Sibuk Promosi Adiwarna
Assalamualaikum dan
salam sejahtera buat semua
pembaca Metro Ahad. Semoga
anda berada dalam keadaan sihat
dan dapat menjalankan tugas
seharian dengan sempurna.
Album terbaru Siti yang berjudul
Adiwarna sudah hampir seminggu
di pasaran. Walaupun minggu
lalu, Siti ada menceritakan
pengalaman Siti di studio
rakaman, kali ini Siti mahu
menyentuh sedikit lagi mengenai
album itu.
Menurut pihak syarikat rakaman
Siti, Suria Records, album Siti
sudah mendapat tempahan
100,000 unit sebelum dipasarkan.
Siti berasa amat bersyukur kerana
kemunculan Siti kali ini masih ada
yang menghargainya.
Alhamdulillah. Barangkali segala
penat lelah Siti di studio rakaman
tidak sia-sia kerana Siti juga
mendapat maklum balas yang
baik daripada peminat yang sudah
mendapatkan album terbaru itu.
Walaupun setiap kali kemunculan
album baru pastinya terselit
pelbagai cerita, pandangan,
kritikan dan sebagainya, Siti
mengakui bahawa pengalaman
dapat memberi pengajaran.
Mungkin album kali ini masih ada
perkara yang boleh diperbaiki dan
Siti akan melakukan yang lebih
baik untuk album akan datang.
Namun, Siti berharap agar
Adiwarna dapat memenuhi cita
rasa anda semua.
Secara peribadi, album kali ini,
Siti rasa semakin matang,
terutama dari segi pemilihan lagu
dan vokal. Sebagai penyanyi, Siti
perlu bertanggungjawab atas
penyampaian serta persembahan
vokal Siti dalam setiap lagu yang
diberikan.
Tugas komposer pula memberikan
lagu yang terbaik dan memastikan
lagu itu dapat diterima umum.
Bagi Siti, setiap orang mempunyai
cita rasa berbeza.
Apabila Siti jumpa peminat, ada
yang kata minat mendengar lagu
Purnama Merindu. Selepas itu
peminat yang seorang lagi pula
meminati lagu Sendiri.
Sepanjang minggu lalu, Siti agak
sibuk dengan program televisyen
bagi mempromosikan lagu
terbaru. Semalam, Siti muncul
dalam konsert mini anjuran The
Mines Wonderland di
Amphitheatre, Mines Wonderland.
Selepas ini, ada beberapa lagi
program televisyen, termasuk
rancangan terbitan ntv7 yang
berjudul Antara Dua Irama, Selasa
ini. Siti akan memulakan latihan
hari ini dan kerana itulah, Siti
tidak dapat bersama menjayakan
program khas radio Redifussion di
The Mall, Kuala Lumpur.
Siti difahamkan, ramai artis yang
akan terbabit dalam program
bersama RFM, iaitu Lelong Ria
bagi mengisi Tabung Dana Khas
Negara. Walaupun Siti tidak
berkesempatan memeriahkan
acara itu, Siti amat berharap agar
kita semua dapat menanam rasa
prihatin bagi memulihkan kembali
ekonomi negara.
Sebelum Siti mengakhiri catatan
pada minggu ini, Siti ingin
mengucapkan ribuan terima kasih
kepada peminat yang sudah
mendapatkan album terbaru Siti.
Apa yang diharapkan, lagu Siti
dapat mendekatkan Siti dengan
anda semua.
Pada kesempatan ini juga Siti
ingin mengucapkan terima kasih
atas kerjasama yang diberikan
oleh semua penyumbang lagu dan
penulis lirik di dalam album ini,
termasuk semua mereka yang
terbabit bagi memastikan
Adiwarna menemui peminat
semua.
Salam mesra selalu dan selamat
bercuti esok sempena sambutan
Maulidur Rasul.
Wassalam.