a.r.t.i.c.l.e.s







Cik Siti Wan Kembang

Salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad. Semoga anda semua sihat dan bahagia bersama teman dan keluarga.

Sepanjang minggu ini, Siti agak sibuk dengan persembahan ‘When Rivers Meet’ (WRM) di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 13 Ogos lalu.

Petang ini, Siti mengadakan persembahan terakhir WRM yang dipertontonkan di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Alhamdulillah, sepanjang lima hari menyertai persembahan itu, Siti berasa cukup puas kerana dapat mencuba pelbagai perkara yang berkait rapat dengan seni dan budaya kita. Mungkin ramai yang bertanya, apa sebenarnya WRM? Jika ia bercorak teater dan lakonan, mengapa Siti turut terbabit, sedangkan Siti tidak mahu berlakon sebelum ini?

Okey, jangan salah sangka dengan pembabitan Siti dalam persembahan ini. Sebenarnya WRM menggabungkan elemen, seperti nyanyian, tarian, lakonan dan muzik. Siti tidak berlakon dalam erti kata sebenarnya kerana Siti sekadar beraksi sebagaimana yang biasa Siti lakukan ketika menyanyi.

Bezanya, persembahan ini memerlukan Siti menyanyi dan sekali gus beraksi. Siti hanya menyanyi saja dan tidak ada dialog yang diucapkan dalam persembahan yang dicadangkan untuk persidangan Apec di Kuala Lumpur.

Mungkin ada antara anda yang turut sama menonton WRM, Siti berharap anda turut terhibur.

Dalam persembahan ini, Siti bukan lagi Siti Nurhaliza kerana dalam segmen permulaan, Siti diberi gelaran Cik Siti Wan Kembang. Inilah kali pertama Siti berpeluang memakai kostum Cik Siti Wan Kembang.

Menyebut mengenai kostum Cik Siti Wan Kembang, tahulah Siti agak kekok juga mengenakan kostum itu. Nasib baiklah ramai yang membantu bagi mempercepatkan Siti bersiap untuk memulakan persembahan selepas muncul menyanyi solo pada segmen kedua.

Selepas selesai WRM ini, Siti memberi tumpuan untuk persembahan pada malam kemerdekaan (malam 31 Ogos) di Dataran Merdeka pula.

Kemungkinan selepas itu, barulah Siti dan artis yang terbabit dalam acara pembukaan dan penutup Sukan Komanwel 98 akan memulakan latihan.

Walaupun pelbagai spekulasi mengenai Sukan Komanwel, sebagai warga yang cintakan negaranya, kita harus turut sama menyokong kerajaan bagi melaksanakan sukan berprestij ini.

Sebagai artis yang terbabit dalam acara hiburan utama Sukom, Siti dan artis yang terbabit pastinya menjanjikan sesuatu yang terbaik untuk maruah negara.

Sekian dahulu catatan minggu ini. Jumpa lagi minggu depan. Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|