trademark articles: page 1


Siti Tidak Ghairah Untuk Menang


KARYAWAN seni tanah air seharusnya menjadikan setiap pertandingan ataupun anugerah yang dianjurkan oleh pihak tertentu terutama media massa sebagai landasan untuk terus memantapkan masa depan dan kerjaya seni masing-masing, kata penyanyi popular, Siti Nurhaliza Taruddin.

Siti berkata, langkah itu perlu dipraktikkan secara menyeluruh kerana hanya menerusi pertandingan ataupun anugerah akan membolehkan seseorang artismengukur sejauh mana pembabitan mereka di arena seni mendapat pengiktirafan masyarakat.

Kata beliau, seseorang karyawan seni tidak perlu terlalu ghairah mendapatkan kemenangan dalam sesuatu pertandingan tertentu kerana perkara paling utama, mereka dapat turut serta.

"Berdasarkan pengamatan, karyawan seni tidak sepatutnya terus mempunyai sikap sebegitu kerana ia dikhuatiri mendatangkan kesan negatif terhadap diri mereka dan pertandingan itu sendiri.

"Bagi saya, penyertaan dalam sesuatu pertandingan adalah penting kerana hanya cara itu sahaja karyawan seni dapat berkumpul dan bermesra sesama sendiri.

"Tidak mungkin ia dapat dilakukan pada hari-hari biasa kerana masing-masing terlalu sibuk dengan urusan sendiri dan mempunyai jadual harian yang ketat," katanya lagi.

Untuk Anugerah Skrin & Bintang Popular 1996 (ASBP'96), Siti tercalon dalam tiga kategori termasuk Penyanyi Wanita Popular, Penghibur TV Popular dan Artis Remaja Popular.

Siti mendapat saingan hebat daripada Erra Fazira, Amy Mastura, Nora dan Aishah dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

Manakala bagi kategori Penghibur TV Popular dan Artis Remaja Popular, dia akan ditentang hebat oleh KRU, Ziana Zain, Awie, Senario, Nurul, Zizie Izzette, Ngasriah Nasri serta Elite.

Di samping itu, Siti juga adalah calon favourite bagi kategori Artis Paling Popular berdasarkan prestasi cemerlangnya dalam industri muzik tanah air kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Siti enggan meramalkan peluangnya untuk memenangi sebarang kategori pada majlis anugerah itu kerana menyifatkan pencalonannya ke peringkat akhir sudah cukup memadai.

"Oleh itu, saya menganggap kemenangan hanya sebagai bonus dan dorongan untuk terus memantapkan kerjaya seni dan diri masing-masing sebab jika kalah sekalipun, bukan bermakna kita tidak bagus," katanya.

Selain itu, Siti menghargai usaha Berita Harian dan TV3 yang mengambil inisiatif menganjurkan majlis itu kerana ia secara tidak langsung membuktikan mereka mengambil berat terhadap kemajuan industri hiburan negara.

"Apa yang saya nampak, gabungan Berita Harian dan TV3 menganjurkan ASBP'96 mencipta satu sejarah baru dalam industri hiburan negara ini. Ia diharapkan berterusan pada masa-masa akan datang," katanya.

Source: Berita Harian

[prologue] [profile] [albums] [awards & achievements]
[photo gallery] [articles] [guestbook]


Hakcipta Terpelihara (c) Kal_El 1997
E-mail: kal_el7@rocketmail.com