuma bergantung kepada penguasaannya ke atas Institusi Polis, Peguam Negara, Kehakiman dan Media. Seluruh lapisan rakyat jelata semakin jelas menolak beliau.

Hakikat bahawa saudara Anwar dipukul dan disiksa dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup, kini polis tidak dapat menolak tanggapan dan kepercayaan rakyat bahawa Sukma dan Dr Munawar Anees turut disiksa untuk mendapatkan pengakuan mereka. Kredibiliti Institusi Polis kini berada pada tahap yang paling hina dan kotor. Pilihannya cuma satu. Dr Mahathir wajib berundur dan dipertanggungjawabkan dalam kes ini. Rahim Nor wajib segera meletak jawatan dan diambil tindakan. Kalau masih ada sisa-sisa hidup untuk menebus kezaliman mereka, inilah tindakan paling baik yang boleh dilakukan untuk mengembalikan semula kredibiliti Institusi Polis di negara ini.
 
 

SAIFUDDIN NASUTION HAJI ISMAIL
BEKAS SETIAUSAHA PEMUDA UMNO MALAYSIA

5 Januari 1999