Masa depan Islam tetap gemilang

 

 Marilah kita menjadi pengikut setia kepada Islam, ajaran yang dibawa oleh

Rasulullah s.a.w. yang dipelihara oleh Allah Taala sehingga hari kiamat

tanpa ada berlaku penyelewengan samada ditambah atau dikurangi dari

mana-mana ajaran Islam kerana Allah Taala telah berfirman di dalam

al-Quran al-Karim yang bermaksud:

 

Sesungguhnya Kamilah (Allah ) yang menurunkan peringatan (Al-Quran)

dan Kamilah yang akan menjaganya. (Surah al-Hijr ayat 9).

 

Berbeza dengan ajaran Islam yang telah dibawa oleh para nabi dan Rasul

alaihimus solatu was-salam terdahulu yang mengalami penyelewengan oleh

orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan mencari kepentingan

peribadi sehingga tidak ada ubat untuk mengatasinya kecuali dengan

dilantik Nabi dan Rasul yang lain membetulkan setiap penyelewengan yang

berlaku itu.

 

Adapun Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, Nabi dan Rasul akhir

zaman, walaupun baginda telah wafat namun ajarannya tetap terpelihara di

antaranya kerana Allah Taala menjadikan di kalangan umat Islam sendiri

para pengikut setia yang tetap mempertahankan Islam hingga hari kiamat.

Jangan sekali-kali umat Islam hilang keyakinan kepada jaminan daripada

Allah Taala ini.

 

Kenyataan ini telah dibuktikan oleh sejarah umat Islam apabila wafatnya

Rasulullah s.a.w, negara Islam di Madinah dikepung oleh gejala murtad

dengan adanya kabilah-kabilah Arab yang mengaku keluar daripada Islam,

ada orang yang mengaku menjadi nabi dan mempunyai pengikut dan tentera

yang ramai dan adanya orang yang enggan mengeluarkan zakat.

 

Jika dilihat secara zahir tentulah tidak ada lagi harapan kepada Islam dan

padamlah cahaya Islam, tetapi Allah Taala telah memberi jaminan dengan

firmanNya yang bermaksud:

 

Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka,

namun Allah tetap menyempurnakan cahayaNya walaupun dibenci oleh

orang-orang kafir. (Surah ash-shaf ayat 9).

 

Dalam keadaan para sahabat kebingungan kerana sedih dengan kewafatan

Rasulullah s.a.w, muncullah Abu Bakar As-Siddiq r.a mententeramkan

keadaan dengan memberikan ucapan:

 

Ertinya: Wahai manusia, sesungguhnya sesiapa menyembah Muhammad,

Muhammad telah mati, dan sesiapa menyembah Allah sesungguhnya Allah

Maha Hidup (lalu Abu Bakar membaca ayat Al-Quran yang bermaksud)

"Muhammad hanyalah seorang Rasul, telah berlalu sebelumnya rasul-rasul.

Adakah apabila beliau mati atau dibunuh maka kamu akan berpaling

murtad? Dan sesiapa berpaling murtad maka dia tidak memberi sedikit pun

mudharat kepada Allah, dan Allah akan memberi balasan kepada

orang-orang yang bersyukur".

 

Abu Bakar As-Siddiq telah dipilih menjadi khalifah Islam pertama. Beliau

telah menyusun bala tentera di kalangan sahabat untuk berjihad

menghapuskan golongan murtad sehingga api kemurtadan berjaya

dihapuskan. Begitulah Allah Taala memelihara Islam sehingga selepas itu

Islam berjaya menumbangkan dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi.

 

Selepas itu umat Islam dilanda pula oleh serangan pemikiran apabila

banyak buku daripada luar diterjemah ke dalam bahasa Arab sehingga

banyak ajaran di dalam buku-buku tersebut mempengaruhi pemikiran umat

Islam pada zaman kerajaan Abbasiyah.

 

Di antara ajarannya ialah mazhab muktazilah yang membawa fahaman

bahawa al-Quran adalah kalam Allah yang baru atau makhluk bukannya

Qadim. Mazhab muktazilah dianuti oleh kerajaan yang memerintah dan

kerajaan Abbasiyah memaksa ulama dan rakyat menganut fahaman tersebut.

 

Allah Taala melahirkan ulama' yang gagah berani mempertahankan Islam

dan menghapuskan mazhab muktazilah dengan mengatakan ianya mazhab

yang batil walaupun terpaksa menerima hukuman penjara, disiksa atau

menerima hukuman bunuh. Namun begitu masih ada ulama' yang

mempertahankan yang hak dan pewaris para nabi yang mempertahankan

ajaran Rasulullah s.a.w. dan di antaranya Al-Imam Ahmad bin Hanbal yang

mengatakan:

 

Apabila ulama' mendiamkan diri kerana menjaga keselamatan diri dan

orang jahil terus berada di dalam kejahilan, bilakah akan nyata kebenaran?

 

Akhirnya mazhab muktazilah dipadamkan dan ajaran Ahli Sunnah

Wal-Jamaah dipertahankan oleh Allah Taala.

 

Demikian jugalah Allah Taala mempertahankan Islam apabila tentera Tatar

atau Monggol daripada Asia Tengah melakukan serangan dan seterusnya

menguasai Kota Baghdad, pusat pemerintahan kerajaan Abbasiyah. Tentera

tetap membunuh setiap orang yang melintas di hadapan mereka sehinga

Kota Baghdad menjadi kolam darah. Kerajaan Monggol memaksa umat

Islam menerima perlembagaan yang dinamakan Yasak yang diambil

daripada berbagai-bagai ajaran daripada ajaran Yahudi Kristian, akal

fikiran dan termasuklah ajaran al-Quran sendiri.

 

Ulama Islam tidak gentar berhadapan dengan kerajaan Monggol. Mereka

berani mengatakan bahawa Yasak adalah menyeleweng daripada ajaran

Islam dan haram ke atas umat Islam menerima perlembagaan Yasak.

Akhirnya ulama' Islam berjaya mempertahankan aqidah Islam sehingga

Raja Monggol yang terkenal ganas itu memeluk Islam.

 

Tidak ada dalam sejarah, penjahat menganut agama rakyat negeri yang

dijajah sebagaimana berlaku kepada kerajaan Monggol. Yang biasanya

berlaku ialah rakyat menganut ajaran penjajah yang menjajah dengan

mereka mengambil ajaran penjajah, pakaian penjajah, ekonomi penjajah,

undang-undang penjajah dan budaya penjajah walaupun penjajah telah

pulang ke negeri asal mereka.

 

Allah Taala juga menjaga Islam ketika tentera salibiah menguasai negara

Islam dengan menguasai kota Baitul Muqaddis dan membunuh umat Islam.

Dilihat dari zahirnya tidak ada lagi peluang kemenangan bagi pihak Islam.

Setelah berlalu satu abad, lahirnya seorang pemimpin Islam bernama

Salahuddin Al-Ayyubi memimpin tentera Islam mengalahkan tentera

salibiah.

 

Kita jangan sekali-kali bimbang dengan perkembangan mutakhir ini apabila

jatuhnya kerajaan Uthmaniyah. Selepas kejatuhan khalifah Islamiyyah yang

terakhir ini, negara-negara umat Islam dimasuki oleh penjajah-penjajah.

 

Sekarang, walaupun tanah air umat Islam telah merdeka dari engkaman

penjajahan berbentuk ketenteraan tetapi telah berubah bentuk kepada

penjajahan pemikiran. Sehingga kini umat Islam diperintah oleh orang yang

mengaku Islam sedangkan mereka mempunyai pemikiran penjajah. Cara

pemerintahan penjajah dan dasar ekonomi penjajah.

 

Walaupun begitu kita masih tetap yakin bahawa Allah Taala akan memberi

kemenangan kepada Islam dengan adanya golongan yang tetap

mempertahankan Islam dan dipilih oleh Allah dengan firman-Nya yang

bermaksud:

 

Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad

dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang

Allah mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya, yang bersikap lemah

lembut terhadap orang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang

kafir, yang berjihad pada jalan Allah dan yang tidak takut celaan

orang-orang yang mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada

sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi

Maha Mengetahui. (Surah al-Maidah ayat 54).