Pantun Laksamana

Pantun Rahsia Perguruan Gayong

Anakku Anak Ibumu:

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang di kaki;
Berguru kepalang ajar,
Alamat binasa badan sendiri.

Mendaki gunung meredah lurah,
Mencari ramuan pengubat hati;
Ilmu GAYONG bukannya mudah,
Seni turunan wali kesakti.

Mencari ramuan pengubat hati,
Beranyut ke hilir panduan resemi;
Seni turunan wali kesakti,
Menjaga air mengawal bumi.

Beranyut ke hilir panduan resemi,
Lenggang bertapak seni memandang;
Menjaga air mengawal bumi,
Tegap menapak teguh menjulang.

Lenggang bertapak seni memandang,
Memohon tahjud menadah sentiasa;
Tegap menapak teguh menjulang,
Hanya sujud ke hadrat yang Esa.

Pantun Seruan Khas kepada
Muda-mudi Tanah Air daripada Mahaguru Meor Abdul Rahman

Acap-acap di tepi laut,
Buaya ganas melintang kuala;
Sebelum ajal berpantang maut,
Takkan Melayu hilang di dunia.

Anak Cina bermain gasing,
Mari bermain di kota raja;
Bangsa Melayu tidak terpusing,
Kerana setia kepada negara.

Tanah Melaka tanah pusaka,
Tempat lahir panglima negara;
Wahai pemudi juga pemuda,
Bangunlah kamu mempertahankan negara.

Tanah Melaka tanah purba,
Tempat berbagai aneka sejarah;
Kalau kata sudah dikota,
Pantang Melayu menyerah kalah.