Jin mempunyai tanggungjawab agama

 

Kedua-dua anak lelaki Rabia'ah pemilik dusun anggur di pinggir Taif, dikenali

sebagai musuh Islam yang cukup sengit. Mereka pernah mengadakan pertemuan

dengan Abu Talib bapa saudara Nabi, bersama delegasi yang mendesak Abu

Talib supaya menyekat anak saudaranya, Muhammad bin Abdullah dari

meneruskan penyebaran ajaran agama yang bertentangan dengan pegangan

nenek moyang mereka. Ataupun menyerahkan anak saudaranya itu kepada

mereka untuk diadakan (adu) kekuatan bersenjata, supaya satu di antara dua

golongan yang bertentangan ini musnah.

 

Bagaimanapun ketika Nabi s.a.w. dihambat oleh penduduk Taif, kedua anak

lelaki Rabia'ah hanya memerhati gerak-geri Nabi dari jauh. mereka tidak

memperlihatkan sikap permusuhan lagi, sebaliknya menyuruh tukang kebunnya

bernama Addas menghantarkan beberapa tangkai anggur untuk Nabi dan Zaid

yang dalam keletihan. Pertukaran sikap anak-anak Rabi'ah dari permusuhan

kepada belas kasihan Nabi s.a.w. merupakan perubahan luar biasa dan reaksi

sepontan yang menghiburkan hati Nabi s.a.w..

 

Perubahan sikap itu menepati dengan tujuan agama diturunkan kepada manusia,

iaitu untuk menukar sikap buruk manusia kepada peribadi murni, dari sikap

ganas kepada lemah lembut, dari bakhil kepada pemurah, dari permusuhan

kepada persaudaraan, dari kejam kepada simpati, dari yang baik kepada yang

lebih baik dan seterusnya. Agama membimbing pemikiran manusia kepada

pemikiran yang berpandu kepada wahyu Allah, untuk pembinaan tamadun masa

depan. Justeru itu masa depan Islam itu terserah kepada pemikiran manusia yang

bersumberkan wahyu, dan bukannya terserah kepada naluri manusia.

 

Di antara iktibar yang boleh diambil dari peristiwa Nabi s.a.w. pergi ke Taif

ialah; mengenai tindakan anak angkat Nabi iaitu Zaid bin Haritsah yang sanggup

menjadikan dirinya sebagai perisai melindungi Nabi s.a.w. dari serangan lontaran

batu oleh kanak-kanak Taif. Zaid bin Haritsah ialah seorang hamba sahaya milik

Siti Khadijah yang kemudiannya dihadiahkan kepada Nabi s.a.w., Zaid telah di

merdekakan oleh Nabi dan dijadikan anak angkat. Tindakan Zaid yang

menjadikan tubuhnya sebagai benteng untuk menjaga tubuh Nabi s.a.w. agar

tidak cedera, akibatnya kepala Zaid telah cedera luka berdarah beberapa liang.

 

Zaid sanggup menjadikan dirinya sebagai benteng bagi menyelamatkan Nabi

s.a.w. sedangkan tindakan itu bukan saja mendedahkan diri kepada kecederaan,

bahkan ia boleh membawa kepada maut. Apakah yang mendorong Zaid

sanggup bertindak demikian, meskipun dia sedar bahawa tindakannya itu

membahayakan dirinya? Inilah satu contoh tahap hubungan antara manusia

bertaraf sahabat dengan Nabi s.a.w.. Bukan Zaid bin Haritsah seorang sahaja

yang bersikap demikian, bahkan boleh dikatakan semua para sahabat Nabi

bersikap demikian, sesungguhnya seluruh para sahabat Nabi juga sanggup

berbuat apa jua demi keselamatan Nabi s.a.w.. Justeru itu mereka adalah orang

yang mendapat pujian dari Allah SWT sebagai: "Wa-Hasuna ula-ika Rafiqa

"Mereka adalah sebaik-baik dan semulia-mulia sahabat.

 

Satu persoalan. Jika Zaid bersedia bermati-matian mempertahankan Nabi s.a.w.

dari sebarang kecederaan, bagaimana pula caranya mempertahankan Nabi s.a.w.

setelah baginda wafat?

 

Caranya tidak lain, jangan bakhil anggota tubuh seseorang dari menerima bala

dan kesusahan kerana mempertahankan Islam. Jika seseorang itu mendakwa

sayangkan Nabi tetapi enggan menggunakan batang tubuh untuk mempertahan

sunnah Nabi s.a.w. dan syariat Allah SWT dari sebarang ancaman, maka orang

jenis ini sekiranya mereka hidup di zaman Rasulullah s.a.w., nescaya mereka

tidak akan menggunakan tubuhnya untuk melindungi Nabi dari sebarang bahaya.

 

Mempertahankan Nabi bererti mempertahankan sunnahnya dan syariat Islam,

untuk itu bukan saja menggunakan tubuh badan bahkan gunalah sikap

keberanian, ilmu pengetahuan, kepakaran dan kebijaksanaan, pengaruh dan harta

benda untuk berdepan dengan pelbagai halangan (al-mihan) dan kesusahan.

Untuk mempertahankan sunnah Nabi s.a.w. dan syariat Islam mesti mempunyai

saham, iaitu saham diri bersedia menanggung susah dan penat sebagaimana

yang telah ditunjuk oleh Nabi s.a.w..

 

Selain iktibar dari perubahan sikap anak-anak lelaki Rabia'ah kepada sikap

positif terhadap Nabi, terdapat juga peristiwa mengenai satu rombongan "jin"

yang telah dipertemukan oleh Allah SWT dengan Nabi s.a.w. yang sedang

mendirikan solat malam di suatu tempat bernama Nahlah. Nabi sembahyang

malam dengan bacaan jahar, para jin berhenti mendengar ayat-ayat al-Quran

yang dibaca oleh Nabi s.a.w..

 

Peristiwa itu mengesahkan wujudnya makhluk jin yang kedudukan mereka

seperti manusia dari segi taklif syarak, iaitu kewajipan beriman dengan al-Quran

dan melaksanakan perintah agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.. Terikat

dengan peraturan perintah wajib dan tinggalkan yang haram dan terlarang,

berkeyakinan terhadap adanya beban dosa dan pahala, seterusnya menempuh

hari kebangkitan di mahsyar dan balasan amal sama ada syurga atau neraka. Di

kalangan makhluk jin itu ada yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tidak

kurang juga yang kufur.

 

Di dalam al-Quran terdapat kisah jin dengan nas yang jelas, iaitu di dalam surah

khas diberi nama "Surah al-Jin", yang mengandungi 28 ayat. Di awal surah

tersebut dengan jelas Allah SWT menerangkan dengan jelas tentang sekumpulan

jin yang beriman dengan al-Quran yang dibacakan oleh Nabi s.a.w., kerana

al-Quran itu memberi petunjuk dan menjadikan mereka yang beriman cerdik.

Seterusnya mereka berjanji tidak akan menyengutukan-Nya.

 

Dalam kitab Tarikh Ibnu Ishaq ada dinukilkan kisah jin, Imam Bukhari, Muslim

dan Tarmizi juga menyebut kisah jin dalam kitab sahih mereka. Imam Bukhari

telah mengambil kisah jin itu dari sepupu Nabi, Abdullah bin Abbas, katanya:

Suatu ketika nabi s.a.w. pergi ke pasar Uqaz berhampiran dengan Mina, ketika

itu ramai kabilah Arab datang untuk menunaikan haji. Nabi ambil peluang untuk

berdakwah ketika orang ramai berhimpun di Mina, ketika itu Nabi menemui satu

rahsia mengenai kaum jin yang sedang berdepan dengan satu masalah besar,

iaitu jika dulu mereka boleh pergi ke langit untuk mengetahui berita langit, tetapi

pada ketika itu mereka sudah tidak boleh berbuat begitu lagi.

 

Mereka berusaha mencari puncanya dengan mengirim para tokoh-tokoh utama

mereka untuk menyiasat di seluruh pelusuk muka bumi. Ketua mereka penuh

keyakinan mesti ada sebab-sebab tertentu perkara itu terjadi, mungkin ada

perkara baru berlaku di muka dunia dan siasatan secara terperinci mesti

dilakukan seberapa segera. Mereka mengembara dari timur ke barat, dari kutub

utara ke kutub selatan. Satu kumpulan jin telah pergi ke Tihamah dan di sanalah

mereka bertemu dengan Nabi s.a.w. yang sedang mendirikan solat malam di

tengah padang pasir, kumpulan jin itu mendengar ayat-ayat Quran dibaca oleh

Nabi, sedangkan sebelum itu mereka tidak pernah mendengar bacaan ayat-ayat

seumpama itu.

 

Setelah mendengar firman Allah yang dibaca oleh Nabi s.a.w., lalu mereka

pulang mendapatkan ketua mereka untuk melaporkan apa yang telah ditemui itu,

lalu mereka berkata sebagaimana yang dinyatakan di awal surah jin itu.

Kesimpulannya jika di kalangan manusia ada yang beriman, maka di kalangan

makhluk jin juga ada yang beriman dengan keimanan yang sempurna terhadap

Allah dan Rasul-Nya.