trademark articles: page 1


Cabaran Buat Siti Nurhaliza


PENYANYI terbaik Juara Lagu `96, Siti Nurhaliza menganggap kejayaannya merangkul persembahan terbaik pada pertandingan itu sebagai satu cabaran berat buat dirinya pada masa hadapan.

Lebih-lebih lagi, kata penyanyi muda itu, cabaran itu mula dirasainya selepas dia berjaya menewaskan beberapa penyanyi popular yang lebih berpengalaman daripadanya.

Siti Nurhaliza seterusnya berkata, kejayaan itu juga menjadi pendorong kepadanya untuk memperbaiki persembahannya pada masa akan datang.

Selain dinobatkan sebagai penyanyi terbaik pada pertandingan itu yang diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, kelmarin, lagu nyanyiannya Jerat Percintaan juga muncul sebagai Juara Lagu `96.

Dalam pertandingan itu, Siti menewaskan beberapa penyanyi yang menjadi `favourite' seperti Ziana Zain, Fauziah Latiff dan kumpulan KOOL.

Mengenai persaingan sengitnya dengan Ziana Zain, kata Siti, persembahan Ziana dalam pertandingan itu memberikan inspirasi kepadanya untuk melakukan yang terbaik.

``Siti sememangnya terkejut apabila nama Siti diumumkan sebagai pemenang persembahan terbaik kerana Siti muncul di tengah-tengah penyanyi popular lain,'' katanya mengenai kemenangan itu.

Kemenangan tersebut adalah kejayaan kedua bagi Siti Nurhaliza setelah terpilih sebagai Penyanyi Baru (Wanita) Popular dalam pemilihan Anugerah Muzik Popular `96 di Singapura beberapa hari lalu.

Siti Nurhaliza juga berjanji tidak akan mensia-siakan kejuaraan tersebut dan akan memberikan persembahan terbaik khususnya menerusi album keduanya yang kini dalam proses rakaman.

Memandangkan pada tahun 1997 nanti dia tidak lagi mempunyai tanggungjawab sebagai seorang pelajar, Siti Nurhaliza berharap akan mencorakkan masa depan yang lebih cemerlang.

``Siti tidak pernah menganggap Siti telah popular sebaliknya merasakan Siti masih baru dalam bidang muzik,'' kata penyanyi berusia 17 tahun ini merendah diri.

Siti Nurhaliza yang juga menjadi pemangkin mempopularkan lagu Mawarku yang dinyanyikan secara duet bersama kumpulan 2 By 2 itu, berkata, kejayaan tersebut akan menjadi satu detik bersejarah dalam hidupnya.

Sementara itu, komposer lagu Jerat Percintaan Adnan Abu Hassan, antara faktor kejayaan lagu ciptaannya itu ialah keupayaan Siti Nurhaliza menyampaikannya dengan baik.

``Inilah lagu pertama ciptaan saya yang berjaya diiktiraf sebagai juara lagu sepanjang menyertai Muzik Muzik,'' kata Adnan mengenai kejayaan lagu tersebut.

Beliau juga akan memikul tanggungjawab untuk memastikan penghasilan terbaik album kedua penyanyi dari syarikat Suria Records itu .

Source: Utusan Malaysia

[prologue] [profile] [albums] [awards & achievements]
[photo gallery] [articles] [guestbook]


Hakcipta Terpelihara (c) Kal_El 1997
E-mail: kal_el7@rocketmail.com