a.r.t.i.c.l.e.s







Juruhebah Cindai

Hello, apa khabar anda semua? Harapan saya, semoga anda berada dalam keadaan sihat walau di mana anda berada. Hari ini, Sabtu, 6 Mac, saya selaku juruhebah bertugas, iaitu DJ Cindai akan menemani anda selama satu jam dalam segmen Autograf. Semoga anda setia bersama rangkaian kami di RFM (Redifussion)...".

Oppss... jangan panik. Sebenarnya Siti terbawa-bawa pula peranan Siti sebagai juruhebah undangan dalam segmen Autograf di RFM, semalam. Mungkin terlalu ‘excited’ agaknya, maklumlah itulah pengalaman pertama Siti bertugas sebagai juruhebah tak bertauliah. Hmmm...seronok juga sekali-sekala bertukar profesion.

Apa yang menariknya, sepanjang mengendalikan segmen berkenaan yang diadakan secara live dari studio RFM di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Siti terpaksa berhadapan dengan ramai orang. Lazimnya, juruhebah hanya akan bertugas seorang diri di konti dengan bertemankan seorang penerbit tetapi situasi Siti pula berbeza. Siti tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan Siti sebelum segmen itu ke udara secara live. Bermacam-macam perasaan bercampur baur tetapi nasib baik juruhebah bertugas, KC, banyak membantu dan memberikan garis panduan. Para pendengar yang mengambil bahagian dan menelefon Siti semalam juga ‘sporting’ dan ini sedikit sebanyak dapat membantu Siti mengendalikan rancangan itu sebaik mungkin. Dalam segmen ini, Siti bebas untuk berbicara, memutarkan lagu serta memberi pelbagai pengisian yang Siti mahu. Oleh kerana tidak mahu hanya Siti mengendalikan rancangan itu, Siti juga membuka talian kepada para pendengar.

Tetapi yang paling best ialah sebagai juruhebah, Siti dikenali dengan nama juruhebah atau DJ Cindai. Selama sejam rancangan itu berlangsung, Siti tidak tampil sebagai Siti Nurhaliza yang bergelar penyanyi. Lantaran itu jugalah, para pendengar yang mengambil bahagian tidak boleh menganggap juruhebah Cindai adalah Siti Nurhaliza. Kan ke seronok tu... Sebenarnya itulah satu pengalaman baru dan tak mungkin Siti lupakan. Mana tidaknya, selama ini Siti hanya mendengar bagaimana seorang juruhebah mengendalikan sesebuah rancangan tetapi semalam, Siti telah diberi peluang untuk berbuat demikian. Dapat jugalah rasa macam mana menjadi juruhebah. Rupa-rupanya bukan senang nak jadi juruhebah walaupun Siti mengendalikan rancangan cuma selama satu jam, mahu berpeluh satu badan dibuatnya. Itupun hanya suara yang terdengar.

Bagi Siti, rancangan seperti ini dapat menguji kredibiliti seseorang artis, bukan sekadar beraksi di pentas, malah boleh berinteraksi secara langsung dengan pendengar. Walaupun Siti sudah biasa menyanyi di pentas dan berhadapan dengan ramai orang, situasinya tidak sama. Adakalanya Siti berasa gugup dan hilang punca untuk berbicara. Apa yang istimewanya, segmen Autograf ini juga memberi peluang kepada Siti memutarkan lagu kegemaran Siti yang peminat sendiri pun tidak tahu. Agaknya kalau Siti dah ‘pencen’ nanti, bolehlah mohon jadi juruhebah. Itu pun kalau peminat yang sempat mengikuti segmen Autograf itu merasakan Siti layak dan ada bakat, sebaliknya kalau tak ‘lulus’... tak ada harapanlah.

Okeylah, Siti harap para peminat Siti terhibur dengan celoteh Siti semalam. Kepada peminat Siti yang berada di Tawau, Sabah, anda berpeluang menghadiri konsert Siti pada malam ini. Jumpa anda di sana... Inilah kali keempat Siti ke Sabah untuk mengadakan persembahan dan juga konsert. Harapan Siti agar malam ini, peminat Siti di Tawau akan terhibur. Salam mesra buat semua pembaca Metro Ahad. Sampai jumpa lagi minggu depan.

Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|