Debaran Dua Anugerah
Salam sejahtera buat
semua pembaca Metro Ahad.
Siti doakan peminat Siti sentiasa
sihat. Bagi Siti di sini,
Alhamdulillah dan masih dapat
melaksanakan tugas harian
dengan lancar.
Pada masa ini tentunya industri
muzik tanah air sibuk
memperkatakan mengenai
Anugerah Industri Muzik
Malaysia 1998 (AIM).
Siti kira, anugerah atau upacara
berprestij seperti itu bukan saja
satu pengiktirafan dan
penghargaan kepada semua
penggiat seni, malah ia juga
harus dipandang satu usaha
murni mengangkat martabat
industri hiburan.
Siti juga rasa bertuah kerana
penganjur turut mengundang Siti
membuat persembahan pada
AIM ’98 yang akan diadakan di
Dewan Merdeka Pusat
Dagangan Dunia Putra, pada 12
April akan datang.
Pada majlis itu nanti, Siti akan
menyampaikan lagu yang cukup
membawa erti bagi Siti dan
peminat, iaitu Aku Cinta
Padamu. Siti difahamkan lagu itu
dipilih kerana sesuai dengan
beberapa kategori pencalonan
Siti dalam AIM yang dinilai
menerusi album Siti Nurhaliza -
Aku Cinta Padamu.
Siti tidak berani menjanjikan
apa-apa untuk persembahan
pada malam kemuncak AIM itu
tetapi seperti biasa, Siti akan
cuba memuaskan hati semua
pihak terutama penganjur sendiri.
Tahun ini, Siti dicalonkan dalam
senarai lima calon terbaik untuk
kategori Album Pop Terbaik,
Persembahan Vokal Terbaik Di
Dalam Album - Wanita dan juga
Lagu Terbaik (Aku Cinta
Padamu).
Bagi Siti, dalam apa juga
pertandingan yang dihadapi,
kemenangan atau kekalahan
tidak harus dipertikaikan. Sudah
terpilih ke senarai akhir juga
adalah satu kemenangan bagi
Siti.
Malah, jika tidak terpilih
sekalipun, Siti harus menjadikan
itu satu ‘post-mortem’ untuk
memperbaiki diri.
Siti juga ingin mengucapkan
tahniah kepada semua calon
akhir dalam 19 kategori yang
akan dipertandingkan. Semoga
AIM tahun ini menjadi medan
untuk semua karyawan bergiat
dan bekerja lebih keras demi
kemajuan industri muzik tanah
air.
Kepada penganjur, Persatuan
Akademi Industri Muzik Malaysia
(PAIMM), Siti dan karyawan lain
ingin mengucapkan terima kasih
di atas usaha yang dibuat.
Sesuai dengan tema AIM tahun
ini, Muzik Malaysia Dalam Era
Kontemporari, Siti berharap
industri ini akan terus
berkembang dan mampu
bersaing di peringkat
antarabangsa.
Oh ya! Selain sibuk dengan
persediaan untuk persembahan
pada malam AIM, Siti juga bakal
berdepan dengan satu lagi
pertandingan pada 4 April depan.
Dua lagu nyanyian Siti, Aku
Cinta Padamu dan Cindai dipilih
memasuki peringkat akhir Carta
Lagu Akhir Dang Dang Dut Radio
3 Shah Alam.
Untuk pertandingan itu, Siti
bersama penyanyi lain peringkat
akhir akan muncul dalam
persembahan yang akan
diadakan di Dewan Jugra,
Banting, Selangor.
Siti dan juga artis lain yang
terpilih ingin mengucapkan
ribuan terima kasih kepada
peminat yang memilih dan
memberi sokongan kepada kami.
Mungkin anda juga akan turut
menyaksikan pertandingan itu
kelak. Temui Siti di sana.
Sememangnya terlalu banyak
pertandingan yang dianjurkan
dalam industri muzik kita hari ini.
Bagi Siti, usaha begini bukan
saja memberi peluang untuk
karyawan terpilih menunjukkan
‘buah tangan’ terbaik dalam
bidang masing-masing, malah
pengiktirafan juga bermakna
bakat karyawan dihargai.
Sekian saja untuk kali ini.
Sambutlah salam manis dari Siti.
Semoga bertemu kembali di
minggu hadapan.