a.r.t.i.c.l.e.s







Tunggu Bulan Terang

Salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad. Semoga hari ini memberikan keceriaan dan kebahagiaan kepada anda semua.

Pada kesempatan ini, Siti ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat Siti yang meluangkan masa menyaksikan persembahan Siti di Amphitheatre, Mines Wonderland, minggu lalu.

Setelah lama tidak beraksi di pentas terbuka, pada mulanya Siti berasa bimbang jika persembahan Siti tidak mendapat sambutan tetapi Alhamdulillah...sambutan yang Siti terima malam itu amat baik.

Pada malam persembahan itu, Siti berasa sungguh gembira sekali kerana peminat Siti amat ‘sporting’ dan Siti terima puluhan jambak bunga. Malam itu boleh jadi macam Pesta Flora! Apa pun Siti menghargai pemberian mereka.

Walaupun persembahan Siti tidak lama, kira-kira 30 minit saja, Siti amat berterima kasih kepada pihak Mines Wonderland dan juga Glamour Entertainment kerana sudi mengundang Siti mengadakan persembahan di sana.

Selepas menyanyi di pentas, Siti juga bertemu peminat untuk menandatangani autograf.

Khamis lalu, Siti menjalani penggambaran klip video lagu terbaru Siti berjudul Purnama Merindu. Klip video itu agak istimewa kerana idea dan konsep yang Siti mahu dipersetujui pihak syarikat rakaman serta pengarahnya.

Klip video yanga berlokasikan di sebuah studio di Ampang dan juga sebuah taman rekreasi Sungai Congkak, Ulu Langat, siap penggambarannya dalam masa sehari saja.

Banyak pengalaman manis yang Siti perolehi ketika di Sungai Congkak dan ditambah pula dengan keramahan penduduk di situ.

Hari itu, Siti dan krew dijamu dengan durian yang baru gugur. Kebetulan tempat kami menjalani penggambaran itu dikelilingi dusun durian.

Kebanyakan ‘scene’ untuk klip video itu dibuat di tepi sungai. Kami juga terpaksa menunggu hingga malam untuk menunggu bulan timbul bagi menyesuaikan dengan judul lagu, iaitu Purnama Merindu.

Bagaimanapun, petang itu hujan renyai-renyai. Masing-masing bimbang jika bulan tidak akan timbul. Puas juga menunggu tetapi bulan masih tidak timbul hinggalah penggambaran untuk ‘scene’ malam tamat.

Namun, selepas kami semua bersiap-siap untuk pulang dan krew juga sudah berkemas, tiba-tiba muncul bulan yang amat cantik dan sedang mengambang penuh.

Apa lagi, cepat-cepatlah pengarah mengambil ‘shot’ bulan dan Siti berasa lega kerana konsep untuk klip video berkenaan, iaitu ‘shot’ bulan yang sedang mengambang penuh telah kami temui.

Sekian saja catatan Siti. Semoga bertemu kembali minggu depan.

Salam ‘Adiwarna’ buat semua.

Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|