Siti Berdebar
Salam sejahtera buat
semua pembaca Metro Ahad. Siti
mengharapkan anda semua
terutama peminat Siti di dalam
keadaan sihat walafiat.
Saat yang dinantikan sudah tiba.
Acara besar industri muzik tanah
air berlangsung pada malam ini,
bermula jam 8.30 malam di
Dewan Merdeka Pusat Dagangan
Dunia Putra di ibu negara.
Tentu saja malam ini menjadi
malam gemilang yang penuh
debaran. Bagi mereka yang
mempunyai saluran Astro, anda
berpeluang menyaksikan secara
langsung acara gemilang
Anugerah Industri Muzik
Malaysia (AIM).
Namun, kepada yang tidak
berpeluang, jangan bimbang
kerana AIM turut disiarkan di TV1
pada masa yang akan
ditetapkan.
Malam ini bakal menjadi malam
istimewa buat seluruh karyawan
seni tanah air. Malam ini juga,
kita dapat melihat siapa bakal
bergelar yang terbaik.
Bagi Siti, malam ini adalah
medan pertemuan para
karyawan, tidak kira penyanyi,
pemuzik, penggubah lagu mahu
pun karyawan yang berkarya di
belakang tabir.
Malam ini yang penuh debar dan
gemilang tidak hanya
mengangkat gelaran popular atau
mempamerkan kelap-kelip labuci
pada busana, tetapi ada perkara
lebih penting untuk diberi
pengiktirafan.
Ayuhlah bersenang-senang ke
majlis ini dan usah memikirkan
sangat soal kemenangan atau
kekalahan. Sebelum terlewat, Siti
sekali lagi ingin mengucapkan
tahniah kepada karyawan yang
terpilih ke senarai akhir (lima
terbaik) dalam setiap kategori
yang dicalonkan.
Begitu pun, Siti berharap agar
apa jua keputusan yang
diumumkan, tahun ini tidak
dipertikaikan lagi. Lazimnya
begitulah... rumah siap pahat
berbunyi.
Mengenai persiapan Siti ke AIM,
semuanya dibuat dalam keadaan
sederhana termasuklah soal
penampilan dan persembahan.
Bersederhana bukan bermakna
Siti kurang persediaan, tetapi ia
tidaklah keterlaluan sangat dan
sesuai dengan keadaan dan cara
Siti.
Insya-Allah, pada malam ini, Siti
diberi peluang menjadi
penyampai anugerah dan
membuat persembahan. Seperti
dua minggu sudah, Siti sudah
bercerita serba sedikit mengenai
persembahan dan kali ini, Siti
hendak bercerita mengenai
persiapan pula.
Persediaan menyampaikan lagu
Aku Cinta Padamu bukan baru
kerana lagu itu boleh dikatakan
selalu Siti dendangkan di mana
saja persembahan yang Siti buat.
Dalam segmen persembahan
malam ini, Siti akan tampil
selepas Liza Hanim muncul
dengan lagu popularnya. Selepas
itu, Siti masuk menyampaikan
lagu Aku Cinta Padamu. Baik
Liza mahu pun Siti, kami cuma
menyampaikan sebahagian saja
daripada lagu masing-masing.
Setelah tiga hari berlatih dengan
pemuzik profesional, Siti sudah
bersedia untuk malam ini.
Walaupun penampilan Siti hanya
seketika, Siti berharap agar anda
semua terhibur.
Siti juga difahamkan bahawa AIM
akan dapat ditonton di seluruh
pelosok dunia menerusi internet.
Perkembangan ini tentunya
membanggakan kita kerana inilah
julung kali acara pengiktirafan
industri muzik dapat disaksikan
masyarakat luar.
Walaupun acara kita belum
setaraf dengan Grammy Awards,
tidakkah kita berbangga bahawa
industri muzik sekecil kita
mampu berbuat sesuatu untuk
membuka mata dunia luar?
Apa pun Siti berharap AIM
malam ini akan berlangsung
dengan jayanya. Tahniah
diucapkan kepada pemenang.
Kepada pecinta seni tanah air,
marilah menyumbangkan
sesuatu dalam bidang yang kita
minati ini.
Salam hormat dan bertemu
kembali, minggu depan.
Wassalam.