Ucapan Datin Seri Wan Azizah Bt. Wan Ismail Di Majlis Gerakan Keadilan Rakyat

(dibacakan oleh isteri tahanan ISA, Presiden ABIM Tuan Hj Ahmad Azam Abdul Rahman)

Assalamualaikum w.b.t.

Pertama sekali saya ingin menyatakan rasa terharu saya kerana dijemput ke Majlis Gerakan Keadilan Rakyat yang dianjurkan oleh Parti PAS, PRM, DAP dan lebih dari 10 Badan Bukan-Kerajaan pada malam ini. Bersama-sama saya juga pada malam ini terdapat beberapa orang isteri, anak-anak dan keluarga sahabat Dato’ Seri Anwar yang ditahan baru-baru ini di bawah ISA.

Sesungguhnya kami amat berterima kasih di atas keprihatinan dan sensitifnya seluruh rakyat dengan apa yang berlaku di negara kita sekarang. Saya yakin sekiranya Dato’ Seri Anwar tahu apa yang berlaku di luar, di mana seluruh rakyat berhimpun melaungkan suara meminta keadilan sejagat makanya dia pasti berbangga kerana itulah yang diperjuangkan selama ini.

Semenjak dari kampus sehinggalah beliau menceburkan diri dalam arena politik, beliau telah mencuba sedaya upaya mungkin untuk membuat sesuatu yang terbaik tetapi langkahnya terhad, dan akhirnya dia sendiri dijerat dalam dalam satu keadaan yang tidak dia duga; dia difitnah dengan fitnah yang amat besar yang melibatkan maruah dirinya dan keluarga. Dia ditohmah dan dicerca oleh media massa dan oleh beberapa orang yang berkepentingan sehingga tidak ada ruang untuk beliau menyatakan sesuatu yang benar lagi hak.

Saudara Anwar seterusnya ditangkap dan diletakkan di bawah ISA dan kemudiannya diikuti dengan penangkapan beberapa orang yang lain. Sehingga kini, 14 orang telah ditahan. Kita tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi pada tahanan ISA. Kita tidak tahu di mana mereka berada dan apa yang telah diperlakukan kepada mereka. Gelisahnya hati seorang isteri dan anak-anak hanya Tuhan saja yang mengetahui. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pelbagai khabar angin. Walaupun berkali-kali rayuan dibuat kami melihat mereka yang ditahan walaupun sekejap, namun permohonan kami tidak pernah dilayan.

Apakah segala perlakuan yang telah dibuat kepada Saudara Anwar dan tahanan lain adil? Apakah kita perlu berpeluk tubuh mendiamkan diri, dan menjaga anak-anak sahaja sementara suami kita ditangkap, ditahan dan disimpan? Tidak tahu entah di mana, tiada khabar berita.

ISA adalah satu undang-undang yang bercanggah dengan hak asasi manusia dan bertentangan dengan hukum Islam. Islam menganjurkan sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan pada seseorang ia perlu diberi peluang untuk membela diri, bukti dan saksi yang dikemukakan mestilah datang dari seseorang yang adil, yang boleh dipercayai dan latarbelakangnya tidak perlu dipertikaikan.

Kita tidak meminta apa-apa. Kita cuma mahu Saudara Anwar dibicarakan segera di mahkamah. Dibicarakan secara adil mengikut undang-undang yang sedia ada. Kenyataan dalam akhbar Mingguan Malaysia, Ahad 27 September, 1998 iaitu hari ini melaporkan bahawa kerajaan mempunyai maklumat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, peguam-peguamnya dan para penyokong telah membuat persediaan untuk merusuh di beberapa bandar di negara ini bagi megelakkan beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan salahlaku seks di luar tabii dan Perdana Menteri dilaporkan berkata, "…sesungguhpun Anwar kini ditahan, tetapi sebelum beliau ditangkap beliau berpesan supaya rusuhan dilakukan dengan menggunakan isteri, anak-anaknya, dan media asing bagi tujuan meraih simpati."

Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali dan tidak adil, kerana Saudara Anwar mengingatkan penyokongnya supaya jangan melakukan rusuhan dan merosakkan harta benda awam. Yang sering diperingatkan oleh Saudara Anwar adalah meneruskan perjuangan ke arah menegakkan keadilan sejagat untuk seluruh rakyat dan saya telah diminta untuk menyampaikan mesej ini. Sebenarnya setiap hari kita menanti bila Saudara Anwar akan dibawa ke mahkamah dan dicaj. Kita ingin melihat bukti-bukti yang dikemukakan. Sebenarnya kita tidak tahu bilakah Saudara Anwar akan dihadapkan ke mahkamah, dan untuk kita, keluarga, para peguam terpaksa standby setiap masa.

Kita terpaksa berdepan dengan rakyat secara begini untuk menyatakan sesuatu yang benar kerana apa yang telah dilakukan oleh mereka melibatkan maruah yang sekiranya tidak dibela akan tercatit dalam sejarah buat selama-lamanya.

Datin Seri Dr. Wan Azizah Bt. Wan Ismail.

27 September 1998.