Semua ideologi ciptaan manusia

hadapi kegagalan

 

SESUNGGUHNYA sehingga hari ini dunia menyaksikan kegagalan kerja-kerja

syirik, kerja-kerja menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Allah Taala

mendedahkan betapa kerja-kerja syirik itu kerja sia-sia dan firman Allah Taala

yang bermaksud:

 

"Maka jangan kamu jadikan sekutu-sekutu bagi Allah sedangkan kamu

mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 22).

 

Ini sama ada berupa agama-agama karut dengan membuat patung-patung dan

berhala-berhala yang dipahat daripada batu-batu atau kayu-kayu dan kemudian

disembah dan dipersucikan. Ini menunjukkan betapa bodohnya manusia

walaupun ada di kalangan mereka yang bergelar ahli falsafah dan ahli-ahli fikir.

 

Perbuatan ini merendah-rendahlah martabat manusia yang diciptakan oleh Allah

Taala. Allah menjadikan makhluk-makhluk selain daripada manusia sebagai

khadam kepada manusia untuk memudahkan mereka melaksanakan kewajipan

khalifah di muka bumi. Mereka melantik makhluk-makhluk sebagai perantaraan

Allah Taala sedangkan mereka tidak sedar bahawa Allah tidak perlu kepada

perantaraan makhluk-makhluk kerana Allah Maha Mendengar, Maha Melihat dan

Maha Mengetahui setiap perbuatan dan gerak hati manusia.

 

Kegagalan juga berlaku akibat penyelewengan terhadap ajaran Islam yang

dibawa oleh para nabi dan Rasul termasuklah penyelewengan terhadap ajaran

Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. yang lahir daripadanya agama Yahudi dan agama

Kristian hasil daripada ada ulama'-ulama' Yahudi yang berlagak menjadi Tuhan

dan meminda hukum-hukum Allah Taala.

 

Firman Allah yang maksudnya: "Mereka mengambil paderi-paderi mereka dan

pendita-pendita mereka sebagai tuhan selain daripada Allah." (Surah At-Taubah

ayat 31).

 

Ajaran yang bernama Yahudi dan Kristian ini membawa pengikutnya ke arah

kesesatan dan penderitaan hasil kerja-kerja ahli ilmu di kalangan mereka yang

menyeleweng kerana mengejar kesenangan dunia sehingga sanggup

menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal serta meminda dan

mengubah-ngubah hukum yang tidak mendapat izin daripada Allah Taala.

 

Demikian juga kegagalan pemimpin-pemimpin yang berlagak menjadi Tuhan

dengan mengadakan undang-undang syariat selain daripada syariat Islam

kononnya untuk menjamin keamanan dan keselamatan. Hasilnya berlakulah

kejahatan-kejahatan dan maksiat yang tidak dapat dibendung lagi oleh

hukum-hukum yang direkacipta oleh mereka itu.

 

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu di

dalam membuat peraturan syariat agama di dalam perkara yang tidak dibenarkan

oleh Allah?" (Surah Asy-Syura ayat 21).

 

Kegagalan syirik baru yang dapat dilihat sekarang ialah syirik ekonomi yang

menjadikan ekonomi sebagai tuhan-tuhan baru sebagai berhala yang dipuja.

Fahaman ini melahirkan dua ideologi lain iaitu kapitalis dan komunis. Kapitalis

memberi kebebasan kepada setiap orang mengumpul harta kekayan tanpa had

dan menggunakan berbagai-bagai cara, sedangkan komunis pula lahir untuk

menentang kapitalis dan membela masyarakat dengan memiliki negara akan harta

orang yang kaya.

 

Perkataan ekonomi sudah menjadi zikir, wirid dan menjadi ucapan

pengikut-pengikut fahaman ideologi-ideologi tersebut, dan ekonomi dianggap

satu-satunya landasan untuk mencapai kebahagiaan sehingga fahaman ini berjaya

menyerap masuk ke dalam negara-negara umat Islam sendiri.

 

Umat Islam dan pemimpin-pemimpin negara umat Islam menjaja dan menjunjung

perkataan ekonomi dan mejadikan janji untuk memberi kebahagiaan bukanlah

dijadikan alat di dalam melaksanakan tugas khalifah Allah di atas mukabumi ini.

Sikap seperti ini seolah-olah mengaku ekonomi sebagai Tuhan yang berkuasa

walaupun mulut-mulut mereka tidak mengucapkan bahawa ekonomilah Tuhan

yang disembah selain daripada Allah Taala.

 

Fahaman ini berjaya mempengaruhi ulama'-ulama' jahat sehingga sanggup

meminda hukum-hukum Allah Taala, menghalalkan riba, menghalalkan

amanah-amanah saham yang tidak mengikut hukum syara', menghalalkan

muamalat yang tidak berdasarkan Islam dan juga mempertahankan pemerintah

yang tidak melaksanakan hukum Allah Taala dengan cara mengelirukan nas-nas

al-Quran dan Sunnah sekadar untuk menjaga ekonomi sendiri dan menjaga

kuasa pemerintah.

 

Fahaman ini mempengaruhi pemikiran rakyat yang mana mereka memberi nilai

betul atau salah berpandukan kepada apa yang dapat memberi kesenangan dari

sudut ekonomi. Jika sesuatu itu memberi kesenangan dari sudut ekonomi maka

itulah yang hak dan jika sebaliknya tidak memberi apa-apa keuntungan ekonomi

dan kesenangan maka batillah ia. Jadilah ukuran dalam menentukan hak dan batil

ditentukan oleh ekonomi bukan lagi petunjuk Allah Taala dan ajaran Rasulullah

s.a.w.

 

Tiba-tiba Allah Taala menunjukkan kegagalan semua fahaman tersebut pada hari

ini. Melihat kegagalan ideologi komunis yang melahirkan fahaman sosialis

kononnya bertujuan membela masyarakat berdasarkan pembahagian kekayaan

secara adil. Ideologi komunis dan sosialis telah hancur di mana Russia dan

negara-negara yang beramal dengan fahaman tersebut mula mengamalkan cara

yang lebih bebas walaupun mereka tidak mengaku bahawa ideologi yang telah

diamalkan mengalami kegagalan.

 

Telah tiba masanya umat Islam kembali semula kepada Islam, yakin kepada

keberkatan yang dijanjikan oleh Allah Taala:

 

Firman-Nya yang bermaksud: "Sekiranya penduduk negeri tersebut beriman dan

bertaqwa nescaya Kami bukakan keberkatan kepada mereka daripada langit dan

bumi.

 

Marilah kita tinggalkan kedegilan kita dan tunduk dan bertaubat kepada Allah

Taala sehingga kita diberikan keberkatan oleh Allah Taala, di mana perkataan

berkat ini tidak ada di dalam mana-mana ideologi dan fahaman ciptaan manusia,

yang hanya dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman dan

bertaqwa kepadaNya.

 

Firman Allah yang bermaksud:

 

"Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka,

melainkan Allah (terus) menyempurnakan cahayaNya walaupun dibenci oleh

orang kafir." (Surah As-Shaf ayat 8).

 

 

Ke Laman Utama