DOA MEMPERKUAT DIRI DALAM PERJUANGAN
HARAP SEBARKAN DOA INI DAN BACALAH SEMOGA PERJUANGAN MENEGAKKAN KEBENARAN DIRAHMATI ALLAH SUBHANAHU WA TAALA

Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin

Assolatu wassalamu ‘ala Rasulihilkarim Sayyidina Muhammadin wa ‘ala alihi wa sohbihi wa sallim

Ya Allah, ya Tuhan Kami, segenap puji-pujian hanyalah bagi Engkau, Tuhan yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Kami hamba-hambaMu yang berdosa menadah tangan memohon keampunanMu, Wahai Yang Maha Pengampun, ampunilah kami Ya Ghaffar. Kasihanilah kami Ya Allah Ya Rahman Rahim. Pity all of us, O Most Merciful and Compassionate Lord of All the Worlds

Kami insaf dan kami sedar bahawa segala bala bencana yang sedang menimpa kami, keluarga kami, sanak saudara kami, rakan-rakan kami, masyarakat dan negara kami adalah dari dosa-dosa kami jua. Kami semua adalah manusia berdosa Ya Allah. Kami semua berdosa Ya Allah, tiada yang terkecuali, yang kecil di antara kami berdosa, yang besar pun berdosa, yang lemah berdosa, yang gagah berdosa, yang miskin berdosa, yang berharta berdosa, yang bodoh berdosa, yang cerdik berdosa,

Kalau kami tidak berdosa sudah tentu Engkau tidak datangkan fitnah yang begini besar ke atas kami. Engkau Maha Baik, Engkaulah Kebaikan Segala Kebaikan, masakan Engkau mahu menyiksa hamba-hamba yang tidak berdosa. Sekarang telah Engkau datangkan fitnah yang besar, Engkau ancam kami dengan bencana,

Engkau porak-perandakan ekonomi kami sedang sebelum ini kami bermegah-megah dengan kekayaan dan kemakmuran. Kami lupa bahawa Engkaulah Yang Maha Kaya. KekayaanMu yang kami pinjam tetapi tidak kami bayar dengan ketaatan padaMu. Kami lupa Ya Allah. Seperti Qarun kami mendakwa kekayaan itu adalah hasil usaha kami sendiri tanpa pertolonganMu. Kami tidak bersyukur terhadap rezeki yang Engkau curahkan ke atas kami. Kami lupa daratan. Kami berbelanja besar seolah-olah kami tidak akan menghadapi mati dan siksa kubur dan soal jawab di Hari Akhirat

Engkau telah isytiharkan bahawa Engkau akan memerangi kami, Engkau akan datangkan bencana yang lebih besar kalau kami tidak bertaubat. Maka inilah kami bertaubat Ya Allah. Kasihanilah kami.

Sudah terlalu banyak peringatan dan amaran yang Engkau bagi Ya Allah yang kami tidak endahkan. Terlalu banyak kemungkaran yang kami biarkan. Satu demi satu bencana Engkau datangkan, kami masih lalai dan lupa. Kami mencari salah orang lain. Kami tidak insaf akan kesalahan diri sendiri. Kami angkuh, kami sombong, kami mendabik dada dengan berkata ini adalah angkara musuh-musuh kami. Tetapi masakan Engkau jadikan bagi kami musuh-musuh seramai itu kalau sesungguhkan kami tiada berdosa barang sedikitpun? Engkau Tuhan Maha Pengasih, Engkau Maha Penyayang, Engkaulah Kebaikan Segala Kebaikan.

Kami bertaubat Ya Allah. Kami sungguh menyesali diri Ya Allah. Kasihanilah kami semua. Janganlah datangkan bencana ke atas semua kami. Kerana di kalangan kami ada anak-anak kecil yang tidak ada dosa sedikit pun. Ramai dari kami yang lemah, miskin, yang tak punya apa-apa, setiap hari tunduk dan sujud padaMu, sentiasa mengharapkan rahmatMu, mengharapkan belas kasihan orang lain. Dan mereka mengakui kelemahan diri mereka. Mereka berkata Ya Allah, jadikan di kalangan kami hamba-hambaMu yang kasihkan kami, yang berbuat baik kepada kami, yang taat padaMu seperti kami taat padaMu, yang dapat membela nasib kami di dunia ini kerana kasih padaMu, yang memerangi bagi pihak kami musuh-musuhMu dan musuh-musuh kami. Kami tidak ada apa-apa untuk membalas jasa mereka itu. Engkau sahaja yang membalasnya.

Perkuatkanlah  mereka Ya Allah, Ya ‘Aziz, Ya ‘Azim, Ya Jabbar, Ya Karim. Perkuatkan mereka dengan iman dan taqwa. Perkuatkan mereka dengan petunjuk dan hidayah. Simbahkan Cahaya KegemilanganMu keliling setiap mereka. Bantulah mereka dan bantulah kami.

Jauhkanlah orang-orang yang zalim itu dan kedurjanaan mereka dari kami. Palingkan kejahatan mereka supaya menimpa diri mereka sendiri. Kami teraniaya dan kami pohon Keadilan, Ya Allah Yang Maha ‘Adil.

Wa sollallahu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa ashabih wa sallim

Walhamdu lillahi Rabbil'alamin.