a.r.t.i.c.l.e.s







Bakal Hibur Sidang APEC

Apa khabar peminat Siti dan pembaca Metro Ahad? Untuk makluman semua, Ogos adalah bulan sibuk bagi Siti. Pelbagai projek dan jemputan mengadakan persembahan harus dipenuhi.

Semalam, Siti berada di Rompin, Pahang untuk menjayakan program anjuran Radio 3 Kuantan. Setelah hampir tiga tahun bergelar artis, inilah kali pertama Siti membuat persembahan di daerah Rompin.

Sewaktu belum bergelar artis, Siti pernah membuat persembahan di situ. Ketika itu, Siti sering mengikut band bapa saudara Siti. Kebetulan pada persembahan yang sama, ada beberapa penyanyi popular turut hadir. Siti pun tidak melepaskan peluang bergambar kenangan dengan mereka dan gambar berkenaan masih ada dalam simpanan Siti hingga hari ini.

Apabila melihat gambar itu, Siti tidak menyangka bahawa hari ini, Siti juga adalah menjadi artis seperti mereka. Begitulah, masa terus berputar dan kita sendiri tidak dapat meramal apa yang akan berlaku selepas ini.

Hari ini sudah masuk 2 Ogos. Tinggal 29 hari saja lagi negara ini akan menyambung ulang tahun kemerdekaan. Setiap anak watan harus sentiasa memperingati 31 Ogos kerana tugas untuk mencapai kemerdekaan itu amat sukar. Kita juga harus berterima kasih kepada barisan pejuang kemerdekaan yang sanggup berkorban nyawa mempertahankan hak negara kita.

Ogos juga adalah bulan yang agak sibuk bagi Siti. Ini kerana Siti akan menjayakan satu program khas yang dibuat sempena Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara Apec, November depan. Namun, sebelum persidangan itu bermula, Siti terbabit dalam program ‘When Rivers Meet’ (WRM) yang bermaksud ‘Pertemuan Arus’ mulai 13 hingga 16 Ogos, di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Walaupun tarikh persembahan itu bermula 13 Ogos, seminggu sebelum itu Siti sudah memulakan latihan bersama seorang lagi penyanyi, iaitu Noraniza Idris, pemuzik serta penari.

Secara peribadi, peluang yang diberikan kepada Siti untuk turut sama membuat persembahan dalam WRM adalah sesuatu yang cukup menggembirakan. Siti belum pernah terbabit dalam acara sebesar itu.

Pembabitan Siti dan Noraniza serta kumpulan pemuzik dan tarian yang besar jumlahnya dari Panggung Negara cukup bermakna bagi Siti. Selain dapat memberikan hiburan, persembahan itu juga penting kerana ia akan dipersembahkan di hadapan Ketua Negara Apec.

Melalui perbincangan yang dibuat, Siti akan menyanyikan beberapa lagu pilihan secara solo selama 20 minit. Selepas itu, menyusul pula persembahan utama iaitu WRM. Dalam persembahan ini, Siti akan menyertai kumpulan tarian dengan menyanyi, beraksi dan menari.

WRM sebenarnya adalah satu persembahan yang menarik dan simbolik. Ia menceritakan mengenai perpaduan di negara ini dan jalan ceritanya bermula daripada pemerintahan raja dahulu kala hinggalah negara mencapai kemerdekaan hari ini.

Para peminat juga boleh datang memberi sokongan, menonton program ini pada 14 dan 15 Ogos depan kerana pada 13 dan 16 Ogos nanti dikhaskan untuk jemputan saja.

Sekian dulu untuk kali ini. Salam mesra dan jumpa lagi minggu depan. Insya-Allah.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|