MAHATHIR MENENTANG TUNTUTAN RAKYAT
Oleh :  Dr.Sanusi Osman

Pemecatan dan penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Dr. Mahathir menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat untuk menuntut keadilan dan kebebasan. Sejak tiga bulan lalu, masyarakat Malaysia malah dunia juga terperanjat melihat perkembangan yang tidak pernah berlaku telah berlaku di negara ini dengan puluhan ribu rakyat dari pelbagai golongan dan keturunan turun ke jalan raya di Kuala Lumpur menuntut supaya Mahathir turun sebagai Perdana Menteri.

Guna ISA dan FRU

Mahathir yang menganggap dirinya popular di kalangan rakyat mungkin tidak pernah menduga perkara demikian boleh terjadi. Oleh itu beliau bertindak menggunakan undang-undang dan kekerasan bagi mengatasi perkembangan ini dengan menangkap penyokong-penyokong Anwar di bawah ISA dan mengarahkan FRU  dan polis supaya bertindak tegas terhadap penunjuk-penunjuk perasaan aman setiap minggu di Kuala Lumpur. Akibat tindakan ini hampir 27 orang menjadi mangsa ISA  dan lebih 300 orang yang lain ditangkap di atas tuduhan terlibat dalam perhimpunan haram. Ramai daripada yang ditangkap mendakwa mereka dipukul dan diseksa oleh polis.

Pencabulan hak asasi rakyat dan penggunaan jentera kerajaan oleh Mahathir khususnya media massa untuk menghukum bekas Perdana Menteri sebelum dia diadili di mahkamah menambah lagi kemarahan rakyat terhadap pemerintah. Rakyat juga selama ini amat tidak berpuas hati dengan perbuatan beberapa orang pemimpin yang mengamalkan nepotisme, kronisme dan rasuah dengan meluas tanpa mementingkan pengagihan kekayaan secara adil di kalangan rakyat.

Tentang Kezaliman

Semua perkembangan ini mendorong kepada wujudnya semangat persefahaman dan kerjasama di kalangan badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan individu yang mewakili pelbagai golongan, kepentingan, agama dan kumpulan etnik untuk menyatukan tenaga bagi memperjuangkan keadilan, kebebasan  dan menentang kezaliman. Maka timbullah Gagasan Demokrasi Rakyat ( Gagasan ) dan  Majlis Gerakan Keadilan Rakyat ( Gerak ). Ini juga merupakan perkembangan penting dan bersejarah di negara kita kerana semua parti pembangkang yang berlainan ideologi sanggup duduk bersama dan bekerjasama pula dengan badan-badan NGO lain yang mempunyai perjuangan dan cita-cita yang sama. Kedua-dua badan gabungan ini mengutuk pencabulan hak asasi rakyat dan penyalah gunaan kuasa dalam penangkapan di bawah ISA serta menuntut supaya akta kejam ini dimansuhkan. Melihat badan-badan gabungan ini mendapat sambutan hebat di kalangan rakyat, pelbagai sekatan dan ancaman pula dikenakan. Parti-parti politik dan NGO juga dihalang mengadakan perjumpaan  walaupun di dalam dewan atau bangunan. Inilah usaha Mahathir menentang tuntutan dan suara rakyat.
 

Penubuhan ADIL

Dalam hal ini Dr. Wan Azizah juga pernah diugut akan ditangkap kalau dia berceramah di tempat awam dan pergerakannya senantiasa diawasi. Bukankah ini suatu pencabulan hak asasi ? Kini Dr. Wan Azizah telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penaja Pergerakan Keadilan Rakyat ( ADIL ) yang telah dihantar permohonannya untuk pendaftaran. Kita mengalu-ngalukan penubuhan ADIL untuk menyusun dan memperkuatkan lagi gerakan rakyat bagi menegakkan keadilan, demokrasi dan kebebasan di negara ini. Oleh itu kita berharap pihak kerajaan tidak akan melengah-lengahkan pendaftarannya kerana ia jelas bukan sebuah pertubuhan politik. Jadi tidak ada sebab yang hendak dibimbang dan ditakutkan kecuali jika
UMNO merasakan kedudukannya kini sangat lemah dan porak- peranda.

Mahathir mencabar golongan reformasi supaya menubuhkan parti politik dan bertanding dalam pilihanraya. Ini menunjukkan Mahathir tidak akan membuat sebarang perubahan yang dituntut oleh rakyat selama ini selagi dia berkuasa. Oleh sebab dia berkuasa dan akan menentukan bila pilihanraya perlu diadakan, dia merasakan Barisan Nasional akan tetap mencapai kemenangan.

Pulihkan Keyakinan

Sekiranya Mahathir ingin menjadikan pilihanraya sebagai pengukur keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan kredibilitinya, maka proses pilihanraya itu mestilah dijamin adil, bersih dan demokratik.  Dari sekarang, semua pihak mesti diberi kebebasan mengadakan perjumpaan dengan rakyat, dijamin wujudnya media massa yang bebas dan bertanggung jawab, dibenarkan rapat umum diadakan, digalakkan perdebatan dengan pembangkang di TV dan radio dan akhir sekali Mahathir patut umumkan tarikh pilihanraya dari sekarang bukan menunggu sehingga dua tiga minggu sebelum pilihanraya.

Pindaan perlembagaan UMNO baru-baru ini mempersulitkan lagi pencabar yang ingin merebut jawatan number satu dalam UMNO. Ini bererti kedudukan Mahathir sukar dicabar apa lagi dikalahkan dalam pemilihan UMNO. Ini semua menunjukkan bahawa Mahathir akan terus menerus menentang segala tuntutan rakyat selagi beliau berkuasa. Oleh itu, rakyat yang inginkan reformasi dan segala tuntutan rakyat tercapai mestilah bersatu untuk menentang kekuasaan Mahathir. Hanya kekalahan Mahathir dan Barisan Nasional saja kita boleh mengharapkan perubahan besar yang mengutamakan kepentingan rakyat dapat wujud dan dilaksanakan.