a.r.t.i.c.l.e.s







Jumpa Di Dataran Merdeka

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad. Semoga hari minggu begini dapat memberikan anda ketenangan di samping berehat bersama keluarga tercinta.

Cuma tinggal sehari saja lagi negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-41. Setelah 41 tahun, kita berada dalam sebuah negara yang harmoni, makmur dan semua kaum di dalamnya bersatu padu.

Alangkah mahalnya harga sebuah perpaduan hingga membawa kepada kemerdekaan. Alhamdulillah... hingga ke hari ini, rakyat Malaysia hidup aman damai, sejahtera dan tidak ada sebarang bencana buruk yang serius melanda negara kita.

Malam ini, seperti tahun-tahun sebelumnya, rakyat Malaysia akan berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyambut dan meraikan detik 12 malam (31 Ogos).

Insya-Allah, Siti juga tidak ketinggalan berada di Dataran Merdeka bersama pemimpin negara serta rakan artis yang lain. Malam ini, Siti dan beberapa artis lain akan menghiburkan penonton yang datang ke Dataran Merdeka sementara menanti menjelangnya detik 12 malam.

Bersempena sambutan hari kemerdekaan itu nanti, Siti berharap agar semua yang datang ke Dataran Merdeka dapat menjaga diri masing-masing dan berhibur dalam keadaan tenang dan selesa.

Berdasarkan pengalaman lalu ketika mengadakan persembahan di Dataran Merdeka, terutama pada sambutan hari kemerdekaan serta tahun baru, terlalu banyak perkara yang tidak diingini berlaku. Siti berharap, tidak ada penonton yang berasak-asak serta menolak-nolak kerana setiap yang datang ke situ pastinya mahu meraikan detik bersejarah itu dengan aman dan tenang.

Semoga malam ini kita dapat bersama-sama memerdekakan diri dan fikiran serta tidak hanya menanam perasaan mementingkan diri sendiri. Jika kita warga muda, berilah laluan kepada yang lebih berusia mahu pun golongan kanak-kanak yang hadir di Dataran Merdeka dan tidaklah menolak-nolak.

Bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kita ini, Siti berharap agar kestabilan politik serta keamanan negara akan terus berkekalan. Semoga kita, warga Malaysia akan menjadi bangsa yang dihormati dan disegani di mata dunia!

Minggu ini, selain bercerita mengenai kemerdekaan, Siti juga ingin menyelitkan serba sedikit pengalaman ketika menjalani penggambaran lima klip video untuk album Adiwarna yang diadakan di Langkawi, Kedah beberapa hari lalu.

Walaupun masa agak suntuk, Siti berjaya menyiapkan klip video untuk lagu Diari Hatimu, Tak Rela Berpisah Darimu, Gelora Asmara, Kitakan Bersama dan Sendiri.

Antara lokasi menarik untuk klip video berkenaan ialah Pelangi Beach Resort, Tanjung Rhu, Pantai Pasir Tengkorak, Taman Buaya, Dataran Langkawi dan Jeti Kuah.

Klip video itu akan dikeluarkan dalam bentuk VCD (cakera video) dan pita video. Pada masa ini, Siti telah menyiapkan enam klip video dan tinggal empat saja lagi yang belum menjalani rakamannya.

Klip video kali ini ada kelainannya dengan koleksi klip video untuk album kedua Siti serta album Cindai. Jika album Cindai lebih kepada memfokuskan lokasi menarik di negeri-negeri, tetapi klip video untuk album Adiwarna ini lebih menitikberatkan mesej yang ada pada lirik lagu.

Siti berharap agar peminat yang ingin mendapatkan koleksi klip video berkenaan dapat bersabar kerana Siti perlu menyiapkan 10 klip video sebelum diedarkan.

Cukup setakat ini catatan Siti minggu ini. Salam Merdeka daripada Siti dan selamat bercuti esok.

Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|