Surat Terbuka Umno Kg Uma buat PM

  <logo UMNO>
  PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSTU (BARU) ATAU UMNO (UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION)
  BAHAGIAN PERMATANG PAUH  Cawangan Kampong Uma

17hb. November, 1998.

YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
Jalan Dato' Onn,
50480 Kuala Lumpur.

YAB Dato' Seri,

Perkara : Kepentingan Masa Depan UMNO

Malaysia sudah terkenal di seluruh dunia. Kehadiran Dato' Seri di puncak  kepimpinan negara selama 17 tahun telah berjaya menjana pembangunan yang pesat dalam pelbagai bidang bagi kepentingan rakyat dan negara. Rakyat berterima kasih atas segala sumbangan, pengorbanan dan perkhidmatan cemerlang Dato' Seri selama ini. Rakyat menghargai kemampuan, kegigihan  dan keberkesanan Dato' Seri dalam menerajui Malaysia menerokai wawasan progresif alaf Millenium yang serba canggih dan mencabar.

Namun, disebabkan terdapat sedikit masalah sekarang ini, rakyat berpendapat perlu ada teguran yang membina bagi memperbetulkan kesilapan yang telah berlaku. Insiden perlucutan keahlian dan jawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden UMNO, pada 3hb. September, 1998, telah menimbulkan suasana ketidakstabilan politik dalam negara.   Perkembangan ini telah menjejaskan pemulihan kegawatan ekonomi negara akibat berkurangnya pelaburan asing dalam masa yang terdekat ini.

Rakyat tidak menyenangi peristiwa yang berlaku sekarang ini. Ini nyata terbukti apabila ramai di kalangan ahli-ahli UMNO, termasuk di peringkat cawangan ini, telah keluar dari parti atau turut enggan untuk membayar yuran keahlian mereka bagi tahun 1999. Perubahan sikap dan pendirian rakyat secara mendadak, di seluruh negara, bukan sahaja tertumpu kepada generasi muda tetapi termasuk golongan tua juga.

Keputusan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim, jika didapati bersalah sekalipun, tidak mudah untuk mengubah pendirian rakyat. Operasi "Turning Over" dan Neutralisation" tidak akan berkesan lagi kerana rakyat sudah meragui ketepatan berita yang disiarkan oleh media massa tempatan, kewibawaan Sistem Kehakiman dan Institusi Keselamatan Dalam Negeri dan kebenaran kata-kata pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.

Jentera Kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengawal dan membentuk pemikiran rakyat sudah separuh lumpuh. Propaganda mengugut dan menakut-nakutkan rakyat terutama sekali Orang Melayu melalui isu "Ketuanan Politik Bukan Melayu". "Rusuhan Kaum", "Negara Di Jajah" dsbnya sudah tidak relevan lagi. Isu seperti ini sudah tidak mendapat tempat di pemikiran mereka.

Pemikiran rakyat kini bukan tertumpu untuk menilai kemampuan parti-parti politik lain sebagai altrnatif kepada UMNO tetapi untuk memastikan perjuangan kepada perubahan itu berjaya. Jika rakyat sudah memahami perbezaan antara "Memerintan Dengan Menggunakan Undang-Undang" dan "Memerintah Berdasarkan Undang-Undang", Parti PAS mampu menawan sokongan dari golongan ini kerana mereka telah berjaya menunjukkan kebolehan mentadbir negeri Kelantan dengan baik.

Fenomena ini, walaupun amat membimbangkan, perlu diterima sebagai satu hakikat kepada UMNO jika benar wujud keikhlasan bagi mencari formula penyelesaian kepada permasalahan yang ada. Rakyat hanya menunggu pilihanraya diadakan bagi mengembalikan kedilan melalui sistem demokrasi berperlembagaan. Rakyat telah menyokong UMNO berdasarkan lambang lambang parti dalam pilihanraya sebelum ini dan dengan itu rakyat juga mampu untuk menafikan hak UMNO kembali berkuasa, secara yang sama, semata-mata kerana isu kepimpinan Dato' Seri sekarang ini. Jika reliti yang ada sitolak, satu kejutan akan pasti berlaku, buat pertama kali dalam sejarah tanah air sejak merdeka.

UMNO Cawangan ini telah mengadakan satu Mesyuarat Jawatankuasa Tergempar pada 15hb. November, 1998 untuk mengenalpasti punca perubahan sikap rakyat terhadap UMNO. Pembentukan sikap negatif ini berpunca dan berhubungkait dengan beberapa sebab seperti berikut :

1. Majoriti rakyat telah tidak bersetuju dengan keputusan Majlis Tertinggi melucutkan keahlian dan jawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden UMNO. Mereka berpendapat bahawa :

a) Majlis Tertinggu telah tidak menghormati hak Perwakilan UMNO yang telah melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden parti.

b) Majlis Tertinggi telah membuat keputusan yang tidak adil terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila beliau dinafikan hak untuk terus kekal menjadi ahli UMNO.

c) Majlis Tertinggi telah tidak ikhlas dalam menggungakan peruntukan di dalam Fasal 18.6 (D) Perlembagaan UMNO kerana gagal untuk merujuk kepada kes-kes yang bersamaan sebelum ini, bagi memutuskan hukuman yang saksama terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim.

d) Majlis Tertinggi telah gagal membuat pertimbangan yang bijak untuk memaksa Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya bercuti dari tanggungjawabnya dalam parti buat sementara waktu. Keputusan untuk melucut keahliannya sepatutnya menjadi pilihan terakhir, walaupun dalam keadaan Dato' Seri Anwar Ibrahim telah enggan untuk mengundurkan diri.

e) Majlis Tertinggi telah gagal untuk mengamalkan prinsip keadilan yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negara; yang mana seseorang itu belum bersalah selagi tidak dibuktikan bsersalah oleh Mahkamah.

f) Majlis Tertinggi telah secara keterlaluan, melampaui batas dan tidak berperikemanusiaan, bersubahat dengan media massa tempatan untuk mengaibkan maruah Dato' Seri Anwar Ibrahim di mata ramai. Perbuatan sebegini juga tidak mempunyai nilai moral yang tinggi kerana maruah dan martabat bangsa Melayu, secara tidak langsung, sudah turut menjadi rendah dan tercabar. UMNO telah gagal untuk mempraktikkan konsep bermesyuwarah dalam mencari penyelesaian kepada kes ini.

2. Majoriti rakyat tidak mempercayai kesemua 10 pertuduhan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana:

a) Kes pertuduhan rasuah terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang nilai kewangan. Kesnya hanya menjurus kepada menyalahgunaan kuasa yang kebiasaannya berlaku di mana saja.

b) Kes pertuduhan liwat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim hanya layak untuk dibicarakan mengikut Seksyen 25 Akta Kesalaha Jenayah Syariah sahaja. Hak pendakwaan yang mengikut prerogatif Peguam Negara seperti penggunaan Seksyen 377B dalam kes ini, telah manafikan asas keadilan mengikut semangat perundangan itu sendiri. Pada dasarnya, Perundangan Islam adalah lebih "stringent" dan bersesuaian untuk membicarakan kes-kes berbentuk moral kerana ianya mengharamkan perbuatan liwat sma sekali berbanding dengan Perundangan Ala Barat yang menghalalkan perlakuan secara sukarela oleh dua pihak yang berumur lebih 21 tahun di tempat tertutup.

3. Rakyat menganggap bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim telah dianiayai kerana pertuduhan terhadapnya mempunyai unsur-unsur bermotig politik. Alasan yang ditimbulkan adalah:

a) Apabila hak Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk membela diri dan mempertahankan kepentingannya dalam parti telah dinafikan melalui perlucutan keahliannya.

b) Apabila terdapat unsur keraguan kepada prosedur, perjalanan dan keputusan perbicaraan kes liwat Dr. Munawar Ahmad Anees dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

c) Apabila prosedur dan instrumen kerajaan dimanipulasikan untuk menafikan hak persalah membuat rayuan bagi mendapat pengadilan semula. (Persoalannya adakah prosedur untuk membicara dan menghukum pihak yang menjadi mangsa jenayah akan kekal dabagai amalan dan kes rujukan bagi perundangan di Malaysia?)

d) Apabila hak kebebasan Dato' Seri Anwar ibrahim untuk bersuara dan memberi penerangan kepada rakyat telah disekat oleh kuasa polis dan penahanannya di bawah ISA.

e) Apabila hak kebebasan bersuara untuk Datin Seri Dr. Wan Azizah dan rakan-rakan seperjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menyambung sessi penerangan kepada rakyat telah turut disekat.

f) Apabila tidak terdapat kepekaan untuk menyiasat lapuran Tun Hanif mengenai salahlaku Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1993. Pendekatan bertindak mengikut kesesuaian masa dan situasi adalah bercanggah dengan prisnsip kewujudan perundangan itu sendiri.

g) Apabila hak Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat ikat jamin telah dinafikan atas kelewatan mengesahkan Akta Rasuah 1997 oleh Dewan Negara samada secara sengaja ataupun tidak sengaja.

h) Apabila terdapat berbagai keputusab dan prosedur mahkamah yang tidak konsisten. Ini tidak haruss wujud krrana asas perundangan dan ketidakadilan tidak sepatutnya berubah-ubah mangikut masa dan kehendak persekitaran. Hak tertuduh untuk mendapat keadilan perlu diutamakan daripada hak prerogatif Peguam Negara untuk memilih mana-mana undang-undang yang sesuai demi kelebihan pendakwaan sahaja.

i) Apabila wujud niat dan pendekatan untuk memastikan Dato' Seri Anwar Ibrahim tetap didapati bersalah melalui pertuduhan tambahan yang sengaja dicari dan/atau diada-adakan.

j) Apabila terdapat kenyataan yang negatif, yang boleh mempengaruhi perbicaraan di mahkamah, seperti "akan berlaku rusuhan kaum sekiranya Dato' Seri Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah",.

k) Apabila terdapat pendekatan untuk tidak menyasat pertuduhan / dakwaan awam mengenai amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sifat rendah moral anggota-anggota kabinet dan Majlis Tertinggi lain secara serious demi untuk membersihkan imej Kerajaan sekarang.

l) Apabila hak Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke UMNO terus akan disekat mengikut bualcara Dato' Seri dalam Program Biz Asia CNN pada 10hb. November 1998; walaupun jika beliau didapati tidak bersalah oleh mahkamah.

4. Rakyat telah hilang kepercayaan atas kewibawaan Dato' Seri untuk terus memimpin Negara lagi kerana:

a) Corak kepimpinan Dato' Seri sudah jelas mendekati diktator apabila wujud budaya takut dalam Majlis Tertinggi, Jentera Pentadbirab Kerajaan dan di kalangan rakyat jelata. Budaya memerintah dengan kuasa mutlak ini adalah tidak sihat untuk negara dan UMNO kerana tidak akan terdapat badan atau individu yang mampu berfungsi debagai pengimbang kepada sebarang penyalahgunaan kuasa dsbnya.

b) Kuasa-kuasa penting dalam pentadbiran negara telah dibolot dan diletak di bawah pengawasan / penyeliaan Dato' Seri seorang sahaja. Pendekatan Dato' Seri untuk memikul tanggungjawab tambahan di Kementerian Kewangan dan sebagai Timbalan Perdana Menteri juga sebenarnya telah menggambarkan bahawa Dato' Seri tidak yakin dan percaya kepada barisan kepimpinan UMNO untuk mengambil alih tugas ini. Penumpuan kuasa kepada seorang pemimpin sahaja adalah pendekatan yang membuka peluan kepada penyalahgunaan kuasa yang lebih besar.

c) Sikap keangkuahan yang ditunjukkan olwh Dato' Seri tidak bersesuaian dengan sifat ketimuran kita. Kenyataan Dato' Seri yang menolak kembalinya Dato' Seri Anwar Ibrahim ke UMNO, jika didapati bersalah, adalah bertentangan dengan sejarah UMNO itu sendiri. Kesilapan Dato' Seri untuk tidak dapat membezakan hak peribadi dan hak parti telah menimbulkan keraguan mengenai kesesuaian kepimpinan yang ada untuk kepentingan parti.

d) Pengubahsuaian Perlembagaan UMNO dan Negara telah berlaku mengikut kesesuaian masa untuk memberi kelebihan perundang kepada Dato' Seri bagi menerajui parti dan memerintah negara tanpa mampu dicabar oleh sesiapa. Pendekatan yang baik sebenarnya adalah untuk meminda perlembagaan agar bersesuaian untuk semua zaman dan situasi, jika boleh, untuk mengelak sebarang manipulasi yang memberi kelebihan kepada seseorang sahaja. UMNO semakin ke belakang dan kurang matang. Sebagai contoh, pendekatan untuk menurunkan had umur keahlian dari 18 ke 16 tahun telah menggambarkan bahawa UMNO sudah tidak diterima oleh masyarakat maka oleh itu anggota baru adalah diperlukan untuk mengisis kekosongan tersebut. Pendekatan yang memerlukan 25% sokongan dan 5 tahun keahlian untuk melayakkan seseorang ahli itu bertanding dan bergerak aktif dalam UMNO sebenarnya merugikan UMNO juga. Budaya ini adalah tidak sihat kerana pendekatannya adalah berbentuk menghalang hak ahli lain demi untuk mempertahankan kedudukan barisan kepemimpinan lama. Apa sebenarnya yang perlu ditakutkan kerana ahli baru tidak mungkin dapat menandingi kehebatan dan pengaruhi pemimpin lama yang telah lama terbina. Pendekatan sebegini akan menjadi UMNO pasif dan tidak efektif.

e) Dato' Seri adalah penyebab kepada perpecahan UMNO yang bertalian berlaku dalam UMNO sebelum ini. Mengikut statistik, adalah sukar untuk menuding jari kepada orang lain kerana sudah empat pemimpin kanan (Dato' Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Tun Gahfar Baba dan Dato' Seri Anwar Ibrahim) dalam UMNO yang telah kecundang di tengah jalan untuk meneruskan perjuangan mereka. Untuk jawatan TPM sahaja, perangkaan statistik yang berjumlah 67% telah memberi petunjuk untuk kenyataan di atas. Berdasarkan fakta ini, maka tidaklah hairan jika Dato' Seri juga manghadapi masalah dalam UMNO di waktu kepimpinan YAM Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

f) Dto' Seri telah gagal untuk membuktikan sifat kejujuran yang tinggi dalam menerajui kepimpinan negara. Jika direnung kepada peristiwa lalu, Dato' Seri Anwar Ibrahim nampak lebih jujur dari Dato' Seri.

Di saat akhir sebelum dipecat dan termasuk di Mesyuarat Tertutup UMNO Bahagian Permatang Pauh pada 31hb. Ogos 1998, Dato' Seri Anwar Ibrahim masih tetap berpendirian untuk terus setia menyokong kepimpinan Dato' Seri dan bekerja untuk UMNO. Lafaz ini berlaku di hadapan penyokong kuat di kubunya sendiri. Manakala kejujuran Dato' Seri semakin meragukan.  Pada Ogos 1997, Dato' Seri telah memprtahankan Dato' Seri Anwar Ibrahim melalui penafian kepada pertuduhan dalam surat layang tersebut. Pada 1hb. September 1998, Dato' Seri telah menyebut bahawa perletakan jawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak akan diterima tanpa sebab-sebab yang kukuh dan pada 2hb. September 1998, satu trajedi yang sebaliknya telah berlaku.

Pendirian Dato' Seri yang tidak stabil dan tidak menentu amat merbahaya kepada negara kerana bukan UMNO sahaja yang akan menjadi kucar-kacir tetapi rakyat akan turut menderita disebabkan keputusan yang tidak konsisten dan kadangkala lebih mencelakakan. Sisa-sisa hidup Dato' Seri mungkin hanya tinggal sedikit sahaja lagi berbanding dengan generasi akan datang. Kesilapan yang berlaku akan terus dirasai dan dipikul oleh generasi ini.

Sebenarnya isu kepimpinan yang ada sekarang tidak akan wujud jika Dato' Seri jujur dan ikhlas untuk mengumumkan tarikh tepat persaraan Dato' Seri sebagai PM. Kami percaya Dato' Seri Anwar Ibrahim dan kroninya mampu bersabar jika destinasi mereka semakin jelas. Persoalan samada Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak sabar, tidak perlu timbul kerana Dato' Seri juga patut menyedari bahawa jangka masa 17 tahun Dato' Seri berada di kerusi Perdana Menteri ini sudah terlalu lama. Jangka masa ini telah
melebihi dua kali ganda dari Perdana Menteri yang lain sebelum ini. Keterlalulamaan dalam jawatan ini jelas telah meletakkan Dato' Seri terlalu berkuasa dan terlalu menggunakan kuasa.

k) Dato' Seri, untuk kali keduanya, telah tidak menunjukkan sifat tidak menghormati kedudukan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung dan Raja-Raja Melayu, apabila pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat persetujuan Baginda Tuanku. Ini tidak wajar timbul kerana ia adalah satu penderhakaan kepada masyarakat Melayu itu sendiri.

l) Dato' Seri telah membentuk budaya takut dalam UMNO dan Negara. Pendekatan ini adalah tidak sihat kerana pemimpin- pemimpin pelapis akan menjadi pasif, penakut dan tidak berkeyakinan atas diri sendiri untuk memberi pandangan bernas, kreatif atau pun menegur sebarang kesilapan yang mungkin wujud. Budaya sebegini akan memberi kesan saikologi negatif kepada wawsan 2020. Amat aneh sekali, di sebalik pemim[pin yang lantang wujud pula rakyat yang begitu menyendiri (reserved).

m) Pakej ekonomi yang dianjurkan oleh Dato' Seri telah tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Disebabkan ada usaha yang begitu jelas untuk menggunakan wang rakyat dari KWSP dan Tabung Haji secara berterusan dan berulang-ulang, ada rakyat yang sudah tidak bersedia untuk menabung dalam negara. Pakej ekonomi yang memaksa pengaliran semula wang rakyat ke dalam negara ini tidak disimpan dalam Institusi Perbankan Tempatan tetapi dalam Institusi perbankan milik asing.

n) Dato' Seri telah mencemarkan imej negara di mata negara Asean, Asia, Dunia Arab dan dunia keseluruhannya. Apabila berlakunya insiden 2hb September 1998, Negara sekarang terpaksa berdepan dengan krisis ketidakyakinan negara asing terhadapnya dan ini menykarkan negara untuk mendapatkan bantuan kewangan dari negara-negara asing. Maruah negara talah menjadi begitu rendah sekali; kita umpama peminta sedekah kerana hampir muflis.

o) Dato' Seri gemar menimbulkan suasana bertelagah dengan negara-negara lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Amerika Syarikat. Ini tidak sihat semasa negara dilanda masalah kerana penumpuan seharusnya untuk menyelesaikan masalah dalaman dan bukan untuk melayani kerenah-kerenah meraka. Tindakbalas Dto' Seri terhadap mereka mengesahkan bahawa kepimpinan negara tidak jauh berbeza dangean mereka.

p) Dato' Seri telah gagal untuk membuktikan kepada dunia bahawa Sistem Kehakiman Negara adalah bebas dari pengaruh kerajaan.

q) Pendekatan untuk mengubahsuai peraturan dan menghina kehadiran kumpulan pemerhait bebas adalah kurang bijak kerana ia mengesahkan bahawa kita sebenarnya sudah tidak bebas dan hanya menjemput lebih banyak masalah kepada negara. Jika sistem kita adalah adil dan bebas, kita sebenar tidak perlu takut kerana keadilan kita akan menjadikan kehadiran mereka sia-sia sahaja. Kita tidak juga perlu takut kerana keputusan mahkamah akan dibuat oleh hakim kita sendiri tanpa pnglibatan atau pengaruh Badan Pemerhati Bebas ini.

r) Disamping kesilapan ini, rekod hak asasi manusia kita yang semakin buruk mampu meletakkan Malaysia terpinggir dari dunia Antarabangsa dan kemungkinan terkeluar dari senarai "Preferred Nation" Amerika Syarikat. Dato' Seri mesti berusaha memperbaiki imej Malaysia yang sudah dikenali sebagai "Regim Mahathir".

5. Rakyat tidak senang dengan kenaikan harga barangan keperluan seharian secara mendadak dan tidak terkawal. Pendekatan untuk memulihkan ekonomi negara sekarang ini tidak akan berkesab selagi imej buruk negara tidak dibersihkan, Malaysia masih terasing dari dunia Antarabangsa dan isu hak asasi manusia tidak diperbaiki.

6. Rakyat tidak meredhai pendekatan Kerajaan untuk menggunakan wang tabungan rakyat dalam KWSP, Tabung Haji dan hasil pendapatan negara dari Petronas sebagai dana untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik perseorangan. (Jika syarikat-syarikat ini masih 'viable', tidak salah bagi kerajaan untuk membelinya mengikut 'discounted price' atau "forced sale value" kerana ini akan memberi keuntungan kepada kerajaan dalam masa yang panjang dan di samping mempertahankan kepentingan rakyat yang bekerja di dalam syarikat tersebut).

7. Rakyat mencurigai maksud sebanar rundingan antara Dato' Seri dengan Perdana Menteri Singapura mengenai persetujuan untuk mengkaji semula perjanjian pembekalan air dengan Republik itu pada 5hb November, 1998.

Rundinagn ini yang dibuat secara tergesa-gesa dan tidak mengikuti protokol biasa, pada dasarnya, telah membelakangi usul dari cawangan-cawangan UMNO dan kepentingan rakyat jelata. Ini adalah kerana sumber air masa ini pun semakin tidak mencukupi untuk kegunaan negara.

Rakyat juga berhak untuk meragui rundingan ini kerana takut jika harta negara seperti Tanjong Pagar, Pulau Pisang dan ruang udara turut dijual untuk menampung kesempitan bagi mendapatkan dana-dana negara.

UMNO sudah tergugat dan dalam keadaan yang cukup kritikal akibat perubahan pendirian rakyat berdasarkan 7 alasan yang tersebut di atas. Imejnya yang teruk terjejas agak sukar dipulihkan dalam masa yang singkat ini melainkan dengan satu pendekatan yang luar biasa di mana semua pihak perlu berkorban, berkompromi, saling maaf memaafkan, bertolak ansur, melupakan peristiwa yang telah berlaku dan melihat ke hadapan bersama niat untuk menyelesaikan ujian yang menimpa UMNO sekarang ini. Dato' Seri tentu lebih arif dengan perkembangan sekarang. Oleh itu hasrat Dato' Seri untuk mengundurkan diri, seperti mana dimaklumkan dalam bualcara Dato' Seri bersama Program Biz Asia CNN pada 10hb November 1998, adalah dialu-alukan. Jika niatnya sudah ada, kami berpendapat bahawa perlaksanaannya perlu disegerekan karana:

a) Orang Melayu sekarang sudah berbeza. Kebanyakan dari mereka sudah berpelajaran, maju berfikir dan tidak terlalu bergantung lagi kepada Kerajaan.

b) Orang Melayu bukan lagi bersifat hangat-hangat tahi ayam kerana demonstrasi-demonstrasi yang berlaku sekarang ini sudah berlanjutan kepada bulan ketiga.

c) Orang Melayu sudah menunjukkan sifat kesedaran yang mengkagumkan apabila menunjukkan sokongan yang luar biasa sekali kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Masjid Negara pada 20hb September 1998.

d) Orang Melayu yang kurang senang dengan Kerajaan telah bertambah apabila wanita-wanita yang berdemonstrasi di hadapan Istana Negara telah dituduh sebagai pelacur upahan dan apabila ramai anak-anak muda Melayu ditangkap dan tercedera akibat tindakan kasar oleh anggota FRU.

e) Orang Melayu sudah tidak takut kepada ugutan dan tindakan Kerajaan. Ini dapat dilihat apabila mereka telah berani bangkit untuk menolak secara berdepan penjelasan dari pemimpin-pemimpin UMNO.

f) Orang Melayu dalam senyap-senyap sudah memulau, mengelak dan menolak propaganda Kerajaan melalui Media Massa dan Majlis-Majlis yang dianjurkan. Keadaan ini amat membimbangkan kerana kemampuan untuk membentuk pemikiran yang pro-Kerajaan semakin terhad.

UMNO hanya mempunyai 1¼ tahun untuk menangani masalah sekarang. Pilihanraya di Sabah mungkin tidak akan berpihak kepada Barisan Nasional sekali lagi kerana pendekatan menukar-ganti Ketua Menteri telah mengurangkan keberkesanan peranan Kerajaan Barisan Nasional di sana. Jika ini berlaku, keputusannya akan turut mempengaruhi rakyat di Semenanjung Malaysia untuk mengikut jejak langkah yang sama.

Perbicaraan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim yang sedang berjalan sekarang hingga ke pertengahan tahun hadapan tidak akan memberi kelebihan kepada UMNO. Ingatan rakyat akan sentiasa segar kerana pihak peguam bela juga mampu untuk terus menimbulkan suasana keraguan terhadap terhadap UMNO. Jika kegawatan ekonomi sekarang terus meleset, maka peluang yang ada kepada UMNO untuk pulih akan menjadi lebih tipis.

Pembubaran Parlimen sekarang bererti membunuh diri. Menangguhkan pilihanraya ke penghujung 1999 juga turut membawa kesan yang sama. Kunci penyelesaian berada di tangan Dato' Seri, Majlis Tertinggi dan Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk bermusyuwarah demi kepentingan UMNO. Masa itu emas; UMNO perlu bertindak segera.

Perlantikan Timbalan Perdana Menteri baru jika dibuat sekarang ini tidak akan mengubati krisis keyakinan rakyat terhadap UMNO. Penentuan oleh para Perwakilan adalah pendekatan terbaik untuk mengelak perpecahan dalam UMNO dari menjadi lebih tenat lagi.

Desas-desus untuk membawa Tengku Rasaleigh ke kedudukan kepimpinan yang lebih tinggi perlu dipertimbangkan dangan bijak kerana ia mampu mencederakan UMNO dengan lebih teruk lagi. Kita perlu juga menghormati jasa, menghargai pengorbanan dan taat setia pemimpin kanan seperti Dato' Seri Najib Abdul Razak dan Dato' Abdullah Ahmad Badawi kepada parti. Mereka - mereka ini perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan yang ada. Jika tidak, UMNO juga menempuh mautnya sendiri.

Gelombang kebangkitan rakyat perlu dihormati. Menyedari bahawa UMNO kini berdepan dengan krisis keyakinan rakyat terhadapnya, cawangan ini telah meluluskan beberapa ketetapan berikut untuk tindakan oleh semua pihak yang masih sayangkan parti ini:

Demi kepentingan, kebaikan, kesejahteraan, perpaduan dan masa depan Orang Melayu, kesinambungan kuasa UMNO untuk memerintah negara, pemulihan kegawatan ekonomi negara dengan segera dan keamanan negara;

1. Bahawasanya, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan hormatnya adalah diminta membri pertimbangan yang serious, untuk menawarkan diri berundur dengan segera.

2. Bahawasanya, Majlis Tertinggi UMNO dengan hormatnya juga disaran untuk mengadakan Mesyuarat Tergempar untuk membincang dan meluluskan ususl-ususl berikut:

a) Menerima perletakan jawatan Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

b) Menentukan tarikh Persidangan Perwakilan Pusat Tergempar bagi meluluskan keputusan Majlis Tertinggi yang telah menerima perletakan jawatan Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menter Malaysia.

c) Membatalkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi pada 3hb. September, 1998; mengenai perlucutan keahlian dan jaawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden UMNO.

d) Meluluskan ketetapan bahawa kes-kes pertuduhan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah bermotif politik dan dengan itu kes-kes ini layak digugurkan tanpa perbicaraan yang lebih lanjut.

Kami, Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan Kampong Uma, Bahagian Permatang Pauh, bahawasanya sedar dan mengakui bahawa keputusan yang telah diambil ini adalah bertentangan dengan Majlis Tertinggi.

Kami berhak untuk bersimpati dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim tanpa perlu menanti keputusan perbicaraan kes-kesnya. Pendekatan ini adalah sama sebagaimana kepimpinan UMNO bertindak untuk menghukum Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai bersalah sebelum dibicarakan.

Keputusan ini bukan mewakili UMNO Bahagian Permatang Pauh atau mana-mana cawangan di bawahnya. Ia telah dibuat secara ikhlas, atas dasar kesedaran untuk mempertahankan kepentingan UMNO secara amnya serta maruah UMNO Bahagian Permatang secara khususnya dan dengan semangat untuk mengembalikan keadilan kepada rakyat dan negara.

Oleh sebab asas perjuangan politik di cawangan ini adalah jelas, kukuh, tidak terikut-ikut dan tidak berkepentingan peribadi semata-mata, kami tetap yakin dengan pendirian yang dibuat ini tanpa takut atau merasa ragu ia dianggap sebagai pendekatan yang kurang bijak, terlalu taksub kepada kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim atau bertujuan menunjuk jaguh dalam arena politik semasa.

UMNO kini sudah tidak mempunyai pilihan yang lebih baik. Ketetapan di atas adalah bersesuaian untuk menyelamatkan kepentingan UMNO, mengelak perpecahan Orang Melayu dan ketidakstabilan suasana politik antara kaum dari berulang lagi. Ia juga bermatlamat untuk memperbaiki imej negara yang teruk terjejas serta mengembalikan keyakinan dana-dana asing agar melabur semula dalam negara demi untuk memulihkan ekonomi negara dengan seberapa segera.

Jika dengan ketetapan ini, Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat kami serta menggantung cawangan ini, pihak kami tetap akan menerima hukuman tersebut dengan baik tanpa hasrat untuk membuat rayuan kembali. Kami tidak akan berasa kesal dengan tindakan ini, malah kami tetap bersyukur kerana memiliki sedikit keberanian, keyakinan, komitmen dan tanggungjawab untuk memberi pandangan dan teguran yang wajar kepada Dato' Seri demi kepentingan UMNO, Orang Melayu, rakyat jelata dan juga negara.

Harapan kami semoga teguran ini mampu menjadi penawar bagi menyedarkan semua pihak mengenai asas perjuangan UMNO semenjak merdeka. Semoga sejarah pengorbanan YAM Tengku Abdul Rahman Putera Al-Haj dan Tun Hussein Onn kepada negara boleh dijadikan iktibar untuk menyelamatkan kepentingan UMNO, rakyat dan negara.

Perjuangan kami akan tetap kekal untuk mempertahankan kepentingan Orang Melayu. Kami tidak rela untuk bersubahat atau bersekongkol dengan sebarang agenda yang mengenepikan keadilan dan kepentingan rakyat jelata.

Alasan Dato' Seri untuk menolak Dato' Seri Anwar Ibrahim kembali ke pangkuan UMNO, jika tidak didapati bersalah, tidak boleh diterima kerana Allahyarham Tun Abdul Razak juga telah menerima kehadiran Dato' Seri untuk kembali ke UMNO semula walaupun sebelum itu Dato' Seri cukup lantang mengkritik UMNO.

Disebabkan kami yakin bahawa surat ini akan sampai ke tangan Dato' Seri, surat ini akan dijadikan surat terbuka dan akan dikirimkan kepada semua akhbar tempatan untuk penyiaran mengikut prerogatif akhbar-akhbar tersebut.

Pendekatan untuk mengklasifikasikan surat ini sebagai surat terbuka adalah bertujuan untuk memberti peluang