Buat Bendera Kertas
Apa khabar dan salam
sejahtera buat semua pembaca
Metro Ahad. Ke mana agaknya
haluan anda hari ini?
Bagi warga kota, jika tidak ada
apa-apa aktiviti yang hendak
dilakukan, luangkan sedikit masa
anda untuk sama-sama
menjayakan kempen Kibarkan
Bendera yang diadakan di
Dataran Merdeka, pagi ini. Jumpa
Siti di sana.
Alhamdulillah, sudah dua tahun
Siti diberi peluang menjayakan
kempen ini sebagai satu cara
bagaimana setiap masyarakat di
negara ini menyanjung dan
mencintai bendera kebanggaan
iaitu Jalur Gemilang.
Pagi ini, Siti dan beberapa artis
lain akan turut menyerikan acara
kempen Kibarkan Bendera ini
dengan menyampaikan lagu-lagu.
Sambil berhibur, kita juga
berpeluang menjayakan satu
acara khas bersempena dengan
memperingati kedatangan 31
Ogos depan dengan semangat
mengibarkan bendera.
Bagi Siti, walaupun bendera itu
secara zahirnya hanya diperbuat
daripada kain, ia mempunyai
makna kebangsaan dan
kenegaraan yang begitu kuat.
Selepas bendera Malaysia
dikenali sebagai Jalur Gemilang,
Siti berpendapat bahawa
namanya bukan saja gah tetapi
mempunyai makna yang
tersendiri.
Siti juga kagum dengan
penampilan penghibur idola Siti,
Allahyarham Sudirman Haji
Arshad yang amat sinonim
dengan kostum bendera.
Saksikan sahaja penampilan
beliau dalam beberapa
persembahan hiburan termasuk
di luar negara apabila dia
mengenakan pakaian yang
bercorak bendera Malaysia.
Alangkah segaknya Allahyarham
dengan baju Melayu dan
bersongkok yang bercorak
bendera Malaysia.
Bercerita mengenai bendera, Siti
teringat waktu zaman
persekolahan dahulu. Masa
belajar di sekolah rendah, Siti
dan rakan-rakan sekelas selalu
membuat bendera menggunakan
kertas lukisan. Pada masa itu,
markah yang diberikan oleh guru
berpandukan mutu lukisan
termasuk gambar atau corak
bendera yang betul.
Masa tu, Siti masih
budak-budak, adakalanya jalur
Malaysia dibuat tidak cukup 14
baris. Begitu juga dengan corak
bintangnya serta pemilihan
warna.
Namun disebabkan
masing-masing berkehendakkan
markah yang tertinggi, kami telah
sedaya upaya berusaha untuk
menghasilkan lukisan bendera
yang terbaik.
Sebelum Siti mengakhiri catatan
Siti pada minggu ini, Siti
mengucapkan tahniah kepada
para pemenang Anugerah Video
M yang berlangsung di
Auditorium Majlis Perbandaran
Shah Alam, semalam.
Selain itu, tahniah juga kepada
para pemenang Bintang Asli
Remaja Kebangsaan ’98 yang
diadakan di Dewan Sivik, Majlis
Perbandaran Petaling Jaya yang
juga berlangsung pada hari
semalam.
Semoga pertandingan seumpama
ini dapat melahirkan lebih ramai
anak-anak remaja yang cintakan
lagu tradisional Melayu.