trademark articles: page 1


Siti Nurhaliza Kalis Gosip


Adakah Siti mengamalkan sebarang petua penjagaan suara?

AGAK sukar menjawab pertanyaan ini kerana saya tidak mengamalkan apa-apa petua untuk menjaga vokal. Saya hanya mengamalkan minum air suam sebelum memulakan sesuatu persembahan supaya nyanyian saya lancar dan tidak tersekat-sekat. Di samping itu, saya cuba mengelak minuman gas dan makanan pedas. Pada saya, kelunakan suara mahupun kecantikan adalah anugerah Tuhan dan kita perlu bersyukur. Tidak perlu diubah-ubah atau diperbaiki.

Adakah Siti berpendapat tarian itu penting dan mengapa?

SUDAH tentu. Bagi saya, tarian boleh memantapkan mutu persembahan kita. Di samping itu, ia boleh menarik penonton untuk terus menyaksikan persembahan saya. Pasti, penonton bosan sekiranya seseorang penyanyi hanya berdiri dan menyanyi tanpa melakukan apa-apa aksi atau pun bertindak-balas dengan penonton. Bagaimanapun, seseorang penyanyi tidak boleh menari secara membuta tuli tetapi mestilah ditentukan berdasar konsep lagu yang dinyanyikan. Saya tidaklah pandai menari tetapi buat masa sekarang, saya cuba berlatih dan mencipta beberapa tarian baru untuk digunakan dalam persembahan saya.

Bagaimana Siti membentuk imej diri?

PADA saya, imej penting kerana artis sering menjadi tumpuan masyarakat. Mereka pasti memberi tanggapan negatif sekiranya seseorang artis tidak bijak menjaga imejnya. Namun, kita tidak perlu berbelanja besar membentuk imej dan memadailah menggunakan kepandaian tersendiri. Seperti saya, imej ditentukan berdasarkan konsep album atau pun garis panduan yang ditetapkan syarikat rakaman. Tetapi, saya lebih menggemari pakaian kemas, anggun dan tidak menjolok mata.

Mungkin ramai beranggapan saya sudah mempunyai perunding imej peribadi kerana sudah popular. Tetapi percayalah, saya tidak sanggup menghabiskan wang ke arah itu.

Apa pandangan Siti mengenai fungsi gosip terhadap penghibur?

TIDAK terlintas dalam fikiran gosip menentukan populariti seseorang. Bagi saya, gosip sekadar mewujudkan persepsi negatif di kalangan masyarakat terhadap artis. Namun, saya tidak kisah jika digosipkan tetapi biarlah ia berunsur membina dan bukannya menutup periuk nasi saya. Saya bimbang jika gosip disebarkan mengganggu ketenteraman keluarga.

Sampai bila Siti akan terus menyanyi?

TIDAK pernah saya fikir perkara itu. Apa yang pasti, saya berhasrat melanjutkan pelajaran di kolej swasta dan berkemungkinan besar membuka perniagaan suatu hari nanti. Dalam pada itu, saya akan terus menyanyi selagi terdaya.

Apa keistimewaan yang Siti rasakan ada pada diri Siti?

PENYANYI juga sama seperti orang lain, tidak tahu menilai diri sendiri. Lagi pun, saya masih baru dan mungkin cetek ilmu. Dengan itu, masih terlalu awal untuk mengetahui apa yang istimewa pada diri selain bakat dan minat untuk menghibur.


Taken from Berita Minggu (Dated 4-5-97)

[prologue] [profile] [albums] [awards & achievements]
[photo gallery] [articles] [guestbook]


Hakcipta Terpelihara (c) Kal_El 1997
E-mail: kal_el7@rocketmail.com