a.r.t.i.c.l.e.s







Nanti Album Baru Siti

Cindai jingga disulam indah
Mari dipakai di musim raya
Aidiladha disambut meriah
Hilangkan gundah di lubuk jiwa

Aidiladha disambut meriah
Hilangkan gundah di lubuk jiwa
Bulan mulia bulan beribadah
Sucikan diri hindari dosa

Salam Aidiladha buat semua pembaca Metro Ahad. Di kesempatan ini, Siti ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya korban buat semua umat Islam walau di mana anda berada.

Cuma tinggal dua hari lagi kita menyambut hari yang penuh mulia dan bahagia ini. Walaupun musim perayaan begini lazimnya mengundang kegembiraan buat kita semua, janganlah kita lupa kepada mereka yang sedang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar para jemaah haji kita di sana dalam keadaan selamat dan pulang dengan mendapat haji mabrur. Insya-Allah.

Sudah menjadi satu kemestian pada setiap kali tibanya hari raya Aidiladha, umat Islam pasti akan menyempurnakan amalan korban. Siti pasti, pada tahun ini, sudah ramai antara anda semua yang merancang untuk membuat korban.

Bagi Siti, amalan ini bukan saja menjadi tradisi atau tanggungjawab tetapi banyak hikmah yang dapat kita pelajari di sebalik sejarah ‘korban’ itu sendiri.

Pada hari raya nanti, Siti tidak akan melepaskan peluang menyambutnya bersama keluarga di kampung. Walaupun Siti tidak dapat lama di kampung kerana ada tugas di Kuala Lumpur, peluang yang ada, Siti akan gunakan sebaiknya.

Hari ini, sudah masuk hari kelima bulan April. Setiap kali tibanya April, Siti pasti teringatkan tarikh 1 April yang begitu bermakna dalam hidup Siti. Tarikh itu bukanlah mengingatkan Siti kepada kenangan April Fool tetapi pemasaran album pertama Siti, Jerat Percintaan.

Kali ini, Siti mahu menyentuh serba sedikit mengenai album pop terbaru Siti. Album itu dijangka menemui peminat sekitar pertengahan tahun ini. Siti harap pendengar dapat menerima lagu dendangan Siti walaupun Siti puas hati dengan sambutan terhadap album terdahulu.

Bagi Siti, album kali ini lebih variasi kerana ada ramai komposer terbabit dalam pembikinannya. Selain mengekalkan Adnan Abu Hassan dan LY sebagai pencipta lagu dan penerbit, Siti juga dapat bekerjasama dengan Johari Teh, Salman, Helen Yap, Azmeer, Azlan Abu Hassan dan beberapa pencipta lagu dan penulis lirik.

Walaupun Siti sudah terbabit dalam lima album (termasuk duet bersama 2 by 2), Siti akui masih lagi belajar. Di samping berdebar menantikan kemunculan album baru, Siti juga tidak sabar menantikan reaksi peminat.

Siti bersikap terbuka jika ada kritikan atau pandangan membina untuk album terbaru nanti. Bagi Siti, kritikan adalah ‘guru’ yang bijak. Apa yang ketara dalam album kali ini ialah perubahan pada suara Siti yang agak besar sedikit.

Bagaimanapun, Siti tidak dapat menilainya sendiri, tunggulah hingga album itu dipasarkan kelak.

Walaupun Siti kembali muncul dengan album pop, peminat yang inginkan Siti menghasilkan album Melayu asli seterusnya, insya-Allah jika masih diberikan ruang dan kesempatan, Siti akan merakamkannya.

Mungkin dalam album asli itu, Siti akan selitkan lebih banyak rentak Melayu asli, seperti ghazal dan inang. Siti hanya mampu merancang...

Okeylah... setakat ini saja catatan Siti minggu ini. Salam paling manis daripada Siti buat anda semua. Selamat Hari Raya Aidiladha dan bertemu kembali minggu depan.

Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|