a.r.t.i.c.l.e.s







Mana Bukti Siti Bertunang

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad. Seperti biasa, Siti mengharapkan agar anda semua sentiasa sihat dan bahagia bersama keluarga dan teman.

Sepanjang minggu lalu, Siti agak sibuk dengan penggambaran klip video. Alhamdulillah, semua kerja sudah selesai dan lapan klip video yang Siti rakamkan di Kuala Lipis, Kuantan dan Pekan telah siap.

Walaupun Siti sibuk dengan penggambaran berkenaan, Siti masih sempat mencuri masa untuk mengikuti perkembangan dunia hiburan tanah air, termasuk cerita sensasi mengenai Siti sekarang ini.

Walaupun Siti berasa kurang senang untuk menulis perihal cerita itu di sini, ia perlu dijelaskan agar anda semua dapat memahami keadaan yang sebenar.

Bertunang? Itulah yang Siti kira sedang hebat diperbualkan, termasuk menjadi bahan berita beberapa media cetak. Perkara ini bukan cerita baru kerana setahu Siti, tahun lalu juga ada pihak yang menyebarkan cerita bahawa Siti telah bertunang. Berapa kali Siti bertunang daa...

Seingat Siti, selama dua tahun Siti terbabit dalam bidang seni, inilah kali pertama Siti membuat pengakuan terbuka. Apa yang tercatat di sini adalah dari luahan hati Siti sendiri.

Kalau dahulu Siti lebih senang mendiamkan diri tetapi ada pula pihak yang mengambil kesempatan di atas sikap pendiam Siti. Makin kita berdiam diri, makin banyak perkara yang tidak benar tersebar.

Ada juga pihak berkata, kalau takut dilambung ombak, mengapa berumah di tepi pantai. Bukannya Siti takut dengan cabaran tetapi Siti mudah tersentuh dengan perkara yang membabitkan maruah dan harga diri.

Terlalu banyak hati yang harus Siti jaga. Siti ada keluarga, ada saudara mara dan juga peminat. Bagaimana jika mereka juga akan terpengaruh apabila mendengar cerita yang bukan-bukan?

Bukan senang hendak memuaskan hati semua pihak, rambut saja sama hitam tetapi hati lain-lain. Seperti isu Siti bertunang ini, bagaimana agaknya ia boleh tersebar?

Ada pihak yang memaklumkan kepada Siti bahawa cerita ini disampaikan oleh seseorang yang mengaku saudara rapat Siti dan si polan... si polan...

Soal bertunang ini bukan boleh dibuat main-main. Kalau betul Siti bertunang, tunjukkanlah buktinya. Mengapa tidak mahu tampil ke hadapan sebaliknya hanya berani bercakap di belakang?

Usahlah lagi ada pihak yang cuba memperdayakan orang lain dengan cerita palsu ini. Bukankah itu satu perbuatan yang tidak elok dan boleh menjejaskan nama baik orang lain.

Siti berharap, dengan catatan Siti ini, anda semua dapat mengetahui situasi yang sebenar. Secara jujur, Siti memang tidak pernah bertunang dengan sesiapa pun dan tidak perlulah ada lagi pertanyaan mengenai perkara yang tidak pernah berlaku ini.

Usia Siti masih muda, malah terlalu banyak perkara lain yang harus Siti lakukan terlebih dahulu.

Siti akui, bukan senang hendak melayari kehidupan sebagai artis. Jika tersilap mengemudikannya, kita juga yang akan terjunam dan hilang haluan. Sekali pun sudah pelbagai fitnah mengenai Siti yang tersebar, Siti anggap semua itu cabaran dunia artis.

Siti kira, bukan Siti saja yang berhadapan dengan keadaan ini kerana ia sudah menjadi lumrah hidup insan yang bergelar artis. Dalam kita bersabar, tentu ada batasannya. Jika sudah sampai ke tahap yang keterlaluan, susahlah jadinya.

Siti bersyukur kerana dalam soal ini, Siti banyak belajar dan mendapat sokongan daripada artis yang lebih berpengalaman, teman serta peminat tersayang. Insya-Allah, sokongan yang diberikan akan dapat memanjangkan langkah Siti sebagai anak seni.

Setakat ini dahulu catatan Siti. Salam paling manis daripada Siti buat anda semua. Jumpa lagi minggu depan.

Wassalam...


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|