trademark articles: page 1


Hormatilah Prinsip Saya: Siti


PRINSIP penyanyi remaja Siti Nurhaliza yang tidak mahu bergambar dengan artis lelaki membuatkan dia banyak menerima kritikan terutama daripada pihak media.

Namun sebagai seorang yang bercita-cita besar dalam bidang seni, Siti Nurhaliza (Siti) tidak mudah goyah dengan kritikan.

Dia juga menjadikan kritikan sebagai cabaran untuknya terus menjadi seorang yang berprinsip dan tidak pernah lupa pada keluarga.

Kata Siti, prinsipnya bukan bermakna dia memandang rendah atau serong terhadap artis lelaki tetapi sebagai penyanyi remaja, dia menerima banyak implikasi kalau bergambar dengan lelaki.

Pegangannya patut dihargai kerana setiap individu semestinya mempunyai prinsip tersendiri mengenai sesuatu perkara. Dia juga ingin lari dari kebiasaan yang sedang berlaku di dalam industri hiburan tempatan.

Berikut adalah petikan temu bual dengan Siti mengenai prinsipnya yang tegas mengenai isu moral, keluarga dan gosip.

Soalan:
Banyak pihak masih tidak dapat menerima prinsip Siti. Apakah Siti akan menurut kehendak mereka?

Siti:
Saya bukannya cuba tunjuk baik dan artis lain tidak baik apabila dengan artis lelaki. Kalau gandingan itu ada tujuan murni selain semata-mata menggandingkan, saya menerima. Saya tetap tidak mahu kalau tidak bersebab.

Soalan:
Sebab yang bagaimana yang Siti maksudkan?

Siti:
Saya tidak kisah sekiranya gandingan tersebut ada tujuan. Misalnya gandingan saya dengan kumpulan 2 By 2 adalah kerana kami merakamkan lagu duet, jadi tidak ada alasan untuk saya menolak. Ini membuktikan saya tidak pernah melarang sepenuhnya diri saya bergambar dengan lelaki. Kalau ada anggapan itu, ternyata tidak benar.

Soalan:
Adakah Siti telah mengalami pengalaman pahit apabila digandingkan dengan artis lelaki?

Siti:
Siti pernah digandingkan dengan personaliti dan artis lelaki dan hasilnya gosip. Kononnya kami bercinta. Ini yang saya kecewa. Sebagai penyanyi remaja saya mahu elak daripada perkara tersebut. Ini juga untuk menjaga nama keluarga. Saya mahu berjaya dengan kemampuan saya bukan gosip.

Soalan:
Bagaimana pandangan Siti mengenai artis perempuan lain yang bersedia untuk digandingkan dengan artis lelaki?

Siti:
Semasa saya belum menjadi penyanyi saya telah melihat perkara tersebut di kalangan artis. Ia bergantung kepada pandangan masing-masing mengenainya. Setiap orang mempunyai penilaian tersendiri. Saya percaya saya tidak salah kalau ingin lari daripada kebiasaan itu. Sebab itu bukan pra-syarat menjadi artis.

Soalan:
Apa yang Siti maksudkan dengan kebiasaan?

Siti:
Maksud saya tidak semestinya yang orang lain selalu lakukan, kita juga mesti lakukan. Lagipun saya tidak nampak sejauh mana kemunculan seseorang penyanyi wanita dan lelaki secara berpasangan membantu kerjaya mereka. Saya ingin pertaruhkan bakat yang ada untuk mencipta kejayaan.
Semua penyanyi ingin mencari kelainan dan tidak mahu disamakan dengan yang lain untuk membentuk identiti masing-masing. Biarlah cara saya ini sebagai identiti saya. Saya tidak fikir orang yang waras tidak menghormati prinsip orang lain.

Soalan:
Jadi Siti berpendapat yang gosip tidak membantu kejayaan Siti?

Siti:
Bukan begitu. Tetapi yang saya tekankan ialah bakat yang ada di dalam diri saya dan saya senang sekiranya kerjaya saya sebagai penyanyi tidak dikaitkan dengan perkara yang tidak menyenangkan.

Soalan:
Adakah sebelum menceburi bidang ini tentu Siti telah tahu cabaran yang ditempuhi?

Siti:
Banyak gambaran yang saya dapati sebelum menjadi penyanyi. Pengajaran daripada kejadian yang menimpa artis lain saya jadikan teladan agar perkara yang sama tidak menimpa saya. Saya fikir baik atau buruknya dunia yang dilalui oleh artis terletak di bahu mereka sendiri.

Soalan:
Kini persoalan mengenai masalah sosial remaja banyak diperkatakan. Apa pandangan Siti mengenai perkara itu?

Siti:
Saya masih lagi menjalani hidup sebagai remaja dan saya berharap masalah tersebut dapat dibendung untuk membentuk generasi masa depan yang lebih cemerlang.

Soalan:
Apa peranan yang boleh dimainkan oleh artis untuk membendung masalah tersebut?

Siti:
Penyanyi mendekatkan diri dengan remaja melalui lagu-lagu dan persembahan mereka. Penyanyi juga kadang-kadang menjadi idola remaja dan mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik. Mesej menerusi lagu juga mungkin boleh membantu.

Soalan:
Sebagai penyanyi remaja, adakah Siti fikir penglibatan dalam bidang seni dapat mengelakkan daripada masalah tersebut?

Siti:
Sebenarnya di dalam dunia seni pun perkara tersebut boleh berlaku. Dan ia bergantung pada individu masing-masing. Namun apabila sibuk dengan aktiviti kesenian secara tidak langsung seseorang akan terlupa pada perkara yang membabitkan yang tidak diingini itu.

Source: Utusan Malaysia (Dated 26-5-97)

[prologue] [profile] [albums] [awards & achievements]
[photo gallery] [articles] [guestbook]


Hakcipta Terpelihara (c) Kal_El 1997
E-mail: kal_el7@rocketmail.com