trademark articles: page 1


Ayie Sahabat Sejati Siti Nurhaliza


APABILA kita memperkatakan mengenai sahabat, sering terbayang di fikiran wajah rakan-rakan di sekolah ataupun jiran sekampung yang dikenali sejak kecil lagi.Tetapi berlainan sekali dengan penyanyi kecil molek yang pernah memenangi beberapa anugerah di bidang seni muzik tanahair, Siti Nurhaliza Taruddin yang menganggap abangnya, Ayie sebagai satu-satunya sahabat sejati.

"Dalam dunia hiburan yang Siti pilih sendiri ini sukar untuk menentukan siapa yang boleh dianggap sahabat dan siapa yang tidak. Bukan bermakna mereka yang menceburi bidang ini tidak boleh dipercayai, tetapi kadang-kadang kita selalu jumpa dia dan ada kalanya langsung tidak pernah jumpa.

"Kalau boleh, bagi Siti jika kita menganggap seseorang itu sebagai sahabat kita biarlah sentiasa berhubungan dan berteraskan kejujuran serta keikhlasan. Kalau kita jarng jumpa dia, bagaimana kita hendak tahu sama ada dia jujur terhadap kita ataupun tidak.

"Jadi, Siti menganggap abang Siti, Ayie yang sering menemani dan menjaga Siti ke mana-mana sama ada ke pertunjukan pentas mahupun sesi fotografi sebagai sahabat kerana Siti yakin kepadanya," katanya.

Gadis berusia 18 tahun ini berpendapat, kawan senang dicari kerana sesiapapun boleh menjadi kawan, tetapi tidak semua orang boleh menjadi sahabat yang benar-benar jujur dan setia.

Walaupun ada yang mengatakan sahabat itu hanya dikhususkan kepada rakan sebaya atau mereka yang bukan dari kalangan keluarga, Siti mempunyai pendapat yang berbeza.

"Bagi Siti, tidak ada salahnya Siti menganggap abang sebagai sahabat Siti. Abang tetap abang, tetapi selain ayah dan ibu, dialah yang memahami susah senang Siti selama ini.

"Sekiranya ada masalah, dialah tempat untuk Siti mengadu dan meminta pandangan. Lagipun, kebanyakan masa dihabiskan dengan abang dan banyak pengalaman sepanjang Siti menceburi bidang ini dikongsi bersama abang.

"Bukan sahaja semasa persembahan, sampaikan masa yang terluangpun Siti habiskan dengan abang dan keluarga," katanya.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat Siti ini, tetapi seperti katanya, keluarga adalah tempat untuk mengadu nasib dan sahabat yang paling baik ialah keluarga sendiri yang tidak mungkin membohonginya.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna yang beliau tidak mempunyai sahabat semasa di sekolah. Walaupun beliau meneruskan kerjaya di bidang muzik, beliau tetap tidak melupakan beberapa sahabat lamanya di sekolah yang kini masih menetap di Jerantut, Pahang dan ada yang sudah melanjutkan pelajaran.

"Siti ada mempunyai kawan baik semasa di sekolah dulu. Tetapi apabila tamat sekolah, masing-masing membawa haluan sendiri. Ada yang melanjutkan pelajaran dan seperti Siti memilih untuk meneruskan kerjaya dibidang ini.

"Sekali-sekala bila Siti pulang ke kampung Siti akan menghubungi sahabat Siti. Tetapi, dalam ramai kawan, Siti anggap seorang kawan Siti yang kini belajar di Institut Teknologi Mara, Suhana sebagai yang paling istimewa.

"Walaupun dia dari bidang yang berlainan, Siti rasa tidak ada perbezaan asalkan kami masih tetap seperti dulu.

"Jadi, jika ada yang mengatakan Siti sudah berubah dan melupakan sahabat lama Siti, itu tidak benar," katanya.

Beliau yang kini memilih muzik sebagai kerjaya tetapnya, berkata seseorang itu boleh mempunyai sahabat baik tidak mengira status dan kerjaya sahabatnya.

Bagi Siti Nurhaliza, perubahan dalam hidupnya sekarang tidak bermakna beliau akan memutuskan persahabatan dengan sahabat lamanya.

"Hubungan antara sahabat tidak akan putus. Kalau boleh, kita berkawan biarlah berpanjangan dan sentisa menghormati antara satu sama lain supaya perhubungan yang terjalin tetap mesra.

"Inilah antara sebab kenapa Siti menganggap abang sebagai sahabat sejati kerana perhubungan adik beradik tidak akan putus. Ada masanya Siti anggap abang sebagai abang dan ada kalanya, Siti anggap dia sebagai sahabat terutamanya ketika hendak menceritakan masalah yang Siti hadapi," katanya.

Kawan memang senang dicari kerana sesiapapun boleh menjadi kawan walau dalam waktu yang singkat. Tetapi hendak mencari kawan yang sentiasa setia bersama di kala susah dan senang kita, bukannya mudah.

Kawan ketawa memang ramai, kawan menangis...

Source: Berita Harian

[prologue] [profile] [albums] [awards & achievements]
[photo gallery] [articles] [guestbook]


Hakcipta Terpelihara (c) Kal_El 1997
E-mail: kal_el7@rocketmail.com