PERAYAAN
‘JUBLI PERAK’
SEKOLAH MEN.KEB.TUN PERAK
 
Ketua Menteri Melaka Datuk Abu Zahar sedang merasmikan perayaan Jubli Perak SMKTP
Datuk Abu Zahar diiringi oleh Tuan Pengetua melawat tapak pameran
Sambutan Jubli Perak SMKTP adalah peristiwa bersejarah dan sungguh bermakna bagi kesemua warga Tun Perak. Majlis yang penuh bersejarah ini di adakan pada 11 dan 12 Julai iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu bersamaan dengan 6 dan 7 Rabiulawal1418 Hijrah.

Jumaat 11 Julai 1997

 2.45 petang Ketibaan dif-dif kehormat, tetamu jemputan dan para ibu bapa. Antara dif-dif kehormat yang hadir ialah Tuan Pengarah Pendidikan Melaka, Tuan Haji Karim Abdul Wahid, Ahli EXCO Kerajaan Negeri Melaka YB Kaptain Ahmad Hamzah, Tuan Pegawai Daerah Jasin, Yang Di Pertua PIBG dan Ketua-ketua sektor dan jabatan.

3.00 petang Ketibaan YAB Dato’ Abu Zahar bin Haji Ithnin (DMSM) Ketua Menteri Melaka disambut dengan paluan kompang oleh Persatuan Kompang SMKTP, kilauan bunga manggar dan jambangan bunga pahar yang ditatang oleh beberapa orang pelajar perempuan yang lengkap berpakaian kebaya songket, siap sedia menunggu beliau ketiak itu ialah perbarisan unit beruniform SMKTP yang terdiri daripada Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Puteri Islam, Persatuan Pengakap, Persatuan Tae Kwan Do, Persatuan Seni Silat Gerak Ihsan Seri Pelanduk, Kadet Bomba, Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah dan barisan Pengawas-pengawas.

3.00 petang Setelah menerima tabik hormat dan taklimat ringkas dari saudara Fauzi Zainal selaka ketua perbarisan, YAB kemudiaanya diiringi oleh Tuan Haji Mahmor Osman untuk memeriksa perbarisan kehormat unit beruniform SMKTP. Setelah selesai menyempunakan acara lintas hormat beliau kemudiannya diapit naik ke tangga utama menuju ke Dewan SMKTP. Sekali lagi beliau disambut dengan taburan bunga rampai oleh 2 orang pelajar. Setibanya di dewan, beliau kemudianya mengambil tempat duduk khas di atas pentas. Buku program/agenda diedarkan.

3.15 petang Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Ahmad Hamizi. Berikutnya, Tuan Pengetua Tuan Haji Mahmor Osman dijemput untuk menyampaikan ucapannya dan diikuti dengan ucapan Tuan Pengarah Pendidikan Melaka. Seterusnya, majlis mempersilakan YAB Dato’ Abu Zahar Ithnin untuk menyampaikan ucapan utama. Dalam ucapan itu, beliau telah memberikan kata-kata nasihat dan peransang kepada pentadbir, guru-guru, ibu bapa dan pelajar-pelajar dalam memajukan sekolah ini. YAB sendiri mempunyai 16 tahun pengalaman berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan di sekolah ini. Seterusnya acara kemuncak pada hari itu ialah apabila gong dipalu sebagai tanda keramat rasminya Majlis Sambutan Jubli Perak. Perasmian majlis Sambutan Jubli Perak ini membuka satu lembaran baru dalam sejarah SMKTP kerana SMKTP yang dahulunya sekolah harian biasa kini diumumkan akan ditukar kepada SMK (Agama). Ini bertujuan melengkapkan sebuah Sek.Men.Agama di setiap daerah di negeri Melaka. SMKTP dipilih berdasarkan peningkatan yang baik dan sentiasa menunjukkan peningkatan dalam prestasi akademik dan kokurikulum

4.00 petang Penyampaian cenderahati oleh Tuan Haji Mahmor bin Osman selaku Pengetua SMKTP kepada YAB Dato’. 10 minit kemudian berlangsung upaca kemuncak majlis iaitu upacara menarik tirai perasmian perayaan Jubli Perak. Sejurus kemudian beliau beserta dif-dif kehormat bergerak ke surau untuk menyempurnakan acara perasmian surau dan solat Asar. Sembahyang berjemaah ini telah diimamkan oleh Ustaz Ahmad Hamizi.

4.50 petang YAB melawat pameran. Pameran-pameran ini diusahakan oleh Panitia Mata Pelajaran dan para pelajar. Antara Panitia dan kelab yang mengambil bahagian ialah Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan bahasa Inggeris, Persatuan Agama Islam dan Bahasa Arab, Persatuan Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Kelab Kerjaya dan Perunding Rakan Sebaya, Persatuan Kemahiran Hidup, Persatuan Pendidikan Seni ITM Cawangan Melaka, UKM, Universiti Telekom cawangan Melaka, Maybank cawangan Jasin dan pameran komputer. Beliau kemudiannya diiringi pula ke gerai jualan yang diselenggarakan oleh beberapa unit persatuan dan pelajar SMKTP sendiri. Cuaca pada hari itu kurang baik kerana hujan turun renyai-renyai menyebabkan acara lawatan ke tapak perkhemahan dibatalkan. Peserta-peserta yang menyertai perkhemahan ini terdiri daripada ahli-ahli unit beruniform SMKTP iaitu Persatuan Pengakap, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Kadet Remaja Sekolah.

520 petang Aturcara yang terakhir pada hari itu ialah acara perasmian Asrama Putera Jasin. Asrama ini menempatkan 120 pelajar lelaki SMKTP.

5.30 petang Upacara diakhiri dengan jamuan ringan di Dewan Selera Asrama SMKTP.

8.00 malam Ceramah agama yang bertajuk Rasulullah Pembawa Rahmat telah disampaikan oleh Mufti Kerajaan N.Sembilan iaitu Yang Berbahagia Datuk Hj.Murtadza bin Hj.Ahmad. Ceramah ini bermula jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 10.30 malam